KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 16 Ogos 2012

Laporan Perlawanan Persahabatan Pra Piala Malaysia : Kelantan 1-1 T-Team FC.

Kelantan gagal mencatatkan kemenangan dalam perlawanan ujian kedua pra Piala Malaysia apabila diikat T-Team 1-1 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.


Beraksi di gelanggang sendiri, Kelantan bagaimanapun terlebih dahulu menerima asakan T-Team melalui gandingan Marco Tulio Silva, Fauzi Majid serta Faiz Subri.

Selepas 10 minit barulah Sang Kijang mendapat rentak melakukan serangan kearah pintu gol pasukan pelawat.

Pada minit ke-13, Kelantan didepan setelah percubaan Nurul Azwan Roya dari luar kotak ditampan Afiq Azmi untuk mengelirukan penjaga gol T-Team, Mohd Syamsuri.

Tersentak jaringan pertama tuan rumah, T-Team mengatur gerak dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-16 melalui percubaan jarak jauh Zairo Annuar Zailani.

Tekanan berterusan pasukan pelawat akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-21 selepas satu hantaran lintang yang dilakukan oleh Fadli Saari dari sebelah kanan ditampan masuk pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim.

Kelantan hampir menjaringkan gol kedua pada minit ke-24 namun sepakan leret Keita Mandjou dari luar kotak penalti sempat dikuis Mohd Syamsuri.

T-Team turut mendapat peluang menambah jaringan pada minit ke-26 melalui sepakan percuma Zairo Annuar tetapi Syazwan Yusof lebih bersedia menyelamatkan keadaan.

Faiz Subri pula menyaksikan percubaannya melalui gerakan solo dari sebelah kiri terkena tiang biarpun Syazwan sudah tertewas pada minit ke-32.

Dua minit kemudian, Afiq Azmi berjaya melepaskan satu sepakan dari luar kotak penalti tetapi mudah diselamatkan.

Bersambung babak kedua, Kelantan dan T-Team melakukan pertukaran taktikal bagi mengimbangi corak permainan masing-masing.


Namun kebanyakan serangan mereka tersekat dengan kehandalan pertahanan kedua-dua pasukan menyerap asakan yang dilakukan.


Pada minit ke-78, Kelantan berpeluang melakukan jaringan kedua apabila gerakan Indra Putra gagal dipergunakan Norfarhan biarpun pintu gol pasukan pelawat sudah ternganga.

Begitu juga dengan asakan Sang Kijang pada minit ke-87 menyebabkan Norfazly Alias hampir menjaringkan gol sendiri tetapi tiang sebelah kanan menjadi penyelamat.

Percubaan Azlan Ismail pada minit ke-89 pula lemah kepada penjaga gol T-Team.

Selepas tambahan masa dua minit, keputusan kekal untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan jaringan 1-1.

Kesebelasan Utama

Kelantan : Bojan Hodak.
Syazwan Yusoff (Pg), Nik Shahrul Azim, Mafry Balang, Aslam Najmudeen, Zairul Fitree Ishak, Daudsu Jamaluddin (Kp), Norfarhan Mohamad, Indra Putra, Nurul Azwan Roya, Afiq Azmi dan Keita Mandjou.

T-Team : Yunus Alif.
Mohd Syamsuri (Pg), Nor Fazly Alias, Tengku Hasbullah, Zairo Annuar Zailani (Kp), Marco Tulio Silva, Mohd Faiz Subri, Mohd Hisbullah, Mohd Fadli Saari, Shahrul Azhar Ture, Sumardi Hajalan dan Fauzi Majid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular