Insiden Kecil Yang Diperbesarkan
Insiden balingan mercun di Kota Bharu. Benarkah bagai di medan perang? Tepuk dada tanya mata. |
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak pernah surut dari terpalit dengan kontroversi besar.
Dari dulu sehingga kini, Sang Kijang selalu menjadi bahan ketawa dan sindiran masyarakat luar akan kelakuan penyokong setia mereka yang tidak pernah berubah walau berpuluh kali dipesan agar sentiasa menjaga disiplin.
Terbaru, insiden lontaran mercun dan objek kedalam padang oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab pada perlawanan pertama saingan Piala Malaysia dua minggu lalu.
Insiden itu semakin sensasi dan menarik perhatian umum apabila banyak pihak berlumba untuk mengeluarkan kenyataan di media.
Bagaikan tradisi, selepas isu tersebut diutarakan di media maka ramai pihak bagaikan cakna dengan bola sepak Kelantan turut sama memberi respon akan isu yang dikemukakan.
Walaupun berita yang disampaikan itu tidak diketahui sejauh mana kebenarannya, mereka tetap ghairah untuk memberi reaksi segera.
Bermula dengan ulasan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Shabery Cheek meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan tegas kepada KAFA, saban masa di dada akhbar kelihatan kenyataan balas dari pihak penyokong dan persatuan negeri disiarkan.
Isu remeh disensasikan oleh pihak media berjaya menarik minat ramai untuk memberi komen sama ada positif ataupun negatif.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan betapa jika insiden itu melibatkan skuad Kelantan maka ianya mengambil masa lama untuk reda tetapi bila terkena pada pasukan lain, hanya berita kecil disiarkan, itupun di ruangan sisipan ringkasan.
Sebenarnya, isu yang berlaku pada perlawanan tempoh hari tidak sepatutnya ditimbulkan di pihak media terutamanya didada akhbar utama negara. Mengapa perkara kecil perlu diperbesarkan walhal yang berlaku tidaklah sebesar mana.
Bila sesuatu laporan disampaikan dengan berat sebelah maka isu yang kecil akan menjadi bertambah besar malah membuatkan ramai orang tidak puas hati akan laporan tersebut.
Pihak media yang melaporkan secara salah itu sendiri yang perlu diperbetulkan. Bukan dengan mencari salah persatuan negeri yang telah bertungkus lumus untuk mencari kaedah berkesan agar insiden tidak berulang lagi pada masa hadapan.
Jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan