Final Getir Buat Harimau Muda Malaya.
Harimau Muda Malaya akan turun perlawanan paling getir sepanjang saingan mereka di Sukan Sea apabila menentang Indonesia dalam perebutan pingat emas di Stadium Gelora Bung Karno, malam esok.
Biarpun perlawanan peringkat kumpulan kedua-dua pasukan baru-baru ini berkesudahan Sang Harimau melompat garang mengerkah cabaran Garuda tetapi perlawanan kali ini sama sekali berbeza.
Jika pada awal tempoh hari, mereka menunjukkan semangat dan perjuangan kental untuk mengekang tuan rumah sehingga wisel penamat namun perlawanan kedua lebih-lebih lagi pentas akhir merupakan misi paling sukar untuk diharungi.
Namun, mahu atau tidak, halangan Laskar Garuda harus ditempuhi seterusnya mendakap kilauan emas kedua dalam masa empat tahun.
Melihat pada skuad semasa, sedikit kesukaran bakal ditempuh pemain negara kerana krisis kecederaan semakin meruncing selepas Izzat Faris menyertai Shahrul Azwari dan Wan Zaharul Nizam bakal tersisih dalam perlawanan akhir nanti.
Izzat dikhabarkan mengalami kecederaan pergelangan kaki serius pada minit akhir perlawanan ketika membantu menewaskan Myammar di separuh akhir manakala Shahrul dan Zaharul Nizam turut terkena bahana sama pada perlawanan tersebut.
Memburukkan lagi keadaan, tonggak pertahanan, Fandi Othman turut dilaporkan mengalami masalah kecederaan yang membuatkan perancangan ketua jurulatih semakin terencat.
Ternyata Ong Kim Swee tidak mempunyai banyak pilihan kali ini untuk melawan tuan rumah yang terang-terang bakal mendapat sokongan penuh dari penyokong mereka di gelanggang sendiri.
Kelebihan Indonesia terus disandarkan pada tonggak utama mereka yang dilihat 100% cergas dari masalah kecederaan selain mempunyai skuad penuh tanpa gangguan pengantungan perlawanan.
Halangan terakhir Malaysia untuk mengekalkan pingat emas berdepan banyak kesukaran tetapi diharapkan pemain Harimau Muda Malaya dapat bertahan dan mencari gol seawal mungkin untuk mengejutkan tuan rumah di laman mereka sendiri.
Pengalaman beberapa pemain di peringkat senior ketika menjulang Piala AFF tahun lalu bakal mengubah suasana getir kepada kilauan emas dan kepada mereka harapan menggunung tergalas bagi merealisasikan impian warga Malaysia yang mendukung pasukan Harimau.
Gelora Bung Karno perlu disenyapkan dengan jaringan gol dan pemain negara wajar menguatkan mental mereka bahawa segala provokasi di luar padang akan menguatkan tekad mereka menjulang kejayaan di penghujung perlawanan.
Berjuanglah Rimau Muda Malaya, benamkan Ego lawan mu, biar tidak tersisa walau sedikit rasa kesal mereka dengan kerkahan mu, Laskar Garuda bukan penghalang untuk mempertegakkan maruah bangsa. Malaysia, Tanah Tumpah Darah Ku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan