KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 6 Disember 2010

Pemain Muda Perlu Buktikan

Zul Yusri Che Harun (kiri) dan Mohd Zamri Ramli (kanan) perlu mempamerkan persembahan yang mantap dalam sesi latihan untuk tersenarai dalam kesebelasan utama.

KOTA BHARU – Penghijrahan beberapa tonggak utama musim lalu mungkin memberi peluang kepada pemain muda negeri ini bagi membuktikan kemampuan mereka walaupun masih ‘hijau’ mengharungi cabaran Liga Malaysia musim depan.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan mengakui ketiadaan beberapa tonggak utama musim lalu memberi peluang kepada anak tempatan Kelantan untuk membuktikan keupayaan masing-masing merebut tempat dalam kesebelasan utama pemain nanti.

“Ini peluang terbaik kepada penyerang muda Kelantan seperti Mohd Nizab (Ayub), Ramzul (Zahini Adenan), Zul Yusri (Che Harun) serta beberapa pemain berbakat yang lain untuk mempamerkan persembahan yang mantap dalam sesi latihan seterusnya memberi keyakinan kepada saya untuk menyenaraikan mereka dalam kesebelasan utama.

“Kalau kita terus bergantung kepada pemain senior, macam mana kita hendak memberi peluang kepada pemain muda di sini. Jadi mereka kini tidak dibayangi lagi oleh pemain-pemain senior dan inilah peluang terbaik bagi mereka buktikan.

“Sebab itu dalam sesi latihan beberapa bulan lalu, saya memanggil beberapa pemain daripada Liga Simpanan berlatih bersama pemain senior. Saya mahu mereka berlatih dan terus berlatih supaya mereka dapat menimba pengalaman sebanyak mungkin,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Antara beberapa pemain muda yang pernah dipanggil menjalani latihan bersama pemain senior musim lalu ialah Muhammad Izwan Salahuddin, Mohamad Aris Zaidi, Mohamed Faiz Suhaimi, Nik Mohd Shahrul Azim Ab. Halim dan Mohd Syafiq Haikal Nazarudin.

Sathianathan berkata, bagi menghadapi musim depan, beliau telah menyenaraikan penjaga gol muda, Judtanna Eh Put sebagai penjaga gol ketiga Kelantan selain Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Shahrizan Ismail yang kini kembali menyarung jersi Kelantan.

“Kita kehilangan Syed Adney (Syed Hussein) ke Sabah tetapi saya percaya kembalinya Mohd Shahrizan (Ismail) akhirnya melengkapkan barisan penjaga gol Kelantan. Walaupun hampir setahun tidak beraksi, saya percaya sentuhan beliau masih belum berkarat.

“Begitu juga dengan Judtanna, saya tidak teragak-agak menyenaraikan beliau sebagai penjaga gol ketiga Kelantan untuk musim depan memandangkan beliau mempunyai potensi yang besar untuk menjadi penjaga gol terbaik sedikit masa lagi.

“Contohnya agak jelas, Khairul Fahmi (Che Mat) walaupun baru berusia 21 tahun tetapi telah mencapai kematangannya sehingga bergelar penjaga gawang nombor satu negara sekarang. Beliau seorang yang rajin, bekerja keras untuk membina kerjaya beliau sendiri dan yang penting beliau mempunyai sikap sabar menunggu masa yang akhirnya tiba untuk beliau kecapi sebagai penjaga gol terbaik Kelantan sekarang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular