Ramzul Masih Belum Puas
KOTA BHARU – Percaturan berani jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mempertaruhkan penyerang muda, Muhammad Ramzul Zahini Adenan bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha dibahagian depan terbukti berkesan apabila kedua-dua penyerang tersebut sentiasa mengkucar-kacirkan benteng pertahanan Johor FC.
Disebalik perubahan taktikal itu yang bukan sahaja memberi kelegaan kepada penyokong setia Kelantan, tumpuan juga terarah apabila tindakan bijak Karathu menyenaraikan penyerang muda itu menghidupkan kembali jentera serangan Kelantan setelah Norshahrul dibiarkan keseorangan dalam dua perlawanan terdahulu.
Muhammad Ramzul Zahini, 24 tahun, pemain yang mula mewakili skuad senior Kelantan pada tahun 2008 dibawah era Norizan Bakar membuktikan sentuhannya masih berbisa biarpun tidak dapat beraksi sepenuh masa kerana mengalami kecederaan dalam perlawanan menentang Johor FC di Kota Bharu malam semalam.
Mempunyai susuk badan yang tinggi, rajin menghidu peluang diatas padang disamping mempunyai larian yang pantas merupakan antara kelebihan bagi pemain yang berasal dari Pasir Pekan, dekat Kota Bharu ini.
Sebelum ini, nama dia lenyap seketika dalam landskap bola sepak negeri ini setelah mengalami kecederaan lutut yang serius ketika beraksi dalam perlawanan separuh akhir pertama kempen Piala FA menentang Negeri Sembilan di Kota Bharu pertengahan tahun 2009 sehingga memaksa dia ‘bersara’ buat sementara waktu dalam lapangan ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada jurulatih diatas kepercayaan yang diberikan dan ini merupakan satu suntikan semangat kepada saya untuk beraksi lebih baik dalam perlawanan selepas ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
“Kalau ditanya soal perasaan, secara jujur boleh katakan saya masih belum berpuas hati kerana tidak menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut. Sebagai pemain penyerang, tugas saya adalah menjaringkan gol untuk pasukan. Begitu pun, saya tetap merasa puas sekiranya rakan sepasukan yang lain dapat menjaringkan gol dalam perlawanan itu.
“Namun saya percaya peluang itu akan tiba dalam satu atau dua perlawanan tidak lama lagi. Ini perlawanan kompetitif pertama saya sejak berehat hampir setahun setengah tahun yang lalu. Tahun lepas, selepas pulih daripada kecederaan saya langsung tidak berpeluang beraksi dalam perlawanan liga kecuali hanya bermain dalam Kejohanan Piala Emas Raja-Raja dan membantu Kelantan menjulang piala tersebut,” katanya.
Menurut Ramzul, dia tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan oleh pihak pengurusan sementelah mengakui tahun ini merupakan tahun terbaik bagi dia membuat penampilan bersama pasukan negeri kelahirannya ini.
“Ini satu peluang keemasan yang tidak harus saya lepaskan. Sebelum ini saya pernah berjanji untuk membuat ‘come back’ setelah begitu lama berehat panjang dan saya fikir saya berada dilandasan yang tepat untuk kembali mengintai peluang berada didalam kesebelasan utama pemain.
“Memang Kelantan mempunyai ramai pemain yang boleh bertindak diposisi serangan. Kita ada Muhd Khalid (Jamlus), Mohd Nizab (Ayub), S Chanturu selain Norshahrul (Idlan Talaha). Saya percaya ini merupakan satu persaingan yang sihat bagi kami merebut tempat dalam kesebelasan utama pemain,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan