Penyerang import Kelantan, Mohamad Ghaddar akan bermain perlawanan kompetetif pertama dengan The Red Warriors pada pertemuan persahabatan dengan Perak di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, 1 Disember nanti.
Berita itu disahkan sendiri Tan Sri Annuar Musa dalam laman sosial Facebook miliknya, malam tadi.
Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Mohamad Ghaddar dijangka tiba dari Beirut pada hari Selasa, 29 November dan terus melaporkan diri kepada Peter James Butler di Paroi.
Dia akan menjalani latihan bersama pasukan Kelantan sehari selepas itu dan terus diturunkan untuk digandingkan dengan Denny Antwi serta Albert Banning dalam perlawanan persiapan pra musim dengan Perak.
Dalam perkembangan lain, Tan Sri Annuar Musa juga mengesahkan penyerang muda, Nidzad Ayub akan diberi pinjaman kepada Felda United sehingga Julai tahun depan.
Nidzad sebelum ini dikhabarkan tidak menandatangani kontrak baru dan dijangka menyertai Selangor namun dengan berita terbaru daripada pihak KAFA, jelas bahawa pemain ini masih mempunyai nilai dengan Sang Kijang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan