KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 20 September 2010

Publisiti Yang Merugikan!

emel

Seperti yang dijangka isu mercun yang melibatkan Kelantan pasti berlarutan sehingga diulas oleh Menteri dan sebagainya. Namun sedar atau tidak isu seperti ini sebenar akan terus meranapkan impian atau usaha FAM untuk menarik rakyat Malaysia memeriahkan bolasepak tempatan. Bagi media massa laporan seperti ini menyeronokkan kerana akan mendapat publisiti daripada VVIP tetapi peratus jualan akhbar tetap merosot.

Jika dilihat dalam isu wabak penyakit misalnya, kenapa kerajaan mengarahkan media agar berhati-hati dalam melaporkan sesuatu isu wabak penyakit? jawapannya sudah pasti ada kaitan kemerosotan industri pelancongan disebabkan pelancong takut untuk datang melawat atau melancong ke Malaysia atau sesuatu kawasan kerana ada wabak yang merebak. Demikianlah juga dalam isu bermain mercun di stadium, media terlalu berlebihan melaporkan isu ini walhal sebagai penyampai yang boleh membantu kemajuan bolasepak Malaysia sepatutnya melaporkan jumlah kehadiran luar biasa di musim raya yang dipamerkan penyokong Kelantan di stadium Kota Bharu dan Kelana Jaya bukannya isu mercun yang merugikan industri bolasepak itu sendiri kerana masalah ini bukan lagi menjadi isu penyokong Kelantan sahaja malah turut menjadi keluhan penyokong di negeri lain serta dilakukan hanya beberapa orang sahaja yang dapat dilihat dengan jelas di kaca tv semasa mereka membaling mercun terbabit.

Dapatkah anda bayangkan sekiranya, media perdana kerap melaporkan isu jumlah kehadiran luar biasa penyokong Kelantan ini sebagai topik utama, pasti akan menimbulkan minat orang ramai untuk melihat apa yang seronok sangat bolasepak Malaysia sehingga berpusu-pusu penyokong Kelantan membanjiri stadium bagi setiap perlawanan pasukan mereka, selain menimbulkan perasaan irihati atau semangat pasukan negeri lain untuk menyokong pasukan negeri mereka. Laporan negatif isu mercun ini telah berjaya menakutkan masyarakat lain untuk meminati atau menyokong bolasepak Malaysia.

Sekiranya media massa Malaysia benar-benar ikhlas dalam menangani isu mercun, kami mencabar media massa tempatan memberi atau meletakkan iklan AMARAN MEMBAWA MERCUN KE STADIUM atau seumpamanya di ruangan sukan mereka sebagai membuktikan isu yang dimainkan bukan sekadar mengaut keuntungan atau memburukkan imej pasukan terbabit sahaja. Pihak Media massa tempatan juga perlu menilai dalam isu kehadiran penyokong bolasepak yang hampir tenat ini, media perlu memikirkan untuk tidak membuat laporan yang menguntungkan jangka masa pendek sahaja dan terus berkompromi mengebumikan keceriaan bolasepak bersama keranda kematian sokongan di stadium yang sunyi sepi, malah media harus bersama berusaha sebaliknya iaitu mengembalikan kegemilangan bolasepak tempatan.

FAM dan badan sukan Malaysia juga perlu bersungguh-sungguh menangani masalah mercun ini, bukannya meletup apabila melibatkan Kelantan sahaja dan membisu apabila melibatkan negeri atau kelab lain. Berapa juta FAM sudah laburkan untuk mempromosi kempen mengajak penyokong ke stadium dan menyebarkan iklan amaran membawa mercun atau mengetatkan kawalan keselamatan stadium? sejak liga malaysia wujud di Malaysia ini belum pernah lagi melihat sekeping risalah yang berkaitan isu ini disebarkan.

Pelbagai usaha sudah dilakukan KAFA dalam memastikan kewangan KAFA tidak dibazirkan dalam isu denda mercun ini tetapi apakan daya masih ada penyokong yang degil dan seronok membawa mercun ke stadium. Namun KAFA akan terus berkerjasama dengan pihak keselamatan untuk menangkap penyokong yang masih berdegil ini. Tiada maaf lagi buat penyokong yang mementingkan diri sendiri ini, mereka seperti ini sesuai terkurung didalam jeriji besi dan menghayati erti sebuah nikmat kesunyian.

Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular