Penyokong Diminta Jangan Bawa Mercun
KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sekali lagi mengingatkan kepada semua penyokong setia bola sepak Kelantan tidak membawa bahan terlarang terutamanya mercun ke dalam stadium sewaktu menyaksikan perlawanan pembukaan peringkat kumpulan TM Piala Malaysia, pertemuan Kelantan menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu pada Selasa ini.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, dalam suasana musim perayaan ini, pihaknya menjangkakan tidak dapat mengelak daripada melihat situasi itu mungkin angkara tindakan segelintir pihak yang dilihat cuba berseronok dengan membawa masuk bahan tesebut
“Dalam memastikan bahan terlarang itu tidak dibawa masuk ke stadium, pihak berkuasa akan melakukan pemeriksaan badan yang ketat terhadap setiap penonton yang memasuki stadium,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu semalam.
“Sudah pasti individu yang melakukan kesalahan itu akan ditangkap oleh pihak berkuasa dan kita berharap situasi sedemikian tidak berlaku pada perlawanan ini.
“Disamping itu, aktiviti membawa masuk makanan dan minuman oleh peniaga luar ke dalam stadium juga tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.
“Tidak ada sebarang aktiviti penjualan minuman di dalam stadium kecuali oleh satu jawatankuasa yang kita tubuhkan. Kita akan wujudkan tujuh atau lapan kaunter minum di kawasan dalam sekeliling stadium. Semua minuman hanya dijual tanpa penutup dengan jumlah ketulan ais yang terhad,” katanya.
Annuar berkata, perlawanan pembukaan peringkat kumpulan Piala Malaysia, Kelantan menentang Negeri Sembilan dikelaskan satu perlawanan menarik dan berprofil tinggi disaksikan oleh puluhan ribu puluhan ribu peminat Kelantan sendiri.
“Langkah-langkah keselamatan juga akan dipertingkatkan supaya tidak berlaku peristiwa buruk berlaku sebagaimana musim lalu. Semua aspek keselamatan ini diambil kira sama ada di luar mahupun di dalam stadium.
“Kita juga memohon kerjasama orang kerana masalah kesesakan lalu lintas dijangka akan berlaku memandangkan suasana perayaan masih lagi berlangsung. Kita mengesyorkan peminat membeli tiket lebih awal serta meletakkan kenderaan dengan tersusun dan tidak menghalang lalu lintas serta menyusahkan orang lain.
Menurut Annuar, keadaan tersebut sudah dijangka memandangkan ramai anak-anak perantauan Kelantan masih lagi berada di kampung halaman dan dikesempatan itu mereka sudah pasti tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pasukan Kelantan beraksi.
“Kita berharap semua pihak dapat memahami mengenai langkah-langkah keselamatan ini supaya semua pihak dapat menonton perlawanan dengan selamat tanpa sebarang insiden buruk berlaku,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan