KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 14 Oktober 2013

Kelantan Rampas Semula Kejuaraan

Kelantan Juara Piala Presiden 2013
KELANTAN 2
Muhamad Raim Azmi (m-73)
Mohamad Rozaimi Azwar Mat Noor (m-82)
PERAK 1
Khairul Asyraf Sahizah (m-75)
KOTA BHARU – The President Warriors merampas kejuaraan daripada Perak setelah menewaskan juara bertahan itu 2-1 dalam perlawanan akhir Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Anak buah Sideek Samsudin membuktikan mereka layak dijulang selaku pasukan terbaik pada musim ini apabila bukan sahaja merangkul kejuaraan malah turut membolot wang tunai RM100,000 setelah kali terakhir berbuat demikian dua tahun lalu.
Beraksi di hadapan hampir 5,000 penyokong, tuan rumah hampir  di depan seawal minit kedua apabila Mohamad Qayyum Marjono Sabil bijak melakukan hantaran lintang namun tandukan Fakrul Zaman Wan Abdullah Zawawi tersasar di sebelah kiri gawang Perak.
Perak bagaimana pun kembali balas serangan dan hampir mengejutkan Kelantan apabila rembatan kencang G Mugenthirran hampir menewaskan penjaga gol, Muhammad Fakhrul Ikram Azahari namun sempat ditepis keluar pada minit ke-12.
Lima minit kemudian, giliran tuan rumah nyaris di depan apabila Mohamad Qayyum Marjono melepaskan rembatan jarak jauh setelah penjaga gol, Muhammad Syazani Mat Puat terkeluar daripada posisinya namun sedikit tersasar di sebelah kiri gawang Perak.
Menuju minit ke-20, gawang pelawat cemas sekali lagi apabila sepakan bebas Mohamad Qayyum Marjono dari sebelah kiri padang singgah kepada Ketua Pasukan, Faizol Nazlin Sayuti namun tandukkannya diselamatkan Muhammad Syazani.
Peluang terbaik tuan rumah hadir lagi pada minit ke-28 apabila rembatan Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman hasil sepakan penjuru Mohamad Khairuddin Ramli melantun kepada Fakrul Zaman namun tampanannya pula melewati gawang pelawat.
Namun, corak permainan pemain tuan rumah bertukar hambar apabila jentera serangan mereka yang diterajui Mohamad Azyu Ikmal Che Mat Nor dan Fakrul Zaman gagal menembusi benteng pertahanan Perak sehingga beraksi di bawah tekanan selepas itu.
Kesempatan itu dipergunakan sebaiknya pelawat dan hampir berada di depan pada minit ke-33 apabila hantaran lambung Mohd Norhakim Isa ke dalam kotak penalti sempat ditanduk Khairul Asyraf Sahizah namun Muhammad Fakhrul Ikram berada tepat di posisinya untuk menyelamatkan gawangnya.
Memasuki babak kedua, jentera penggempur tuan rumah terus mempamerkan aksi mengecewakan memaksa Sideek memasukkan dua penyerang serentak, Adlie Aziz dan Muhamad Raim Azmi pada minit ke-56.
Ternyata, kemasukan dua pemain itu berjaya menghidupkan kembali jentera serangan mereka dan Adlie tidak perlu menunggu terlalu lama untuk membuktikan sentuhannya apabila melepaskan rembatan kencang di luar kotak penalti namun terus ke dakapan penjaga gol Perak seminit kemudian.
Malah pemain sayap Kelantan, Mohd Faiz Mohd Nasir terus memberi tekanan kepada pelawat pada minit ke-65 apabila melepaskan sepakan lambung dari luar kotak penalti namun sedikit melewati palang.
Perak kembali bangkit memberi tentangan pada minit ke-72 kali ini menerusi tandukan Mugenthirran hasil sepakan bebas Mohamad Hafiz Ramdan namun tandukannya sekadar menerjah jaring sisi kanan gawang tuan rumah.
Kebuntuan jaringan akhirnya dipecahkan pemain tuan rumah apabila Muhammad Raim tenang menolak masuk untuk menewaskan Muhammad Syazani setelah menerima umpanan daripada rakan sepasukannya seminit kemudian.
Kedudukan tersebut bagaimana pun tidak bertahan lama apabila Perak kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-75 apabila Khairul Asyraf Sahizah menghukum kealpaan benteng tuan rumah menerusi rembatan rendah melepasi jangkuan Muhammad Fakhrul Ikram.
Tiga minit kemudian, pelawat hampir menambahkan jaringan apabila Mugenthirran mudah melepasi kekangan Mohamad Faiz Suhaimi di dalam kotak penalti namun rembatan padunya menggegarkan palang ketika penjaga gol tuan rumah sekadar terpaku di posisinya.
Namun pemain tengah Kelantan, Mohamad Rozaimi Azwar Mat Noor memastikan kejuaraan milik pasukannya pada minit ke-82 apabila beliau yang tidak dicabar tenang menanduk masuk menewaskan Muhammad Syazani setelah menerima umpanan Mohamad Shahrul Hakim.
Kerja keras pelawat untuk mengheret permainan ke masa tambahan gagal apabila tandukan ke belakang Khairul Asyraf pada minit ke-89 terlalu mudah diselamatkan Muhammad Fakhrul Ikram.
Malah sepakan bebas Khairul Asyraf pada minit ke-93 gagal menghasilkan gol penyamaan apabila terus ke dakapan Muhammad Fakhrul Ikram sekali gus mengesahkan Kelantan selaku juara Piala Presiden musim ini.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Afandi Hamzah yang hadir menyaksikan perlawanan akhir malam tadi menyampaikan hadiah kepada pemenang. Hadir sama Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan Naib Presidennya, Datuk Rosmadi Ismail.
Sementara itu, penjaring gol kemenangan Kelantan, Mohamad Rozaimi Azwar diumumkan selaku pemain terbaik dalam perlawanan akhir malam tadi.
Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN – Muhammad Fakhrul Ikram Azahari, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman, Mohammad Faiz Suhaimi, Faizol Nazlin Sayuti (KP), Mohamad Qayyum Marjono Sabil, Mohamad Shahrul Hakim, Mohamad Khairudin Ramli, Mohammad Rozaimi Azwar Mat Noor, Mohd Faiz Mohd Nasir, Fakrul Zaman Wan Abdullah Zawawi (Adlie Aziz) dan Mohammad Azyu Ikmal Che Mat Nor (Muhammad Raim Azmi).
PERAK – Muhammad Syazani Mat Puat, Amirul Azhan Aznan, Mohammad Raffi Nagoorgani, Muhammad Rafiq Faeez Muhammad Daud (KP), Muhammad Hafiz Mohd Fauzi, G Mugenthirran, Mohd Norhakim Isa (Mohd Hafis Jamaludin)( Hamizul Izaidi Zulkifli), J Partiban (Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzzi), Ahmad Shukri Ab Hamid, Khairul Anuar (Mohamad Hafiz Ramdan) dan Khairul Asyraf Sahizah.
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Muhammad Nazmi Nasaruddin
Penolong Pengadil 1: Mohd Zulkifli Yusoff
Penolong Pengadil 2: Ahmad Faizal Mamat
Penolong Pengadil Simpanan : Muhamad Almi Abdullah
Kommissioner Perlawanan : Shahrin Ismail
Penilai Pengadil : Mat Lazim Awang Hamat
General Koordinator : Mohd Nazmi Mohd Nawi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular