Stadium Nasional dapat lampu hijau
PERSOALAN pihak mana yang akan membayar RM500,000 sebagai penalti kepada kontraktor terhadap penangguhan kerja penurapan trek di Stadium Nasional, Bukit Jalil bukan lagi menjadi isu.
Menurut penjelasan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad kos penalti berjumlah setengah juta itu adalah ‘masalah dalaman’ antara Perbadanan Stadium Malaysia dengan kontraktor yang terbabit.
“Satu pengumuman rasmi untuk membenarkan beberapa perlawanan antarabangsa berlangsung di Stadium Nasional akan diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam masa terdekat,” kata Azzuddin semalam.
Ini bermakna persahabatan antarabangsa skuad negara menentang tiga kelab Inggeris iaitu Chelsea, Liverpool dan Arsenal pada Julai ini akan berlangsung di stadium yang dibuka pada 1998 itu selain perlawanan kelayakan Piala Dunia skuad bimbingan ketua jurulatih negara K Rajagobal menentang Taiwan (3 Julai) dan pusingan kedua Olimpik 2012 menentang Lubnan (23 Jun).
Malah Azzuddin tidak menolak perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Terengganu juga bakal berlangsung di stadium yang mempunyai kapasiti penonton sehingga 100,000 itu.
Terdahulu beliau hadir pada majlis pelancaran penjualan tiket perlawanan Malaysia dan Chelsea yang dijual mulai esok untuk perlawanan yang dijadual berlangsung pada 21 Julai ini dengan harga serendah RM58, RM68, RM108 sehinggalah tiket VIP yang bernilai RM388.
Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents Group, Julian Kam menjangkakan kehadiran penonton akan melebihi jumlah ketika aksi dua tahun lalu iaitu 55,000 orang.
“Ini peluang terbaik menyaksikan pasukan utama Liga Perdana Inggeris beraksi malah The Blues bakal menyenaraikan pemain utama dalam kunjungan ini serta pemain yang baru ditandatangani,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan