KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 1 Februari 2011


Prebiu Perlawanan


Kelantan mln Terengganu


Saingan Liga Super 2011 dibuka secara rasminya dengan Sang Kijang tampil cemerlang mengondol Piala Sumbangsih menewaskan juara bertahan, Selangor sekali gus memungut tiga mata pertama. Tidak bagi Terengganu, perlawanan pertama mereka dihadapi penuh rintang apabila hanya mampu mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan pendatang baru, Sabah di Kuala Terengganu.

Pertembungan negeri sejiran sekali lagi menjadi medan penting buat dua pasukan untuk menunjukkan kejaguhan sama ada status gergasi Pantai Timur kekal bersama Kelantan atau bertukar milik kepada Sang Penyu.

Rekod pertembungan musim lalu, Sang Kijang gah mengecewakan lawan 3-0 di Kota Bharu dan mengikat lawan 0-0 pada perlawanan pembukaan musim.

Tetapi ketika itu, anak buah M. Karathu dibarisi nama bintang yang membawa kejayaan besar kepada Kijang sepanjang 2010 dan waktu ini, hampir kesemua pemain tersebut sudah beralih arah menabur bakti dengan pasukan lain. Berbeza dengan Irfan Bakti, mereka masih mengekalkan beberapa nama yang membawa kepada prestasi gemilang termasuk masih mendapat khidmat penjaring terbanyak liga, Ashaari Shamsudin.

Namun setiap musim, perlawanan tetap mencorakkan keputusan berbeda dan mampukah skuad The Red Warriors mengekalkan konsentrasi mereka memburu kejuaraan Liga Super ataupun tersungkur layu dibenam Terengganu.

Yang pastinya, perlawanan ini menjadi tugas getir buat jurulatih terbaru Kijang untuk menyakinkan para peminat di halaman sendiri bahawa kemenangan yang diraih ke atas Selangor pada perlawanan pertama tempoh hari merupakan kekuatan sebenar pasukan bukan bersandarkan nasib semata-mata.

Jika tidak, nama beliau mungkin menjadi sebutan dengan tohmahan dan kata nista seperti mana terpaksa Sathianathan hadapi ketika permulaan kancah Liga.

Melihat pada pertembungan di Kota Bharu, tiga mata penuh keatas Terengganu wajar dikutip sementelah pula rekod musim-musim terakhir sememangnya berpihak pada Sang Kijang. Tambahan beraksi di gelanggang sendiri, tiada alasan yang boleh diberikan seandainya keputusan sebaliknya dicatatkan.

Dijangka M. Karathu akan mengubah corak taktikal 4-5-1 kepada 4-4-2 bagi mengurangkan sedikit tekanan kepada pemain penyerang. Beliau mungkin akan terus mengguna khidmat Norshahrul Idlan Talaha di posisi serangan untuk merobek kubu mantan penjaga gol utama negara, Sharbinee Alawee. Walau mengadu sedikit sakit akibat kecederaan lama, khidmat beliau sangat diperlukan dalam perlawanan menentang Terengganu. Tetapi, kelihatan Norshahrul tidak dapat bermain keseorangan ketika beraksi di Shah Alam kerana tiada pemain lain dapat memberi bantuan semasa dia cuba membawa masuk bola kedalam kawasan penalti menyebabkan gerakan yang dilakukan pemain ini seringkali tersekat dek kawalan ketat pertahanan lawan.

Oleh itu, Karathu perlu mencari seorang penyerang yang mampu membantu Norshahrul selain mengurangkan kawalan pertahanan lawan kepada peledak utama tersebut. Nama yang mungkin dapat menjadi 'backup' kepada Norshahrul ketika ini ialah Ramzul Zahini Adnan selepas dua penyerang, Khalid dan Chanturu masih dilanda kecederaan manakala Khairul Izuan Rosli dan Nidzad Ayub belum diyakini dapat memberi aksi memberangsangkan.

Bagi posisi tengah, tiada pertukaran drastik dijangkakan selepas kesemua pemain yang diturunkan di kawasan tersebut melaksanakan tugas mereka dengan baik. Cuma, sedikit kecewa dengan Badri Radzi selepas melakukan kesilapan bodoh tempoh hari di Shah Alam menyebabkan serangan balas pantas dilakukan pasukan lawan. Benar, dia dapat menjaringkan satu gol namun tiga hantaran 'bad mistake' tidak boleh dimaafkan kerana menyebabkan kubu Kelantan hampir dibocori serangan balas lawan.

Nurul Azwan Roya dan Solehin Kanasian Abdullah diberi pujian melambung bila mana menampilkan persembahan cemerlang di bahagian sayap memaksa benteng Selangor bertungkus lumus menyekat gerakan mereka. Justeru itu, kudrat mereka terus ditagih ketika menentang Terengganu untuk membantu pemain penyerang selain bertindak sebagai perancang gerakan membolosi kubu pasukan pelawat. Satu tempat lagi kemungkinan besar akan terus diisi Shakir Shaari apabila pemain tengah Kelantan ini menunjukkan persembahan menyakinkan selain bertindak pantas membantu bahagian benteng ketika menerima serangan dari pihak lawan.

Manakala beberapa nama seperti Khairan Eroza, Wan Zaman, dan lain-lain kekal di bangku simpanan.

Kawasan pertahanan tidak membimbangkan jika dilihat pada prestasi semasa ditunjukkan empat pemain yang diturunkan ketika menyekat Selangor. Daudsu Jamaludin, Rizal Fahmi Rosid, Farisham Ismail dan Zairul Fitree Ishak kental bertahan ketika menerima asakan bertali arus dan dijangkakan mereka akan terus kekal di barisan pertama untuk menghalang pemain penyerang Terengganu dari merobek pintu gol kawalan Khairul Fahmi Che Mat. Gandingan serasi setakat ini diantara pemain pertahanan dan juga penjaga gol muda tersebut.

Nama-nama seperti Wan Rohaimi, Aziz Ismail dan Mohd Shahrilzan Ismail kekal di dalam senarai simpanan menanti peluang untuk dimasukkan.

Bagi Terengganu, mereka masih kehilangan Abdul Manaf Mamat ekoran kecederaan namun penampilan pertama dari Reshafiq Alwi sedikit melegakan. Berdasarkan kata ketua jurulatih mereka, ketumpulan jentera serangan menjadi salah satu faktor mengapa mereka gagal sama sekali untuk mengutip mata penuh semasa menentang Sabah. Walaupun menurunkan pemain yang menjaringkan lebih 15 gol pada musim lalu, kelibat pemain ini langsung tidak membantu Sang penyu.

Namun, dalam pertemuan dengan Kelantan, dijangkakan pemain tonggak pelawat akan cuba memberi tentangan untuk menebus kembali perasaan malu dibelasah di arena keramat Cik Siti Wan Kembang musim lepas.

Mereka mempunyai barisan termantap dan diyakini dapat memberi pulangan berbaloi kepada Terengganu pada akhir musim nanti tetapi yang harus mereka ubah sebelum turun kedalam padang ialah cuba memberi fokus pada perlawanan selain mengharapkan pemain perancang mereka dapat bertindak secara kerjasama dengan pemain lain.

Selain akan turun dalam pertembungan sejiran, kedua-dua pasukan juga mempertaruhkan dua pengendali berbeza zaman namun mempunyai pengalaman luas dalam arena bola sepak negara. M. Karathu pernah membimbing pasukan kebangsaan Sri Lanka dan kelab Singapura manakala Irfan Bakti menjadi jurulatih kelahiran Malaysia pertama diberi tanggungjawab membimbing kelab Indonesia.

Kedua-duanya mempunyai corak taktikal baik malah dapat merubah keputusan dengan teknik yang diterjemahkan kepada pemain pasukan masing-masing. Kita nantikan bagaimana dua jurulatih ini mencorak taktikal kepada anak didik mereka untuk cuba mencatatkan keputusan terbaik kepada pasukan kendalian mereka.

Ramalan Kelatewaz bola
Kelantan 3-0 Terengganu

Sila tinggal ramalan keputusan perlawanan anda di dalam ruangan post di bawah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular