Karathu tagih aksi mantap
KARATHU (kiri) memberi penerangan kepada pemain Kelantan sebelum menjalani latihan ringan, semalam. - Foto Fathil Asri
BAYANGAN ke pentas final sudah terbayang namun Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu tetap menganggap perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang The Red Giant di Stadium Sultan Muhammad ke-IV malam ini, sebagai getir.
Walaupun berbekal selesa 5-1, pengendali berpengalaman The Red Warriors itu tetap menagih persembahan mantap dari kesebelasan utamanya dalam melayan kunjungan Selangor yang dilihat bakal bertindak seperti ‘singa luka’.
“Kemenangan 5-1 di Stadium Shah Alam Jumaat lalu, memang memberi laluan selesa tetapi kita tidak harus leka dengan kejayaan itu, perjuangan perlu diteruskan dan bermain di padang sendiri menuntut pemain memberi persembahan seperti di Selangor, Jumaat lalu.
“Kami jangkakan Selangor akan memberi tentangan memandangkan pasukan itu akan berusaha merampas ‘kemenangan’ yang Kelantan peroleh Jumaat lalu.
“Namun The Red Warriors tidak mahu mengecewakan penyokong setia di bumi sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam keadaan Kelantan yang disebut-sebut bakal mengulangi kemaraan ke final Piala FA buat musim kedua, Karathu memberi khabar kurang menggembirakan apabila dua tonggak pertahanan, Mohd Farisham Ismail dan Zairul Fitree Ishak, tidak dapat beraksi kerana menerima dua kad kuning.
“Saya akan gunakan khidmat Mohd Rizal Fahmi Rosid dan Mohd Aziz Ismail bagi mengisi kekosongan itu kerana walaupun masih muda, mereka mampu melaksanakan tanggungjawab yang diberi,” katanya.
Karathu juga menaruh harapan kesebelasan utama The Red Warriors dapat mengekalkan rentak cemerlang seperti dipamerkan Jumaat lalu, terutama membuat penyudahan berkesan untuk merobek gawang Selangor.
“Saya ingatkan pemain supaya tidak melakukan sebarang kesilapan yang boleh mengundang padah, sekali gus menghancurkan harapan untuk ke final nanti.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan