KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 7 Mei 2011

Kijang Gomo Kenari.




Hasrat Kenari untuk menyekat Kelantan dari mengutip tiga mata penuh tidak kesampaian apabila tewas 0-2 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu dalam perlawanan Liga Super, malam tadi.

Ternyata Kelantan menggunakan sepenuhnya kelebihan aksi di hadapan 30 000 penyokong setia mereka untuk mengecewakan Kedah melalui dua jaringan Khalid Jamlus dan S. Chanturu.

Permulaan babak pertama menunjukkan kesungguhan Kedah untuk mencari gol awal melalui cubaan 'volley' tersasar Firdaus Fauzi dari luar kotak penalti pada minit ke-2.


Selang dua minit selepas itu, Kelantan membalas dengan sentuhan menarik Norshahrul Idlan Talaha kedalam gawang Kedah namun gol tersebut dibatalkan selepas penyerang Sang Kijang tersebut berada dalam kedudukan offside.

Tidak lama kemudian, Mohd Badri Radzi hampir meletakkan tuan rumah dihadapan namun sepakan sudut lencong kedalam gawang Kedah berjaya ditanduk keluar Azmi Muslim diatas garisan gol.

Kelantan terus melakukan asakan dan pada minit ke-25, Nurul Azwan Roya yang menerima lantunan sepakan keluar pertahanan Kedah hanya mampu menyepak liar dari jarak 20 meter.


Pada minit ke-27, Khalid Jamlus yang baru dimasukkan selaku pemain gantian Solehin Kanasian turut hampa apabila cubaan hasil sentuhan pertama terus kedakapan Helmi Eliza Alias.

Khalid sekali lagi mengecewakan puluhan ribu penyokong tuan rumah apabila hanya dapat menyepak lemah kepada penjaga gol Kedah selepas menerima hantaran baik dari Shakir Shaari pada minit ke-30.

Seminit selepas itu, Firdaus Fauzi melakukan aksi tandukan terbang selepas menerima hantaran dari Azmi Muslim namun Khairul Fahmi lebih bersedia menepis keluar untuk sepakan sudut.


Kedah terus mara mengancam kubu Kelantan pada minit ke-38 selepas Firdaus Fauzi memanfaatkan silap faham Farisham Ismail dan S. Subramaniam untuk melakukan satu sepakan gunting kearah pintu gol Sang Kijang.

Tidak sampai seminit selepas itu, hasil satu serangan balas, Helmi Eliza bertindak cemerlang menumbuk keluar satu sepakan lambung Shakir Shaari dari luar kotak penalti untuk melegakan seketika kem pelawat.

Minit ke-44, Kedah dianugerahkan satu sepakan percuma dari luar kotak penalti Kelantan namun cubaan Badro Bakhtiar mudah diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat.


Tandukan terus Norshahrul Idlan Talaha kepada Helmi Eliza pada masa tambahan menutup tirai separauh masa pertama dengan kedudukan terikat 0-0.

Bersambung babak kedua, Kelantan tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan selepas hantaran satu dua Norshahrul Idlan kepada Nurul Azwan Roya disambut dengan lorongan menarik buat Khalid Jamlus melakukan tampanan kedalam gawang pada minit ke-53.

Bersemangat dengan jaringan pertama, Kelantan melancarkan serangan bertali arus memaksa pemain Kedah berkampung di kawasan sendiri.


Pada minit ke-59, sepakan percuma Badri Radzi ditampan keluar Helmi Eliza manakala cubaan Shakir Shaari, juga melalui sepakan percuma pada minit ke-65 tersasar keluar.

Tanpa diduga, melalui gerakan dari bahagian tengah, Khalid Jamlus melakukan satu hantaran leret kedalam kotak penalti terus disepak kencang S. Chanturu untuk menewaskan sama sekali Helmi Eliza untuk gol kedua Kelantan pada minit ke-66.

Selesa dengan dua jaringan, pemain Kelantan mula memperlahankan tempo permainan seterusnya membuka peluang kepada pasukan pelawat melakukan serangan demi serangan kearah kubu Sang Kijang. (RedsFC-News)


Kedah hampir merapatkan jurang pada minit ke-70 selepas Badrol Bakhtiar yang melepasi perangkap offside tidak dapat menewaskan Khairul Fahmi walaupun penjaga gol Kelantan itu sudah keluar dari posisi.

Badrol terus menghampakan kem Kenari dengan cubaan tersasar berjarak 35 meter pada minit ke-81.

Serangan demi serangan Kedah nyata tidak membunuh semangat pemain tuan rumah untuk menambah jaringan dan usaha tersebut hampir berjaya pada minit ke-89 setelah sepakan dari luar kotak penalti Mohd Badri Radzi terkena palang gol walaupun Helmi Eliza sudah tidak dapat berbuat apa-apa.


Percubaan terakhir dari Faizal Abu Bakar pada minit pertama masa kecederaan turut tidak mengancam gawang Sang Kijang seterusnya memberikan The Red Warriors kemenangan kelima berturut-turut dalam pusingan kedua saingan Liga Super 2011.

Kesebelasan Utama

Kelantan: Datuk M. Karathu.
Khairul Fahmi Che Mat (Pg), S. Subramaniam, Farisham Ismail (Rizal Fahmi), Shakir Shaari, Norshahrul Idlan Talaha, Solihin Kanasian (Khalid Jamlus), Nurul Azwan Roya, Daudsu Jamaludin, Badri Radzi (Kp), S. Chanturu (Izuan Salahudin) dan Zairul Fitree Ishak.

Kedah: Wan Jamak Wan Hassan.
Helmi Eliza Elias (Pg),Fauzi Nan (Kp), Shafizan Hashim, Badrol Bakhtiar, Amar Rohidan, Azmi Muslim (Fazliata Taib), Khairul Helmi Johari, V. Thirumugan, Faizal Abu Bakar, Mohd Firdaus Fauzi (Hattapon Bun An) dan Wan Mohd Asraf Wan Ali (Mohamad Fiqry)

Pemain Terbaik Pilihan RedsFC-News : Khalid Jamlus

Pegawai Perlawanan

Pengadil: Samsuddin Ibrahim
Pen 1: Mohd Zulkifli Jusoh
Pen 2: Mohd Faiz Che Mud
Peg 4: Mohd Ezani Said.

Statistik Perlawanan

Gol
Kelantan 2-0 Kedah

Offside
Kelantan 7-5 Kedah

Kad Kuning
Kelantan 2-1 Kedah

Posisi Bola (%)
Kelantan 50-50 Kedah
Kredit:REDSFC NEWS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular