KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 27 Februari 2011

Kelantan baiki jentera penggempur

KELANTAN gagal menghapuskan ‘badi’ Stadium Darulaman apabila sekali lagi dipaksa berkongsi satu mata dengan pasukan tuan rumah, Kedah pada aksi Liga Super malam kelmarin.

Turun dengan misi membawa pulang mata penuh, Kelantan dikejutkan dengan jaringan pendahuluan oleh bekas pemain The Red Warriors, Azlan Ismail hasil hantaran lintang Baddrol Bakhtiar.

Begitupun, Norshahrul Idlan Talaha menjadi penyelamat apabila meledakkan gol penyamaan pada lewat permainan.
Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa dan terkilan dengan keputusan itu.

Ini kerana, Kelantan dilihat kerap mengancam kubu Kedah tetapi gagal menghasilkan jaringan biarpun mereka sepatutnya berhak membawa pulang mata penuh.

Tanpa berselindung, beliau mengakui kurang naluri untuk menjaringkan gol menyebabkan para pemain mempersia-siakan beberapa peluang terbaik termasuk tiga menerusi ketua pasukan, Badri Radzi.

“Kita sudah menjangkakan satu perlawanan sengit akan berlangsung malam tadi (kelmarin) tetapi tidak menyangka kita mempunyai banyak peluang terbaik tetapi dihampakan dengan tindakan penyudah yang kurang baik.

“Separuh masa pertama kita menguasai permainan dan gol yang dihasilkan Kedah pada awal babak kedua jelas sedikit melunturkan semangat pemain tapi kita bertuah kerana berjaya mengikat kedudukan pada penghujung perlawanan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, beberapa kelemahan sudah dikenal pasti termasuk ketumpulan jentera serangan serta di bahagian tengah yang kurang ‘bekerja’ dalam merencanakan permainan sehingga menyebabkan Kelantan hampir berputih mata.

Jelasnya, sikap terlalu menghormati pasukan lawan terutama pasukan Kedah yang memiliki enam pemain kebangsaan boleh memakan diri biarpun jelas Kedah dilihat begitu tertekan sehingga berjaya memperoleh gol pembukaan.

“Sepatutnya kita memenangi perlawanan itu dan tiga mata semalam cukup penting sebagai ‘turning point’ untuk kita mengungguli persada liga serta menjarakkan kedudukan dengan pasukan-pasukan lain.

“Sebab itu, saya selalu pesan kepada pemain supaya jangan mengambil mudah setiap perlawanan kerana pasukan yang menentang kita akan memberikan komitmen yang paling tinggi dan mahu menewaskan kita,” ujarnya.

Katanya, tempoh dua hari sebelum turun melayan kunjungan Negeri Sembilan di Kota Bharu pada Selasa ini akan digunakan sebaik mungkin bagi memantapkan lagi jentera penggempur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular