• Signifikan nombor 6, gol TRW dan Annuar MusaPemain Kelantan Dickson Naekame (dua, kanan) dikawal ketat oleh pemain Johor Aidil Zafuan Abdul Razak dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu malam tadi . Kelantan menewaskan Johor 6-1 - Foto Bernama
 1 / 1 
KEMENANGAN ke atas Johor Darul Takzim (JDT) tentunya cukup bermakna buat pasukan The Red Warriors (TRW) dan seluruh rakyat Kelantan.

Kemenangan bergaya dengan berpesta enam gol itu juga merupakan nombor yang cukup signifikan dalam hidup Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa.

Annuar menerusi laman sosial Facebook berkongsi "ketentuan" angka enam dalam hidupnya.

"Kebetulan agaknya...saya anak ke enam...nombor Digi saya berakhir dengan 666666...nombor Maxis saya berakhir dengan 6666...nombor telefon pejabat Pengerusi Mara berakhir dengan 666.

"Saya masuk hospital bilik CCU nombor enam, saya calon Majlis Tertinggi nombor enam, dan malam ini (semalam) TRW mara ke separuh akhir dengan gol jaringan enam gol. Demikian ketentuan ILLAHI," katanya.

TRW malam tadi melepasi ranjau penuh berliku untuk menempah tiket ke saingan separuh akhir Piala Malaysia musim ini setelah menyingkirkan JDT penuh bergaya menerusi agregat 8-5.

Anak buah Bojan Hodak itu membelasah JDT 6-1 pada aksi suku akhir kedua sekali gus memadamkan agregat awal 4-2 dimiliki pelawat.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh berkata, angka enam itu juga memberi semangat kepadanya walaupun tidak dapat menyertai himpunan Memperkenalkan Calon bagi Ahli Majlis Tertinggi Umno di Kota Bharu hari ini ekoran masalah kesihatan yang dialaminya.

"Hari ini 6 Oktober, semua calon pemilihan Majlis Tertinggi dari seluruh negara berhimpun bagi sesi Memperkenalkan Calon.

"Hari ini terasa segar kerana TRW menjaringkan enam gol malam tadi, sebagai calon MT nombor enam saya turut berkirim salam pada semua yang hadir majlis pagi ini walau tidak bersama dalam majlis.

"Saya turut menawar khidmat berdasarkan 'track rekod' perkhidmatan dan kesetiaan pada perjuangan," tambahnya.