KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 6 Februari 2014

Badhri ada peluang sarung jersi kebangsaan



Mohd. Badhri Radzi

KOTA BHARU - Kapten dan bintang tengah Kelantan, Mohd. Badhri Radzi yang selama ini sering disisihkan daripada skuad kebangsaan mungkin mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya yang akan menentang Yemen pada perlawanan terakhir pusingan kelayakan Piala Asia 2015, 5 Mac ini.

Pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee kelmarin memberi bayangan akan membuat sedikit rombakan, termasuk memanggil beberapa pemain yang menunjukkan prestasi baik dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) untuk membawa cabaran negara pada kejohanan tersebut.

Malah, Kim Swee turut berada di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin untuk menyaksikan perlawanan pusingan kedua Piala FA di antara Kelantan menentang Sabah, yang berkesudahan The Red Warriors menang 2-1.

Kim Swee menjelaskan, beliau akan memberi peluang sama rata kepada semua pemain bagi membolehkannya membuat penilaian siapakah yang layak untuk membarisi skuad Harimau Malaya.
Katanya lagi, selepas dilantik secara rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengemudi skuad kebangsaan, Kelantan adalah lokasi pertama yang dilawatinya untuk menilai keupayaan pemain bagi diserapkan ke dalam pasukan negara.

"Saya akan memberi peluang kepada sesiapa sahaja.
"Peluang tersebut bukan sahaja akan diberikan kepada ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radzi malah pemain lain lain yang turut beraksi baik.

"Semua bergantung kepada prestasi yang dipamerkan mereka dalam persaingan liga," katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini kelmarin.
Tambah Kim Swee, beliau sudah mengenal pasti posisi yang perlu diperkemaskan menjelang pertemuan dengan Yemen, antaranya ialah barisan pertahanan.

"Posisi tersebut amat merisaukan saya, namun saya telah mengenal pasti beberapa pemain yang akan dipanggil untuk mengisi posisi tersebut," ujarnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular