Liga Super Selepas Dua Perlawanan
Antara Pasukan Liga Super 2011 |
Negeri Sembilan
Skuad Jang menepati ramalan awal bahawa persediaan awal yang dilakukan mereka dalam tempoh pra musim bakal diterjemahkan dalam perlawanan Liga Super. Kata itu membuktikan akan prestasi dua perlawanan awal setelah mereka berhasil mengutip enam mata maksimum apabila berjaya mencatatkan kemenangan keatas Harimau Muda dan T-Team. Pembelian ramai tenaga baru dalam skuad sangat berbaloi bilamana empat jaringan dengan satu bolos berjaya dihasil menunjukkan bahawa Negeri Sembilan benar-benar serius untuk terus kekal di takhta liga meninggalkan pesaing lain. Anak didik Wan Jamak selepas ini akan menentang Perak di Ipoh dan tiga mata harus dikutip jika mahu terus berkuasa di kedudukan pertama.
Kelantan
Kemenangan 2-0 keatas Selangor dan menjulang trofi pertama 2011 bakal menunjukkan penguasaan Kijang walau kehilangan ramai tenaga tonggak kepada pasukan lain. Namun, kegembiraan mereka sedikit terencat apabila diikat Terengganu di Kota Bharu. Situasi ini tidak merisaukan kem Kelantan kerana mereka masih dalam proses penyesuaian setiap pemain. Mengutip empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri sudah cukup pada permulaan musim. Pertemuan dengan Johor FC sejurus saingan Liga bersambung memerlukan sedikit perubahan dari corak taktikal jika The Red Warriors tidak lagi mahu mengalami keciciran mata.
Kuala Lumpur
Skuad ibukota menutup seketika mulut pengkritik sukan tanahair apabila turut memberi saingan kepada perebutan takhta liga apabila berjaya mengutip empat mata dari dua pertemuan awal. Dibarisi tonggak muda dan kurang pengalaman tidak mematahkan hati para pemain untuk berjuang diatas padang. Perlawanan seterusnya mereka akan berkunjung ke Shah Alam melawan Selangor dan jika perlawanan ini diharungi tanpa kekalahan, skuad Kuala Lumpur mampu pergi jauh dalam mencari penghormatan yang sudah lama tidak mereka kecapi.
Perak
Anak buah Norizan Bakar membuka tirai saingan dengan keputusan seri dengan Kuala Lumpur namun tangkas membaiki kesilapan perlawanan pertama untuk membenam Johor FC selepas itu. Pemain Perak masih lagi mencari kesefahaman untuk cuba memberi saingan selepas dua tahun perpelosok kebawah. Dibarisi campuran pemain muda dan berpengalaman, Seladang melaungkan cabaran akan mencuba untuk berada dalam kelompok atasan namun segalanya di tangan mereka kini. Buktikan kata itu dengan kemenangan keatas Negeri Sembilan dalam perlawanan ketiga.
Kedah
Sebuah lagi pasukan Gergasi Utara, Kedah memulakan kempen dengan perlahan apabila sekadar terikat tanpa jaringan dengan T-Team di Alor Setar. Namun, mereka bangkit selepas itu untuk menewaskan Felda United. Empat mata dengan kedua-dua perlawanan diadakan di tempat sendiri masih belum cukup buat Kenari terbang tinggi. Sementelah pula ketumpulan penyudah dimana satu gol dihasilkan melalui sepakan penalti, tidak mudah buat jagoan untuk mencabar kedudukan atasan. Justeru itu, perlawanan menentang Sabah di Kota Kinabalu harus diharungi tanpa masalah andai Kedah masih berimpian untuk terus mendaki carta kedudukan.
Harimau Muda
Tewas perlawanan pertama kepada Negeri Sembilan akibat leka pada penghujung saingan tidak mematikan semangat pemain bimbingan Ong Kim Swee dimana dua hari selepas itu, mereka menjadikan Pahang sebagai mangsa amukan anak muda Harimau Malaya. Mendapat khidmat tonggak pertahanan Malaysia di Piala AFF, Harimau Muda tampil garang untuk menyempurnakan tugasan dengan berkesan dalam permulaan Liga Super 2011. Mengutip tiga mata bukan suatu perkara mudah tambahan pula dibarisi pemain yang sangat muda namun pengalaman dikutip ketika beraksi di Slovakia nyata memberi impak. Pertembungan dengan T-Team selepas ini menyerlahkan sama ada pemain Harimau Muda benar-benar mampu berada di kedudukan baik dalam Liga Super atau menjunam kebawah.
Pahang
Perlawanan pertama mereka harungi dengan baik apabila cemerlang membelasah Perlis tetapi tewas kepada Harimau Muda selepas itu mengejutkan ramai pihak. Walaupun disertai pemain yang sederhana, kekalahan yang ditempah dalam perlawanan kedua bukan satu permulaan yang baik buat Tok Gajah. Panel kejurulatihan mereka harus lebih berwaspada selepas ini untuk cuba sekurang-kurangnya mencari keputusan positif dalam perlawanan menentang Felda United di tempat lawan. Tiga mata harus dicari jika tidak mahu ketinggalan lebih jauh dengan pasukan yang berada diatas.
Selangor
Kegagalan mempertahankan Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali ketiga tidak mendatangkan masalah kerana mereka pantas melupakan kekecewaan itu dalam perlawanan kedua. Masih belum nampak keserasian diantara pemain kesebelasan utama Selangor namun catitan kemenangan tetap berjaya mereka lakarkan. Pertemuan seterusnya menentang Kuala Lumpur di arena sendiri tidak mendatangkan masalah seandainya mereka mahu mengulangi pencapaian musim lalu dengan berada di kedudukan teratas. Paling tidak, mereka perlu mengutip mata penuh untuk membaiki kedudukan liga mereka ketika ini.
Terengganu
Gergasi Pantai Timur dianggotai kesebelasan sama seperti musim lepas kecuali dengan tambahan beberapa pemain baru tidak menampakkan keserasian yang mampu membawa mereka kepada kejuaraan liga. Dua perlawanan awal disambut dengan keputusan seri termasuklah tidak menjaringkan gol di gelanggang sendiri ketika terikat dengan Sabah. Irfan Bakti yang ditemui turut hampa kerana jentera serangan mereka gagal untuk menemui penyudah walau mempunyai peluang keemasan. Peluang sekali lagi buat pemain Penyu untuk cuba membaiki carta kedudukan mereka apabila bertandang ke Kangar untuk perlawanan ketiga. Terengganu harus tidak mencicirkan mata jika berimpian tidak mahu ketinggalan lebih jauh kepada pasukan teratas.
Felda United, Johor FC, Sabah dan T-Team.
Empat pasukan diatas hanya mampu mengutip satu mata dari dua perlawanan yang dilalui sebelum ini. Walau masih di awal saingan, mereka tidak mengambil peluang untuk mendapatkan tiga mata dalam dua perlawanan. Masing-masing berkongsi kedudukan di tangga bawah, ia tidak mencerminkan pencapaian mereka pada hujung musim nanti namun mereka perlu sedar taraf kekuatan pasukan di Malaysia bukan dilihat pda penghujung tahun tetapi mata yang dikutip pada setiap perlawanan. Andai mahu turut serta dalam perebutan menjadi johan terbaru Liga Malaysia, mereka perlu mengutip mata selepas ini dan mengharapkan pasukan lawan diatas mengalami keciciran mata. Ketika ini kebanyakan pasukan masih gagal mencari momentum untuk memecut laju kecuali mengharapkan beberapa keputusan nasib untuk mengutip mata.
Perlis
Pemain muda Singa Utara dilihat terkial-kial dalam dua perlawanan awal menyebabkan mereka langsung gagal mengutip sebarang mata. Sedikit kecewa penyokong mereka dengan pencapaian pasukan yang pernah menjadi antara pasukan ter-gah di Malaysia suatu ketika dahulu. Mereka kehilangan beberapa pemain utama dan ketika ini hanya mengontrakkan pemain buangan pasukan lain. Musim baru bermula, tidak perlu mereka berasa gundah, perlawanan selepas ini harus diharungi dengan tabah dan cuba cari jalan bagaimana untuk keluar dari kelompok bawahan. Melawan Terengganu di tempat sendiri dalam perlawanan ketiga harus dilalui selaku pasukan underdog. Paling utama, cari dahulu mata pertama untuk membangkitkan semangat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan