KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 14 Januari 2011

Kerja Naiktaraf Giat Dijalankan – Abdul Fattah




Abdul Fattah Mahmood

KOTA BHARU – Masalah lampu limpah Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu dijangka selesai tidak lama lagi apabila pihak Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) kini sedang giat berusaha menaiktaraf lampu limpah di stadium tersebut sebelum sepak mula perlawanan sulung Liga Malaysia pada 29 Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, pihaknya juga telah menghantar surat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Kerja-kerja untuk memperbaiki keadaan permukaan padang juga sedang giat dijalankan selepas ianya rosak teruk akibat musim tengkujuh yang melanda penghujung tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu semalam.

“Kelmarin saya sudah memanggil pegawai daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan kerja-kerja menaiktaraf lampu limpah dapat disiapkan segera sebelum perlawanan liga bermula penghujung bulan ini.

“Mengenai masalah padang, semalam saya sudah tengok, petang ini (petang semalam) juga saya akan pergi tengok sekali lagi masalah padang dan sebagainya. Insya Allah, sekiranya kerja-kerja menaiktaraf masalah tersebut dapat diselesaikan sebelum hujung bulan ini, saya percaya kita dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak FAM,” katanya.

Dalam pemeriksaan awal oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM pada 20 Disember lalu, Stadium Sultan Muhammed IV,tersenarai antara beberapa gelanggang pertandingan yang tidak mendapatkan kelulusan awal untuk digunakan dalam perlawanan Liga Malaysia musim ini setelah tahap pencahayaannya tidak mencapai tahap minima 800 lux seperti yang ditetapkan.

Sementara itu, Abdul Fatah turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima surat daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk mengadakan satu majlis khas bagi mengagihkan wang bonus kemenangan Piala Malaysia sebanyak RM200,000 kepada para pemain skuad Kelantan musim lalu.

“Kita baru menerima surat daripada pihak Kafa dan saya sendiri telah bercakap dengan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, dan kita akan buat satu majlis keraian sebelum perlawanan pertama Liga Malaysia pada 29 Januari ini,” katanya.

“Kerajaan negeri juga turut bersetuju untuk memberikan insentif kepada Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBSMK) sebanyak RM100,000 diatas kejayaan menjulang Piala Emas Raja-Raja kali ke-13 baru-baru ini.

“Kita sentiasa menyokong penuh usaha persatuan-persatuan bola sepak mencipta kejayaan dan mengharumkan nama negeri ini dan disebabkan itu kita bersetuju memberikan insentif ini,” katanya.

Majlis Penyerahan Gendang Kepada Penyokong Kelantan Oleh Al-Jabbar Group


Al-Jabbar Sports.Com pengedar barangan sukan yang dikendalikan oleh Al-Jabbar Group akan menaja penyokong Kelantan di lembah kelang. Al-Jabbar Group yang juga penaja pasukan Kelantan melalui Al-Jabbar Sports.Com pada permulaan akan menaja tiga buah gendang untuk kegunaan penyokong Kelantan.

Satu majlis penyerahan gendang kepada Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan selaku wakil kelab penyokong Kelantan akan diadakan serentak dengan perasmian cawangan pertama Al-Jabbar Sports.Com pada hari Ahad ini, 16hbJan 2011, jam 2-4pm di Seksyen 8, Seri Bangi, Bandar Baru Bangi.

Majlis akan di rasmikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa. Turut diadakan, dialog bersama Tan sri mengenai persiapan pasukan kelate 2011, persembahan dikir barat bertemakan lagu bola kelate dan cabutan bertuah. Al-Jabbar Sports.Com juga menjemput semua penyokong pasukan Kelantan untuk hadir pada majlis itu nanti sebagai tanda sokongan kepada bolasepak Kelantan.

Khamis, 13 Januari 2011

Kelantan Hilang Hak Tuan Rumah?


Pekerja mengecat bahagian tempat duduk penonton di Stadium Sultan Muhammed IV, semalam sebagai persediaan untuk saingan Liga Malaysia 2011 tidak lama lagi. Gelanggang pasukan Kelantan itu merupakan antara stadium yang belum memenuhi syarat yang ditetapkan oleh FAM.

PETALING JAYA – Juara Piala Malaysia 2010, Kelantan bakal kehilangan hak dan kelebihan bermain di gelanggang sendiri serta sepak mula sebelah malam bagi beberapa perlawanan awal Liga Malaysia musim ini, apabila Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu masih belum memenuhi dua syarat utama pertandingan tempatan.

Gara-gara keadaan padang dan tahap pencahayaan kurang memuaskan, gelanggang keramat Wira Merah itu kini diarahkan diperbaiki dalam tempoh antara 15 hari sehingga seminggu sebelum perlawanan awalnya oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Kelantan bagaimanapun akan membuka Liga Super musim ini dengan bertandang ke Stadium Shah Alam bagi perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah dengan juara bertahan, Selangor pada 29 Januari ini, serentak dengan enam lagi perlawanan lain.

Turut mendapat amaran itu ialah empat lagi pasukan Liga Super; Terengganu, Sabah, Perak dan Johor FC manakala Sarawak, Sime Darby, PKNS, Angkatan Tentera Malaysia, Pos Malaysia, Harimau Muda B, Majlis Perbandaran Muar dan Johor mewakili Liga Perdana.

Gelanggang sendiri semua pasukan ini didapati rosak, botak, berumput tidak sejenis, tidak rata dan berlopak, selain tidak memiliki tahap pencahayaan lampu sehingga 800 lux untuk dilangsungkan perlawanan yang bermula pukul 8.45 malam.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Hamidin Amin berkata, gelanggang terlibat ialah Stadium Sultan Muhammed IV Kota Bharu, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, Stadium Likas Kota Kinabalu, Stadium Perak Ipoh dan Stadium JCorp, Pasir Gudang.

“Lain-lain stadium yang terlibat ialah Stadium Sarawak Kuching, Stadium Petaling Jaya, Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Stadium Larkin Johor Bahru,” katanya yang juga Naib Presiden FAM selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kali kelima di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Katanya, jawatankuasa masih cuba bertolak ansur dengan kesemua pasukan terlibat dan pihak pengurusan gelanggang apabila mengurangkan tahap pencahayaan lampu stadium kepada cuma 800 lux sedangkan ia sepatutnya ditetapkan pada 1,200 lux jika menurut peraturan pertandingan antarabangsa.

“Kami bukan mahu menghukum secara melulu dengan memberikan tempoh muktamad ini tetapi kami mahu semua pihak terlibat, mengambil berat dan mengenakan langkah berjaga-jaga, sejajar syarat pertandingan dan kualiti Liga Malaysia mulai musim 2011,” katanya.

Tegas Hamidin, kegagalan pihak berkenaan mematuhinya juga akan menyebabkan mereka terpaksa mengalihkan beberapa perlawanan awal di tempat sendiri ke stadium yang mungkin di tempat terdekat, negeri berjiran atau lebih jauh sekiranya tuan rumah asal di situ, dijadualkan bermain di gelanggang lawan pada hari berkenaan.

“Ini bererti ada kemungkinan Kelantan dan Terengganu umpamanya, terpaksa bermain di Stadium Darul Aman, Alor Setar bagi perlawanan tempat sendiri, selagi gelanggang utama mereka masih gagal mencapai syarat utama pertandingan iaitu padang dan lampu.

“Jawatankuasa juga membenarkan permintaan Pulau Pinang untuk melangsungkan perlawanan Liga Perdana musim ini di Stadium Bandaraya mulai 4.45 petang, begitu juga di gelanggang yang dilarang dimainkan perlawanan sebelah malam atau 4.15 petang bagi Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tiga Pemain Bakal Digugurkan Dalam Masa Terdekat


Zahasmi Ismail (dua,kiri) dan pembantunya Hamid Ramli (kiri) dan Mohd Nafuzi Zain (kanan) ketika menyampaikan taklimat ketika sesi pemilihan pemain di padang HUSM, Kubang Kerian, baru-baru ini.

KOTA BHARU – Persiapan Skuad Piala Presiden Kelantan kini dalam fasa terakhir membentuk sebuah pasukan yang disifatkan paling mantap setelah sesi pemilihan pemain yang berlangsung baru-baru ini telah mengenalpasti seramai 28 pemain terpilih untuk berada dalam senarai akhir pemilihan pemain skuad tersebut.

Ketua Jurulatihnya, Zahasmi Ismail berkata, daripada 28 pemain yang terpilih menjalani latihan pusat, beliau akan menggugurkan tiga pemain bagi melengkapkan senarai 25 pemain yang akan didaftarkan sebagai pemain Piala Presiden Kelantan musim ini

“Kita dalam peringkat akhir untuk memilih seramai 25 pemain yang akan menyarung jersi Kelantan musim ini. Pengguguran tiga pemain akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehkan kita membentuk sebuah pasukan yang mantap selepas ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Latihan pusat baru sahaja bermula sejak dua hari lalu dan kita memilih Padang Penjara di Pengkalan Chepa sebagai gelanggang latihan kerana sebelum ini kita menghadapi beberapa masalah mencari padang untuk menjalani latihan.

“Kita bercadang mengadakan siri perlawanan perlawanan persahabatan diluar Kelantan selepas ini bagi menguji kekuatan pasukan sebelum memulakan aksi sebenar sepak mula Piala Presiden pada 9 Februari depan,” katanya.

Menurut Zahasmi, seramai 10 pemain daripada pemain skuadnya termasuk beberapa tonggak musim lalu seperti Mohd Aris Zaidi, Mohd Zamri Ramli dan Mohd Izwan Salahuddin akan menjalani bersama skuad Liga Super Kelantan.

“Konsep kita pada masa kini cukup mudah, apa yang pasukan Liga Super Kelantan mahukan, kita akan bagi kepada mereka kerana kita sememangnya menjadi sebuah pasukan yang berperanan menyediakan pemain pelapis kepada pasukan utama.

“Beberapa pemain muda negeri ini yang pernah beraksi dengan pasukan luar sebelum ini seperti Mohd Ehsan Yusri (KM Naza), Mohd Norshahrul Hawari (Shahzan Muda), Mohd Manaf Mansur (T-Team) dan Muizzuddin Marzuki (KL Plus FC) turut mencuba nasib untuk bermain bersama dengan kita musim ini.

“Bahkan kita turut menyenarai pendek tiga pemain bawah umur 18 tahun iaitu Mohd Azmi Hamzah, Mohd Akid Ramli dan Mohd Hanafi Abdullah dalam sesi pemilihan pemain kali ini,” katanya.

Musim ini, Zahasmi akan dibantu oleh Mohd Nafuzi Zain yang bertindak sebagai penolong jurulatih disamping jurulatih penjaga gol sekali lagi dipikul Hamid Ramli.

Sejak dua tahun berturut-turut, skuad Piala Presiden Kelantan gagal melangkah ke peringkat suku akhir setelah sekadar menduduki tangga pertengahan saingan liga peringkat kumpulan sahaja dan melihat kepada persiapan awal kali ini, barisan pemain muda Kelantan seharusnya tidak mempunyai masalah untuk melepasi saingan peringkat kumpulan pada musim ini.

KAFA Lancar Keahlian TRW


Chan (kiri) menerima replika kad keahlian daripada Annuar sebagai menandakan keahlian beliau ahli nombor dua TRWC.

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menjadi persatuan bola sepak yang pertama di negara ini mempunyai kelab keahlian yang tersendiri apabila secara rasmi melancarkan keahlian kelab The Red Warriors (TRWC) khusus bagi peminat bola sepak di negeri ini.

Perlancaran kelab keahlian tersebut dilakukan dalam majlis memperkenalkan Pasukan TRW 2011 dan Perlancaran Jersi baru serta Kad Keahlian TRW yang diadakan di KB Mall, Kota Bharu dua hari lalu.

Pengerusi kelab bola sepak Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee diberi penghormatan oleh pihak Kafa untuk melancarkan secara rasmi kad keahlian TRWC dalam majlis tersebut.

Sebanyak empat kategori keahlian dibuka iaitu ialah Warriors (RM120), Premium (RM300), Korporat (RM3000) dan Presiden (RM5000). Untuk kategori Warriors dan Premium, peminat boleh memilih untuk menjadi ahli selama setengah musim (enam bulan) dengan membayar yuran RM60 (Warriors) dan RM150 (Premium) dan ianya sah sehingga 31 Mei 2011.

Selain itu, peminat juga boleh memilih untuk menjadi ahli semusim sehingga 30 November tahun ini dengan bayaran penuh RM120 (Warriors) dan RM300 (Premium) dan mereka diberi jaminan dapat membeli tiket bagi setiap perlawanan.

Bagi pemegang kad keahlian Warriors mereka boleh membeli sekeping tiket terbuka manakala pemegang kad keahlian Premium pula dibolehkan membeli sekeping tiket astaka pada satu perlawanan.

Manakala bagi pemegang kad keahlian Korporat dan Presiden, ianya turut dibuka kepada orang perseorangan dan syarikat-syarikat yang ingin bersama-sama membantu pihak Kafa. Pemegang kad ini layak membeli sebanyak lima keping tiket pada satu-satu perlawanan di Kota Bharu.

Setiap pemegang kad keahlian tersebut dijamin boleh mendapatkan tiket perlawanan kerana satu kaunter tiket khas disediakan bagi pemilik keahlian tersebut untuk mendapatkan tiket dengan mudah.

Selain itu, semua pemegang kad ini turut mendapat keistimewaan seperti potongan harga dan rebat daripada syarikat-syarikat yang terpilih yang bersama menjadi rakan kelab TRW ini. Mereka juga boleh menikmati diskaun pembelian produk daripada merchandise Kafa, kafe TRW selain kedai UMBRO.

Pemegang kad keahlian ini turut layak menikmati potongan harga antara 10 hingga 40 peratus daripada beberapa syarikat seperti Percetakan Zulrahim, Percetakan Excel, Rozaimi Optometrist.

Selain itu, turut menjadi rakan syarikat bagi The Red Warriors Club (TRWC) ini ialah Hotel Sabrina Court, RestoranNew Horizon, Restoran Sri Chiangmai dan Docnan Industries.

Para pemegang kad ini juga layak mendapat rebet sebanyak RM100 apabila membeli kenderaan keluaran Proton dan Perodua. Antara syarikat Perodua yang menawarkan rebet ini Noble Twin (M) Sdn Bhd (Jalan Semarak, Kuala Lumpur), Winning Auto Sdn Bhd (Pandan Indah, Kuala Lumpur) manakala syarikat Proton pula ialah Seyakin Holding Sdn Bhd (Jalan Semarak, Kuala Lumpur), Ulung Amal Sdn Bhd (Taman Permata, Kuala Lumpur), Biogress Sdn Bhd (Puchong, Selangor) dan Wajar Kuasa Sdn Bhd (Bukit Tinggi, Klang)

KAFA Terima Tajaan RM1 Juta


Annuar dan Exco Kerajaan Negeri, Abdul Fattah Mahmood (kiri) bersama penaja bersama pasukan Kelantan untuk musim ini.

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menerima suntikan dana apabila memperoleh tajaan berjumlah RM1 juta daripada barisan penaja-penaja bersama skuad The Red Warriors bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Senarai barisan penaja bersama TRW bagi musim ini diumumkan dalam satu majlis memperkenalkan Pasukan TRW 2011 dan Perlancaran Jersi baru serta Kad Keahlian TRW yang diadakan di KB Mall, Kota Bharu dua hari lalu.

Mendahului senarai ialah Kumpulan Media Karangkraf menerusi akhbar Sinar Harian Kelantan yang buat kali kedua menjadi penaja bersama dengan menyumbang sebanyak RM200,000 selain menjadi akhbar rasmi dengan memberi liputan sepenuhnya kepada skuad TRW sepanjang musim ini.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah berkata, penajaan buat kali kedua ini dilakukan bagi menyemarakkan lagi kegemilangan bola sepak Kelantan setelah kejayaan menjulang Piala Malaysia buat pertama kali sejak 89 tahun pada musim lalu.

Selain itu, Syarikat Yusmira Trading Sdn Bhd, salah satu syarikat yang memasarkan produk berasaskan penjagaan kesihatan terkenal di negeri ini juga buat kali kedua turut menyambung kontrak penajaan dengan menyumbang tajaan bernilai RM200,000 dalam bentuk wang tunai.

Jenama UMBRO selaku penaja utama pakaian kelengkapan sukan juga sekali lagi turut menjadi rakan kerjasama Kafa buat tahun kedua berturut-turut apabila menyumbangkan peralatan sukan tersebut untuk sepanjang tahun ini dengan nilai RM200,000. Pihak UMBRO menerusi wakilnya, S Muru turut hadir dalam majlis tersebut.

Sementara itu, sebuah lagi syarikat yang turut memasarkan produk penjagaan kesihatan terkenal iaitu Al-Jabbar Group buat pertama kali menjadi penaja bersama untuk pasukan Kelantan musim ini. Syarikat yang mengembangkan perniagaannya diluar negeri ini dan berpusat di Kajang, Selangor itu dimiliki sepenuhnya oleh anak watan negeri ini iaitu Mohd Kamaruzaman Che Hussain.

Selaku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Kamaruzaman yang hadir dalam majlis tersebut menyampaikan replika cek tajaan bernilai RM200,000 kepada Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa.

Pihak Kafa juga turut menerima kejutan tidak diduga dalam majlis itu apabila Pengerusi kelab bola sepak Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee turut mengumumkan untuk menyumbangkan sebanyak RM100,000 daripada sumbangan peribadi beliau sendiri untuk pasukan bola sepak Kelantan.

Anaknya, Nicholas Chan, 19 tahun telah mengikat kontrak beraksi bersama pasukan Kelantan musim ini.

Melengkapkan tajaan RM1 juta untuk musim ini apabila sebuah syarikat Abroad Technology Network turut mengumumkan penajaan berjumlah RM100,000 kepada pihak Kafa. Pengumuman itu disampaikan oleh sendiri oleh Pengerusinya, Nudin Awang kepada Tan Sri Annuar Musa dalam majlis tersebut.

Nudin Awang merupakan Pengurus Pasukan Piala Emas Raja-Raja Kelantan musim lalu yang berjaya membawa pulang trofi tersebut ke negeri ini buat kali ke-13 berturut-turut.

Masih Belum Mantap.

Barisan pemain The Red Warriors masih belum mampu mencabar pasukan lain dalam kancah Liga Malaysia 2011.

Saingan yang bakal bermula tidak sampai 20 hari sahaja lagi bagaikan racun berbisa menyentap semangat peminat setia Sang Kijang.

Terbaru, Kelantan diikat seri 1-1 oleh Pulau Pinang di Padang Maktab Perguruan Kota Bharu, petang tadi.

Menurunkan kesebelasan campuran pemain simpanan dan utama, anak didik B. Sathianathan masih gagal membentuk keserasian.

Banyak kelemahan ditunjukkan menyebabkan terdengar laungan tidak puas hati segelintir peminat yang hadir.

Bermula dengan corak perlahan, Kelantan dikejutkan dengan jaringan pertama pasukan pelawat namun Red Warriors berjaya menyamakan kedudukan melalui sentuhan penyerang muda, Mohd Nidzad Ayub.

Berdasarkan pemerhatian, pasukan Kelantan masih belum bersedia untuk menharungi cabaran getir Liga Malaysia bermula dengan pertemuan Piala Sumbangsih melawan Selangor.

Banyak kelemahan ditunjukkan kesemua pemain yang diturunkan selain kekurangan penyudah jentera serangan.

Barisan pengendali Kelantan perlu lebih tegas selepas ini dalam membentuk ketajaman didepan gawang dan mengharapkan pemain baru menyertai cepat menyesesuaikan diri dengan corak pemain sedia ada.

Jika tidak, harapan 2011 akan berkubur selepas prestasi hebat dicipta dua tahun kebelakangan ini.

Kesebelasan Utama: B. Sathianathan
Halim Napi, Farisham, W.Rohaimi, Rizal Fahmi, Zairul Fitree, Khairan Eroza, K Soley, Danial Fadly, Azwan Roya, Badri Radzi (C) dan Nidzab Ayub

Substitutes : Izuan Solahudin, Ramzul Zahini, Aris Zaidi, Wan Zaman, Zamri Ramli dan Aziz Ismail
Penyokong Kelantan Bimbang.

Aksi Azwan Roya ketika menentang Pulau Pinang, petang tadi

Penyokong setia mulai bimbang akan prestasi skuad The Red Warriors sebelum sepak mula Liga Malaysia 2011, penghujung Januari ini.

Pertemuan pertama menentang Selangor dalam Piala Sumbangsih sememangnya dinantikan tetapi mereka sedar skuad ketika ini tidak mampu mengharungi gelora Gergasi Merah di Shah Alam.

Deretan perlawanan pra-musim yang diatur Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bukan untuk memantapkan pasukan namun menunjukkan kelemahan demi kelemahan pemain Sang Kijang.

Enggan menyalahkan penghijrahan keluar ramai tonggak musim lalu, penyokong fanatik mahu pihak persatuan dan pengurusan pasukan mencari segera formula untuk meningkat naik.

Bagi mereka, Kelantan bakal menghadapi pelbagai masalah sepanjang saingan Liga Malaysia jika prestasi ketika ini terbawa-bawa ke dalam persaingan tertinggi tersebut.

Tiada yang dapat dibanggakan dalam persiapan pasukan Kelantan ketika ini selain kekalahan dan keputusan seri dicatatkan dalam setiap perlawanan yang dihadapi.

Walau menggunakan sebahagian besar pemain berpengalaman, mereka masih tumpul dan tidak serasi menyebabkan taktikal yang diterapkan tidak mampu diterjemah kepada keputusan positif.

Masih ada masa dan ruang untuk membaiki persembahan Kelantan sebelum sepak mula tidak lama lagi.
Perlawanan Persahabatan Pra-Musim

Kedah mln Kelantan
8.45 malam
15 Januari 2011
Stadium Darul Aman, Alor Setar

Semua penyokong Kelantan di sekitar utara dijemput hadir memberi sokongan kepada pasukan
The Red Warriors

Catatan Popular