KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 30 Oktober 2013

Kelantan, Pahang Lonjak Gelora

BARISAN pemain Kelantan meraikan kejayaan mara ke final Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Jumaat lalu.
“FINAL paling ditunggu-tunggu musim ini.”
Demikian jelas pengkritik bola sepak negara, Reduan Abdullah menjelang aksi final Piala Malaysia antara Kelantan dan Pahang di Stadium Shah Alam pada 3 November depan.
Menurut beliau, rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini tidak wajar dijadikan ukuran, memandangkan saingan di pentas final adalah sesuatu aksi yang cukup berbeza.
“Kedua-dua pasukan dilihat memiliki kekuatan dan kekurangan yang seimbang.
“Biarpun saya percaya pemenang tidak akan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti, ada baiknya kita tunggu aksi sebenar di atas padang nanti,” kata Reduan ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kelantan yang tampil selaku juara bertahan mara ke pentas final selepas mengecewakan finalis musim lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi agregat 4-3.
Pahang pula mengakhiri penantian selama 16 tahun untuk mara ke pentas final selepas mengatasi cabaran juara Liga Premier, Sarawak dengan agregat 4-2.
Sebagai rekod, kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan dalam aksi pembuka tirai Kumpulan C Piala Malaysia 20 Ogos lalu.
Bagaimanapun, skuad The Red Warriors berpesta gol membelasah Pahang 4-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 21 September lalu.
Ketika diminta mengulas mengenai sentuhan yang dimiliki pengendali Pahang, Dollah Salleh, Reduan mengakui, bekas penyerang skuad kebangsaan itu memiliki karisma tersendiri bagi menjulang Tok Gajah kali ini.
Ia bersandarkan kepada kejayaan Dollah yang mendakap gelaran yang sama ketika membimbing Selangor MBPJ pada 2003 dan Selangor dua tahun kemudian.
“Sebagai jurulatih, Dollah pastinya mahu menamatkan penantian penyokong Pahang yang kali terakhir melihat Piala Malaysia diarak ke Kuantan pada 1992 selepas Pahang dikecewakan Selangor di pentas final 1997.
“Cuma kredibiliti (jurulatih Kelantan) Bojan Hodak juga tidak boleh dipandang sebelah mata, beliau pastinya mahu mempertahankan gelaran juara Piala Malaysia selepas terlepas trofi Liga Super musim ini,” kata beliau.
Reduan juga percaya mana-mana pasukan yang paling sedikit membuat kesilapan bakal membawa pulang trofi paling berprestij edisi yang ke-87 itu.
“Aksi final pastinya berbeza, jadi pemain harus bijak mengawal perasaan dan tidak terlalu gemuruh.
“Apa yang pasti, saya percaya ia satu final yang ditunggu-tunggu terutamanya bagi peminat dari Pantai Timur,” katanya.
Pada final Piala Malaysia musim lalu, Kelantan mengecewakan ATM 3-2 di Stadium Shah Alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular