KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 18 September 2010

Kelantan Tarik Nafas Lega




Petaling Jaya - Kelantan sekali lagi cemas apabila hampir sahaja berputih mata sebelum menang tipis 0-1 keatas tuan rumah PKNS. Bermain di arena lawan di Stadium Kelana Jaya, diatas kertas sekali lagi Kelantan diletakkan sebagai pilihan untuk memenangi pertarungan. Namun, PKNS yang baru saja gagal menempatkan diri ke saingan Liga Super 2011 setelah dikecewakan Sabah berjaya bertahan dengan baik dan hampir mencuri satu mata pada perlawanan tersebut.

Kelantan yang baru sahaja tewas 0-1 pada perlawanan pembukaan kempen Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan di arena sendiri, membuat beberapa pertukaran pada kesebelasan utama. Kelantan mempertaruhkan Norshahrul Idlan Talaha & Nizad Ayub di bahagian serangan manakala Shakir, Khiran Eroza berganding dibahagian tengan sementara Indra Putra & S Chanthuru bermain di posisi sayap. Perubahan juga dilakukan diposisi bek kiri apabila Zairul Fitri diletakkan di dalam kesebelasan utama.

Pada separuh pertama, Kelantan buntu mencari gol pertama pasukan walaupun asakan bertali arus dilakukan. Kekebalan benteng pertahanan pasukan tuan rumah, dibantu pula kecekapan penjaga gol tuan rumah, Badrulzaman Halim menafikan segala percubaan dan serangan pasukan Kelantan. Kelantan mendapat peluang terbaik pada minit ke-16 namun tandukan kapten pasukan, Indra Putra berjaya dikeluarkan pertahanan PKNS diatas garisan gol. Sekali lagi pada minit ke-30 percubaan satu lawan satu Norshahrul Idlan berjaya dinafikan penjaga gol tuan rumah. Pada minit terakhir separuh masa pertama, sepakan percuma Indra Putra pula berjaya dinafikan penjaga gol itu.

Bermula separuh masa kedua, anak didik B. Sathianathan bermula garang dengan serangan bertali arus ke arah kubu tuan rumah. Pada minit ke-53, bermula dari satu sepakan sudut, sepakan Norshahrul Idlan Talaha terkena tiang sebelum sekali lagi diselamatkan oleh pertahanan lawan diatas garisan gol. Kemasukan bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli menggantikan Nizad Ayub menambah sengat di bahagian serangan Kelantan dan hasilnya pada minit ke-73, Akmal Rizal menjaringkan gol tunggal perlawanan yang juga gol kemenangan untuk pasukan Kelantan. Selepas mendapat gol itu, rangkaian serangan pasukan Kelantan melakukan serangan bertali arus, namun gagal mencari penyudah yang berkesan.

Leka menyerang, pada minit ke-90, hasil serangan balas pasukan PKNS, hantaran lintang yang terkena tangan S Subramaniam menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan PKNS. Mujurlah sepakan penalti yang diambil kapten pasukan PKNS Fadhil Mohd Hashim berjaya ditepis Syed Adney yang dijulang sebagai wira The Red Warriors pada malam ini. Tahniah kepada pasukan Kelantan kerana berjaya membawa pulang tiga mata penuh.
Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular