KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 1 Mei 2014

KAFA Yakin Kemampuan George Boateng

George Boateng


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) yakin pengendali baharu skuad ‘The Red Warriors’ (TRW) George Boateng mampu menggalas tugas yang ditinggalkan oleh Steve Darby yang dipecat sebelum ini.
Naib Presidennya Datuk Rosmadi Ismail berkata pihaknya yakin bekas pemain antarabangsa Belanda itu mampu membawa perubahan kepada skuad TRW meskipun tidak mempunyai pengalaman mengendalikan mana-mana pasukan.
“Walaupun dia tidak pernah menjadi jurulatih tetapi kami dah nilai rekod-rekod beliau yang lepas dan kita yakin dia dapat melaksanakan tugas yang diberi dengan jayanya,” katanya kepada pemberita pada majlis memperkenalkan pemain terbaru TRW di ‘The Red Warriors Cafe’ di Kota Bharu, hari ini.
Rosmadi berkata, dua pemain baharu TRW iaitu pemain pertahanan dari Iraq, Hussein Alaa Salman dan penyerang Ghana, Prince Tagoe dijangka dapat di turunkan pada perlawanan akan datang.
“Hussein telah mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) manakala untuk Tagoe kita dah dapat kelulusan cuma tunggu sijil dari pihak atasan.
“Kontrak kedua-dua pemain ini adalah selama enam bulan dan mereka akan menjalani latihan bersama skuad esok,” katanya.
Kedua-dua pemain itu menggantikan Mohammad Ghaddar (Lubnan) dan Obinna Nwaneri (Nigeria) yang ditamatkan kontrak, namun khidmat dua lagi penyerang import, Mohamed Shawky Yazid dari Mesir dan Francis Forkey Doe (Liberia) dikekalkan.
Pasukan Kelantan mempamerkan aksi hambar dalam saingan Liga  Super ketika ini selepas berada pada tangga ketujuh dengan kutipan 20 mata dalam 14 perlawanan.
Mereka turut tersingkir daripada saingan ke pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas menduduki tangga tercorot  daripada empat pasukan Kumpulan G, dengan kutipan tiga mata daripada enam perlawanan.
Sementara itu, Boateng menegaskan bahawa pasukan Kelantan masih berada di landasan untuk memenangi salah satu kejuaraan musim ini.
“Saya masih percaya pasukan mampu mencapai sesuatu khususnya dengan adanya pemain terbaru. Selain itu, saya banyak mengetahui tentang pasukan ini serta majoriti pemain, sebab itu saya menerima tanggungjawab ini,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular