KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 25 Februari 2014

Gandingan 2A Taruhan TRW

Darby menagih ketajaman Ahmad Fakri (kiri) setelah Mohamad Ghaddar (kanan) diketepikan apabila Kelantan bertemu Yangon United FC pada aksi pembuka tirai kempen Piala AFC, Rabu ini.
Darby menagih ketajaman Ahmad Fakri (kiri) setelah Mohamad Ghaddar (kanan) diketepikan apabila Kelantan bertemu Yangon United FC pada aksi pembuka tirai kempen Piala AFC, Rabu ini.


PASUKAN The Red Warriors (TRW) bakal mempertaruhkan gandingan penyerang 2A iaitu Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Md Ali bagi menghadapi Yangon United FC pada aksi pembuka tirai Kumpulan G saingan Piala Konfederasi Bola Asia (AFC), bermula esok.
Pengendali Kelantan, Steve Darby berkata, dua penyerang tempatan itu kini menjadi harapan beliau setelah pasukannya terbang ke Yangon, Myanmar petang semalam tanpa kelibat tiga pemain import mereka.
Menurutnya, khidmat dua penyerang import, Francis Forkey Doe dan Mohamad Ghaddar serta perancang tengah, Mohamed Shawky Aly terpaksa diketepikan pada aksi sulung pasukannya berikutan mereka mengalami kecederaan.
“Kami akan mengharungi 14 perlawanan dalam tempoh 41 hari. Faktor kecederaan memaksa tiga pemain itu disisihkan dan itulah yang perlu kami lakukan (merehatkan pemain) kerana jadual perlawanan cukup padat sepanjang Mac dan April.
“Memang agak mengecewakan biar pun seorang lagi pemain import, Obinna Nwaneri dapat bersama rakan sepasukan lain. Saya harap Ahmad Fakri dan Ahmad Shakir boleh melakukan sesuatu pada perlawanan itu nanti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Kelantan akan berdepan Yangon United FC, skuad yang dibimbing jurulatih kelahiran Australia, Eric Williams pada perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Pusat Latihan Belia, Yangon, jam 4 petang waktu tempatan.
Ini merupakan penampilan ketiga Kelantan di pentas pertandingan antarabangsa di mana tahun lalu kandas pusingan kedua setelah tewas 0-2 kepada kelab Hong Kong, Kitchee FC dan kalah menerusi agregat 2-6 kepada Arbil FC (Iraq), pada aksi suku akhir musim 2012.
Biar pun membawa skuad tempang, namun pengendali berusia 59 tahun itu tetap positif ketika ditanya peluang pasukannya sama ada mampu melakarkan kemenangan ke atas juara Liga Kebangsaan Myanmar 2013 itu.
“Saya gagal mendapatkan rakaman perlawanan pasukan berkenaan. Namun itu bukan satu alasan, kita akan berusaha mencapai kemenangan biar pun saya tahu ia agak sukar. Begitu pun, jika memperoleh satu mata di sana mungkin sudah memadai bagi kami,” katanya.
Malah, Darby turut menaruh keyakinan betapa gabungan di antara pemain baharu dan senior yang bakal direncanakan beliau nanti mampu membentuk kesebelasan terkuat pasukannya apabila berdepan Yangon United FC.
“Mereka (pemain muda) mempamerkan komitmen tinggi dalam latihan sebelum kami berlepas hari ini (semalam). Malah saya turut gembira apabila Amar Rohidan dan Muhammad Nazri Ahmad kembali menunjukkan perkembangan positif untuk disenaraikan dalam 18 pemain terbaik,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular