Kelantan Kena Ikat.
Kelantan gagal menggunakan peluang untuk terus menerajui tangga teratas Liga Super selepas hanya mampu seri 0-0 dengan Negeri Sembilan di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Penguasaan penuh pada babak pertama dan sepuluh minit terakhir perlawanan jelas menunjukkan keazaman The Red Warriors untuk mencatatkan kemenangan namun kebuntuan sehingga wisel penamat merencatkan perancangan.
Deretan peluang terhidang yang diperoleh gagal disempurnakan selain dua jaringan dibatalkan oleh penjaga garisan kerana didakwa offside pada setiap babak memberikan satu mata kepada pasukan pelawat.
Permulaan babak pertama menyaksikan cubaan awal Danial Fadzly Abdullah terus kepada penjaga gol tuan rumah, Mohd Farizal Harun pada minit ke-2.
Tidak lama kemudian, Nurul Azwan Roya gopoh menyempurnakan peluang terbuka didepan gawang apabila sepakan kaki kiri melencong keluar walaupun tidak dikawal.
Negeri Sembilan yang tertekan dengan asakan menggila Kelantan melakukan satu serangan balas berbahaya dan hampir memerangkap Sang Kijang selepas cubaan deras Shahurain Abu Samah pada minit ke-22 dari luar kotak berjaya ditampan Khairul Fahmi Che Mat.
Pada minit ke-27, hantaran jarak jauh pemain pertahanan kepada Norshahrul Idlan Talaha disudahkan dengan rembatan tinggi walaupun berhadapan dengan penjaga gol Negeri Sembilan selepas pada awalnya berjaya menggelecek Mohd Aidil Zafuan.
Kem Kelantan terus hampa apabila jaringan S. Chanturu pada minit ke-33 dibatalkan pengadil selepas terperangkap offside.
Lima minit kemudian, hasil serangan balas Abdul Halim Zainal dan Hairudin Omar disudahkan Shahurain Abu Samah dengan sepakan leret terkena jaring tepi.
Ketika perlawanan memasuki minit akhir separuh masa pertama, tandukan tepat Shukor Adan ke penjuru kanan pintu gol berjaya diselamatkan Khairul Fahmi.
Bersambung babak kedua perlawanan, Negeri Sembilan bagaikan mendapat tonik berguna di bilik persalinan apabila melakukan serangan bertali arus kearah pintu gol Kelantan.
Bermula dengan sepakan lemah jarak dekat Shukor Adan pada minit ke-48, tuan rumah jelas menguasai perlawanan dengan memberi tekanan demi tekanan kepada benteng pertahanan pelawat.
Khairul Fahmi sekali lagi bertindak pantas dengan menepis sepakan dari luar kotak penalti Qhairul Annuar Roslani pada minit ke-55.
Corak permainan Kelantan terus tenggelam selepas ketua jurulatih Kelantan membuat keputusan mengeluarkan Danial Fadzly untuk digantikan dengan Khalid Jamlus pada pertengahan babak kedua.
Hasilnya, The Red Warriors dilihat tidak mampu menjana serangan melalui kawasan tengah memberikan Negeri Sembilan kesempatan untuk terus menguasai perlawanan. Namun, kekentalan barisan pertahanan Kelantan yang diketuai Farisham Ismail dan S. Subramaniam menyelamatkan pintu gol dari dibolosi.
Percubaan terbaik Sang Kijang hadir melalui sepakan Mohd Khalid Jamlus dari luar kotak penalti namun mudah buat Mohd Farizal Harun menyelamatkan keadaan.
Tuan Rumah terus mengatur gerakan menarik dan mempunyai dua peluang keemasan untuk didepan melalui sepakan dari jarak jauh Abdul Halim Zainal pada minit ke-80 serta cubaan tepat Hairudin Omar diselamatkan Khairul Fahmi pada minit ke-83 selepas bekas penyerang kebangsaan ini bijak menyambar bola lantunan diluar kotak penalti.
Pada minit ke-85, Norshahrul Idlan melakukan larian deras dari kawasan tengah namun hantaran lintang kepada Khalid berjaya disambar Farizal.
Pada minit akhir masa tambahan, Kelantan hampir pulang dengan tiga mata penuh selepas Khalid Jamlus bijak menyambung hantaran lintang S. Chanturu kedalam gol menewaskan Farizal Harun namun penjaga garisan pantas mengangkat bendera menunjukkan penyerang Kelantan tersebut berada di kedudukan offside.
Kesebelasan Pemain
Negeri Sembilan: Mohd Azrai Khor Abdullah.
Mohd Farizal Harun (Pg) (Kp), Aidil Zafuan, Irwan Fadzli Idrus, Tengku Qayyum Ubaidillah, Qhairul Anwar Roslani (Idris Karim), S Kunalan, Mohd Fiqri Azwan (Abdul Halim Zainal), Shukor Adan, Mohd Aliff Samsudin, Shahurain Abu Samah dan Hairuddin Omar.
Kelantan: Datuk M. Karathu.
Khairul Fahmi Che Mat (Pg), Daudsu Jamaludin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Danial Fadzly Abdullah (Khalid Jamlus), Muhd Badhri Radzi (Kp), Nurul Azwan Roya (Mohd Izuan Salahuddin) Mohd Shakir Shaari, S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha (Nidzab Ayub).
Khairul Fahmi Che Mat (Pg), Daudsu Jamaludin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Danial Fadzly Abdullah (Khalid Jamlus), Muhd Badhri Radzi (Kp), Nurul Azwan Roya (Mohd Izuan Salahuddin) Mohd Shakir Shaari, S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha (Nidzab Ayub).
Pemain Terbaik Perlawanan: Irwan Fadzli Idrus
Tiada ulasan:
Catat Ulasan