KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 25 September 2010

Bukan Kritik Untuk Memusnahkan.



Kritikan yang dilemparkan sekarang oleh segelintir peminat kepada skuad Kelantan bukan untuk menjatuhkan moral pemain serta pihak pengurusan.

Semua yang dilontarkan adalah menuntut perubahan dan pembaharuan kerana sudah tiga tahun mereka dijanjikan dengan sekurang-kurangnya satu piala namun tetap gagal dilaksanakan walau sudah berlaku empat kali pertukaran jurulatih.

Mereka sudah muak dengan janji yang ditaburkan. Setiap kali bermulanya musim baru, janji diberikan tetapi gagal dikotakan.

Justeru itu, kritikan demi kritikan diberikan menuntut satu hasil lumayan akan diberikan kepada mereka selepas mereka banyak berkorban dari segala segi untuk memberikan sokongan terbaik kepada pasukan Kelantan.

Kalau mengikut kata kritikan pedas yang diberikan, KAFA seharusnya tidak melenting dan menganggap ia satu hukuman dari penyokong kepada pasukan. Anggap ia satu cabaran dari ribuan penyokong setia untuk menyaksikan kebangkitan Kelantan adalah berterusan bukan semakin tidak konsisten dari hari ke hari.

Memang penyokong sedar dengan tekanan dihadapi pihak pemain dan pengurusan tetapi mereka menuntut perubahan itu dengan satu asas yang kukuh. Asas untuk menyaksikan kejayaan pasukan dalam bola sepak Malaysia.

Penyokong bukan datang ke stadium membayar tiket untuk menjaga tahap mentaliti pemain. Mereka hanya mahu aksi baik dapat ditunjukkan. Kalah menang bukan persoalan jika pemain mampu memberikan persembahan menghiburkan.

Oleh itu, semua pihak dalam skuad Kelantan perlu sedar bahawa penyokong tetap setia memberikan sokongan walau mereka kalah dalam perlawanan. Masih ada yang setia cuma mahukan sedikit penghargaan iaitu permainan yang cemerlang dan mantap tanpa menunjukkan sedikit kesilapan yang membawa padah kepada pasukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular