Misi Bawa Pulang Tiga Mata.
Siapa Menang? |
Setelah mencatat kekalahan tipis di arena sendiri dua hari lalu, tidak boleh tidak, tiga mata pertama perlu dikutip Kelantan sewaktu berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya menentang PKNS Selangor.
Kelantan harus menang jika mahu impian menjadi satu kenyataan manakala PKNS Selangor pula pasti bertekad mencari tiga lagi mata untuk mengukuhkan kedudukan mereka setelah menang perlawanan pertama keatas KL Plus.
Tugas getir menanti Kelantan kerana pasukan lawan bukan sebarangan lawan setelah pasukan kelab tersebut berubah menjadi antara pasukan mencabar apabila mendapat sentuhan nama-nama besar selain dikemudi jurulatih berwibawa, Abdul Rahman Ibrahim dan mendapat bantuan bekas penyerang terbaik negara, Annuar Abu Bakar.
PKNS juga bertekad untuk melepaskan diri buat kali pertama ke suku akhir setelah gagal empat kali sebelum ini. Perkara ini dilaungkan sendiri jurulatih mereka bahawa dengan pemain sedia ada disamping corak taktikal berubah sepanjang masa, hasrat mereka tersebut akan terlaksana pada Piala Malaysia kali ini.
Walaupun dikategorikan antara pasukan kerdil dalam kumpulan A, kelibat PKNS Selangor perlu diambil perhatian lebih kerana mereka antara pasukan yang mempunyai jentera serangan paling berbisa tidak ubah seperti abang mereka, Selangor.
Bukan satu yang mengejutkan apabila PKNS tampil cemerlang menundukkan lawan yang berada di liga atasan berdasarkan prestasi semasa pemain mereka dalam kancah liga Malaysia.
Dibarisi anak muda bercita besar, mereka hadir ke Piala Malaysia untuk menebus kekecewaan gagal layak ke Liga Super dan terbukti sudah cita mereka apabila gah membenam pasukan yang setakuk lebih atas pada mereka.
Siapa tidak kenal Zamri Hassan, penjaring terbanyak Liga Perdana. Mendapat bantuan serangan dari Khairul Annuar Ramli, Mohd Ivan Yusof serta lain-lain rakan yang sedia membantu memberikan kelebihan besar kepada PKNS untuk menewaskan barisan bintang Kelantan dihadapan penyokong setia mereka.
Rekod pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, Kelantan dan PKNS terikat 1-1 dalam perlawanan persahabatan pada penghujung Mac tahun ini di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Dari kem Kelantan, Red Warriors kehilangan pemain sayap, Norfarhan Mohamad akibat kecederaan serius semasa menentang Negeri Sembilan manakala pemain lain bebas dari masalah kecederaan dan pengantungan perlawanan.
Dikhabarkan dari pihak pengurusan, mereka akan menurunkan kesebelasan terbaik untuk pertemuan ini kerana hanya kemenangan akan membuka kembali laluan pasukan ke peringkat kalah mati. Tiada istilah seri atau kalah yang dicari setelah tewas perlawanan pertama tempoh hari.
Berdasarkan info pengurus pasukan, posisi penjaga gol kemungkinan kembali kepada Khairul Fahmi Che Mat apabila prestasi semasa Syed Adney Syed Hussien menyebabkan ketidak yakinan pasukan kepada pemain ini untuk menggalas tugas utama tersebut.
Barisan benteng yang cemerlang menahan asakan skuad Rusa baru-baru ini bakal dikekalkan ketua jurulatih Kelantan kerana mereka diharapkan dapat mengekang pemain tuan rumah dari berleluasa merobek kubu pasukan. Kekebalan Azizi Mat Rose, S. Subramaniam, Daudsu Jamaludin dan Farisham Ismail memberikan kekuatan tambahan kepada Sang Kijang untuk mengecewakan PKNS. Di bangku simpanan, Rizal Fahmi, Zairul Fitree dan Sharudy Aziz juga bersedia untuk diturunkan seandainya empat pemain utama diatas mengalami kecederaan dalam perlawanan.
Ekoran kekalahan kepada juara bertahan, posisi tengah Kelantan dijangka mengalami beberapa perubahan drastik oleh pihak kejurulatihan. Yang dikekalkan mungkin hanya Shakir Shaari dan ketua pasukan, Indra Putra. Badri Radzi mungkin disisihkan kerana kegagalan menunjukkan prestasi baik untuk memberi peluang kepada Khairan memperagakan aksi di bahagian tengah. S. Chanturu pula sudah pasti diturunkan untuk mengantikan Norfarhan Mohamad yang diketepikan akibat kecederaan manakala pemain simpanan seperti Zulyusri dan Wan Zaman pula mengharapkan keajaiban untuk berada dalam senarai 18 pemain yang didaftarkan untuk perlawanan.
Jentera serangan yang dilihat tumpul dijangka masih mengekalkan Norshahrul Idlan dan Akmal Rizal Rakhli di posisi permulaan. Hairudin Omar masih berada di bangku simpanan manakala Che Hishamudin, Nidzad Ayub, Ramzul Zahini tetap berpeluang menganggotai skuad jika B. Sathianathan mahu melakukan sedikit perubahan di posisi menyerang.
Yang utama, corak taktikal bagaimana akan diterapkan B. Sathianathan untuk menentang pasukan kelab tersebut. Beliau perlu melakukan sesuatu untuk menundukkan lawan kerana pada waktu ini, sebarang kekalahan bakal menutup peluang Sang Kijang untuk melepaskan diri ke saingan kalah mati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan