KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 19 Mac 2014

Annuar nyatakan sokongan kepada Tunku Ismail


PENASIHAT Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menyatakan sokongan kepada mana-mana presiden persatuan bola sepak (FA) negeri untuk bertanding bagi merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Annuar memberitahu, beliau telah berhubung dengan beberapa presiden FA negeri bagi mengetahui siapakah berminat untuk bertanding pada Kongres FAM ke-50 yang dijadual diadakan Mei depan.
"Saya ada bercakap dengan beberapa orang presiden FA negeri (mengenai pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi FAM yang baharu) akan datang.
"Saya menyokong siapa saja yang sanggup menawarkan diri (bagi merebut jawatan Presiden FAM)," kata Annuar ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Annuar tidak dibenarkan bertanding pada kongres tersebut kerana beliau masih menjalani penggantungan dua tahun enam bulan oleh FAM gara-gara mengkritik skuad kebangsaan pada April 2012.
"Selain tidak layak bertanding, saya juga tidak boleh mengundi pada Kongres FAM itu nanti," jelas Annuar.
Sebelum ini, Annuar yang akan tamat tempoh menjalani penggantungan pada Ogos depan menyatakan bahawa Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim antara calon paling layak untuk dilantik sebagai Presiden baharu FAM.
Semalam, Annuar sekali lagi mengulangi kenyataan tersebut, malah beliau bersedia untuk memberikan sokongan padu kepada Tunku Ismail yang dikatakan telah memberikan 'lampu hijau' untuk bertanding.
Annuar menerusi entri laman sosial, Facebook miliknya berkata: "Bila saya tanya kawan-kawan presiden persatuan bola sepak negeri, banyak yang tidak pasti sama ada mereka bersedia tawarkan diri untuk jawatan Presiden FAM.
"Namun, bila saya sembah persoalan ini kepada Tuanku Presiden PBNJ, titah baginda kepada saya, I'll run for it. Saya sedia demi bola sepak tanah air'.
"Inilah semangat yang kita mahu, aktivis bola sepak negara tidak boleh mengeluh tentang prestasi bola sepak negara tanpa berani memikul tanggungjawabnya."
KOSMO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular