Sentuhan pemusnah Ramzul masih berbisa
NAMA Muhammad Ramzul Zahini Adenan tiba-tiba kembali meniti di bibir penyokong serta peminat bola sepak Kelantan.
Semuanya bermula apabila Ramzul meledak dua gol bagi membantu Kelantan mencipta kemenangan bergaya 5-1 ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu.
Dia menggegar gawang Selangor seawal minit kesepuluh menerusi gol pembukaan Kelantan sebelum meledak satu lagi gol lima minit sebelum babak pertama berakhir.
Ramzul berkata, dua gol yang dijaringkannya itu amat bermakna buat dirinya selepas pulih daripada kecederaan serius yang dialami ketika bertemu Negeri Sembilan pada awal Mac lalu.
"Ia merupakan dua gol pertama saya dalam saingan Piala FA musim ini. Saya mahu merakamkan terima kasih kepada ketua jurulatih (Karathu) kerana memberikan peluang untuk kembali berada dalam skuad utama.
"Walaupun tidak mendapat tempat dalam tiga perlawanan sebelum itu, ia sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan saya untuk kembali merebut tempat dalam pasukan.
"Alhamdulillah saya berjaya kembali dan lebih manis, menjaringkan gol ketika menentang Selangor," kata Ramzul kepada Kosmo! semalam.
Mengulas pertemuan menentang Selangor minggu lalu, Ramzul mengakui, ia antara aksi terbaik yang ditunjukkan oleh skuad The Red Warriors itu musim ini.
"Saya sendiri terpaku dengan apa yang dipamerkan oleh rakan-rakan sepasukan. Kami bermain sebagai satu pasukan dan mengikut apa yang telah diarahkan oleh jurulatih.
"Tidak keterlaluan saya katakan inilah aksi terbaik untuk musim ini yang pernah saya saksikan.
"Namun, saya harap kejayaan ini tidak akan membuatkan kami leka, sebaliknya kami perlu bekerja dengan lebih keras dan memperbaiki segala kelemahan yang ada," katanya.
Ramzul menambah, dia kini semakin bersemangat untuk terus memburu gol dan seterusnya membawa Kelantan menjulang Piala FA musim ini.
"Sekiranya terus diberikan peluang selepas ini, saya bertekad untuk memberikan aksi terbaik.
"Meskipun terpaksa bersaing dengan pemain yang sedia ada, itu bukan alasan. Apa yang penting, saya kena terus berusaha dan belajar daripada mereka yang berpengalaman untuk menjadi penggempur berbisa," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan