KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 14 Mac 2013


‘Jangan Hanya Salahkan Jurulatih’

Datuk M Karathu
Kota Bharu: “Kejayaan sesebuah pasukan bukan hanya terletak pada jurulatih kerana pemain juga perlu memainkan peranan bagi membentuk pasukan yang kuat,” kata bekas pengendali Kelantan Datuk M Karathu ketika diminta mengulas mengenai pasukan Kelantan yang kini bergelut dengan masalah prestasi dalam saingan Liga Super.
Beliau yang membimbing Kelantan pada 2011 turut berpendapat ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak perlu mempelbagaikan taktik dalam usaha menemui kekuatan terbaik pasukan itu.
Katanya, kehilangan tiga tonggak utama barisan depan, Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azwan Roya dan Mohamed Ghaddar tidak boleh dijadikan punca utama kemerosotan prestasi The Red Warriors (TRW) musim ini.
“Apabila prestasi pasukan merosot, memang tugas jurulatih mengkaji kelemahan pasukan. Namun, jurulatih juga tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya, malah pemain juga perlu bekerja lebih keras dalam usaha membentuk satu pasukan yang hebat.
“Bagi saya, Hodak perlu mempelbagaikan taktik bagi menemui formasi terbaik. Ketika saya membimbing Kelantan dulu, saya banyak menukar taktik sebelum menemui strategi terbaik buat pasukan.
“Faktor kehilangan tonggak utama tidak boleh dijadikan punca utama Kelantan gagal mempamerkan aksi terbaik. Ini kerana kita lihat Ghaddar dan Mat Yo (Norshahrul Idlan) juga kini masih gagal membantu pasukan masing-masing pada kedudukan terbaik.”
Sebelum ini, kelab penyokong Kelantan mendesak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) termasuk Hodak melakukan perubahan drastik selepas juara tiga piala musim lalu itu beraksi hambar.
Kelantan kini hanya berjaya mengutip 11 mata daripada 10 perlawanan dan berada di tangga kelapan liga.
Menurut Karathu, masih belum terlambat untuk Kelantan bangkit dan Hodak perlu lebih mengetahui kekuatan dan kelemahan semua pemainnya bagi memudahkan beliau meletakkan pemain pada posisi yang betul dan membentuk strategi terbaik.
“Masih belum terlambat untuk Kelantan bangkit. Perbezaan tujuh mata dengan pendahulu liga, tidak begitu jauh malah peluang mengekalkan kejuaraan masih terbuka luas.
“Jurulatih juga perlu mengenal pemain malah mengetahui kekuatan dan kelemahan setiap pemain. Ini penting bagi jurulatih meletakkan pemain paling sesuai pada setiap posisi penting terutama di barisan tengah dan serangan.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular