KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 13 Februari 2014

Hafiz, Badhri dalam senarai utama



BADHRI (kiri), Hafiz (gambar depan kiri) dan Junior (kanan) kembali disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya kendalian Kim Swee.


PEMAIN tengah Pahang, Hafiz Kamal mengakui teruja apabila disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Ia merupakan kali pertama namanya disenaraikan untuk menyertai latihan skuad negara kendalian jurulatih baharu, (Datuk Ong Kim Swee).
Atas pemilihan itu, Hafiz mahu membuktikan kemampuannya sekali gus bertekad untuk merebut tempat dalam skuad utama untuk aksi persahabatan menentang Filipina dan kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Yemen pada 1 dan 5 Mac depan.
Aksi cemerlang Hafiz berjaya menarik perhatian Kim Swee ketika meledak gol kemenangan Pahang ketika menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi Liga Super Jumaat lalu.
Justeru, Hafiz mengakui dia tidak memiliki alasan untuk terus berhenti daripada melakarkan persembahan terbaik sebaik tersenarai menyertai skuad kebangsaan pada kali ini.
“Sebelum ini, saya hanya dalam senarai simpanan sahaja ketika di bawah bekas jurulatih, Datuk K. Rajagobal. Akhirnya, saya berjaya bersama pelatih-pelatih utama skuad Harimau Malaya di bawah Kim Swee.
“Sebenarnya, saya rasa sangat istimewa selepas disenaraikan dalam skuad kebangsaan kali ini. Sebagai pemain profesional, kamu akan berasa lebih semangat dari segi motivasi apabila mendapat peluang berkerja dengan jurulatih hebat seperti Kim Swee.
“Sejujurnya, inilah pertama kali saya berkerja di bawah bimbingan Kim Swee dan saya sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik jika khidmat saya diperlukan nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam perkembangan sama, kapten Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi turut gembira selepas disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya.
Jelas Badhri yang lebih mesra disapa sebagai Piya, kredibiliti Kim Swee tidak perlu dipertikaikan lagi dan dia semakin bersemangat untuk menyertai skuad kebangsaan pada kali ini.
“Saya tahu ramai mempertikaikan kemampuan saya selepas kurang menyerlah ketika bersama skuad kebangsaan berbanding ketika mewakili Kelantan.
“Saya masih mahu belajar dan saya yakin dengan kehadiran ramai pemain hebat Liga Malaysia, saya akan mendapat ilmu dan pengalaman yang cukup berguna.
“Apa yang pasti, saya akan memberikan komitmen dan khidmat terbaik buat Kim Swee jika saya mendapat peluang untuk beraksi bersama skuad kebangsaan nanti,” katanya.
Turut tersenarai dalam skuad Kim Swee kali ini ialah kapten pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar.
Turut disenaraikan ialah pemain Sarawak, Junior Eldstål yang kini sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bobby Gonzales yang sebelum ini sering diletakkan dalam senarai simpanan, turut mendapat tempat dalam senarai 25 pemian utama yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular