KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 19 September 2010

KELANTAN FA mln KL PLUS



Peluang Kelantan untuk menambah tiga lagi mata dalam Piala Malaysia terbuka luas apabila melayan kunjungan KL Plus di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam esok.

Melihat persembahan terkini, skuad Kijang dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk memungut mata penuh terutamanya selepas kejayaan pertama menundukkan PKNS.


Bagi Sang Kijang, mata penuh menjadi idaman manakala KL Plus turut bersemangat untuk mencari sekurang-kurangnya satu mata bagi mengelakkan menjadi antara pasukan pertama tersingkir.

Pertemuan esok dijangka sengit kerana pasukan kelab berpengkalan di Selayang tersebut bertekad mahu menjadi pasukan kedua menyekat kemaraan Kelantan di gelanggang sendiri.


Rekod pertembungan kedua-dua pasukan dalam Liga Super, Kelantan menang dua pertemuan sama ada di gelanggang sendiri mahu pun arena lawan.

Dari persembahan terbaru, tugas mengawal pintu gol sekali lagi menjadi milik Syed Adney Syed Hussien ekoran seorang lagi penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat mengalami masalah kecergasan setelah baru kembali dari kecederaan.

Bahagian pertahanan pula dijangka terus mengekalkan Azizi Mat Rose, S. Subramaniam dan Zairul Fitree manakala Farisham Ismail dijangka dimasukkan dalam kesebelasan utama untuk bermain di posisi pertahanan kanan apabila Daudsu Jamaludin dikhabarkan mengalami masalah hamstring.

Lain-lain pemain pertahanan seperti Sharudy Aziz dan Rizal Fahmi dijangka kekal di bangku simpanan. Dimasukkan hanya untuk mengantikan pemain yang keletihan atau mengalami kecederaan sewaktu perlawanan.

Jentera tengah yang bermain cemerlang sewaktu menundukkan PKNS turut dijangka akan terus kekal diisi S. Chanturu, Shakir Shaari, Khairan Eroza dan ketua pasukan, Indra Putra Mahayudin. Manakala Badri Radzi, Zulyusri dan Wan Zaman terus diletakkan di bangku simpanan iaitu hanya dimasukkan jika ada pemain utama mengalami kecederaan.

Posisi serangan pula dirasakan B. Sathianathan akan meletakkan penyerang muda, Nidzad Ayub untuk bergandingan dengan Norshahrul Idlan. Nidzad memberi persembahan bertenaga ketika mengucar kacirkan pertahanan PKNS baru-baru ini dan melihat pada persembahan itu, tidak mustahil khidmatnya akan terus digunakan dalam kesebelasan utama.

Penyerang simpanan seperti Hairudin Omar, Akmal Rizal kemungkinan dimasukkan selaku 'super sub' manakala khidmat Che Hishamudin dan Ramzul Zahini belum pasti akan digunakan pengendali Kelantan tersebut.

Di kem KL Plus pula, mereka masih mengharapkan keajaiban untuk mengutip mata dalam perlawanan ini. Mereka sedar bukan mudah untuk mengecewakan Kelantan apabila bermain di gelanggang keramat tetapi jika mereka turun dengan semangat juang tinggi, tidak mustahil sesuatu boleh berlaku.

Kejayaan mengikat Negeri Sembilan di Paroi pasti ingin diteruskan setelah kecundang perlawanan pertama menentang PKNS tempoh hari.

Paling tidak, kejayaan mengutip mata di Kota Bharu memberi keyakinan kepada mereka untuk sekurang-kurangnya mencapai rekod seperti musim lalu iaitu layak ke peringkat suku akhir.

Mereka mengharapkan pemain pertahanan berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah dapat membimbing rakan-rakan lain untuk mempertahankan kubu mereka. Walau masih terasa akan kehilangan Mat Zan Mat Aris, pemain KL Plus dijangka turun dengan semangat berlainan setelah diambil alih oleh jurulatih berasal dari Hungary, Janos Krecska.

Kehebatan mereka tidak boleh disangkal lagi kerana kepulangan dari Paroi dengan satu mata sudah membuktikan bahawa Highway Warriors masih mempunyai impian besar untuk kelangsungan cabaran mereka dalam Piala Malaysia.

Satu-satunya kehandalan pasukan kelab ini ialah dapat mengecewakan pasukan bertaraf gergasi bila mereka turun selaku pasukan bukan pilihan. Tiada tekanan terasa dan atas tiket itulah mereka dapat bermain tanpa memikirkan tekanan lain yang menganggu rentak persembahan.

Kelantan diingat berjaga-jaga dengan pemain seperti Nizarudin, Fadzli Shaari, Sanjos Sundawat dan beberapa pemain ternama lagi. Mereka ini pemain berpengalaman dan sudah biasa bermain dibawah tekanan perlawanan serta penyokong tuan rumah.

Tidak mustahil skuad Lebuhraya tersebut mampu mengejutkan Kelantan seperti mana dilakukan Negeri Sembilan beberapa hari lalu.

Tidak berat rasanya tugas B. Sathianathan untuk mencatur taktikal malam esok kerana rata-rata pemain sudah memahami tugas mereka mencari gol untuk mematikan cabaran pasukan pelawat.

Tidak bermain secara individu serta menampilkan persembahan bertenaga dan fokus pada perlawanan, Kelantan pasti mampu mengutip mata penuh didepan ribuan penyokong setia.

Untuk pihak penyokong, hentikan seketika tindakan tidak bertamadun, berikan peluang kepada pemain Kelantan bermain dalam keadaan tenang dan tidak tertekan dengan gaya serta sorakan dari penyokong. Berikan sokongan tidak berbelah bahagi, jangan pula memberikan hukuman tanpa sebab musabab yang jelas. Kita datang memberi sokongan, bukan datang bawa hukuman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular