PENYERANG Kelantan, Mohd. Faiz Subri bertekad untuk mempamerkan persembahan cemerlang pada perlawanan selepas ini.

Mohd. Faiz mula mencuri tumpuan selepas dia meledakkan gol pertama Kelantan ketika menewaskan PKNS 4-2 pada aksi pusingan kedua Piala FA Isnin lalu.
Pada perlawanan tersebut, Faiz Subri yang tidak dikawal berjaya melepaskan rembatan kencang dari jarak 25 meter, sekali gus gagal diselamatkan oleh penjaga gol PKNS, Mohd. Ramezy Che Ros.

Ia adalah jaringan sulung pemain yang mewakili Kelantan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Faiz Subri mengakui jaringan itu menyuntik semangatnya untuk terus meledakkan lebih banyak jaringan, sekali gus membantu Kelantan meraih kejuaraan musim ini.
“Ini merupakan gol pertama saya pada kempen Piala FA. Pada saingan Liga Super, saya masih belum berpeluang untuk menghasilkan jaringan.

“Saya berikrar untuk menjaringkan lebih banyak gol pada aksi liga selepas ini.
“Selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan melonjakkan lagi semangat saya untuk memberikan aksi terbaik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd. Faiz berkata, dia terus bertekad untuk meraih kepercayaan ketua jurulatih, Bojan Hodak bagi disenaraikan dalam kesebelasan pasukan itu.
Anak kelahiran Air Hitam, Kedah itu antara penjaring terbanyak T-Team musim lalu dengan meledakkan sebelas gol sepanjang 36 penampilan bersama pasukan tersebut.

Mengulas mengenai pertemuan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Liga Super, Jumaat ini, Mohd. Faiz berkata, dia yakin Kelantan mampu meraih kemenangan pada perlawanan tersebut.