KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 6 Disember 2010

Kedah, Kelantan ada kelebihan


KELANTAN dan Kedah memiliki kelebihan psikologi apabila turun berdepan lawan masing-masing pada saingan separuh akhir kedua Kejohanan Bola Sepak PUNCAK Piala Emas Raja-Raja hari ini untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir pada 11 Disember ini.

Kelantan membawa bekalan selesa ke Kuala Terengganu selepas menumpaskan skuad Penyu itu 3-0 pada separuh akhir pertama di Kota Bharu, minggu lepas.

Kedah pula mempunyai gelanggang sendiri untuk dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyekat kebangkitan Johor selepas menumpaskan skuad selatan tanah air itu 3-1 di Stadium Larkin, minggu lepas.

Dengan kelebihan 3-0, Kelantan seharusnya tidak hilang fokus manakala Terengganu berdepan tugas sukar mencipta keajaiban memburu sekurang-kurangnya empat gol atau lebih biarpun bermain di laman sendiri di Kuala Terengganu.

Kelantan boleh menghela nafas lega dan mampu untuk tidak menurunkan kesebelasan utama dengan tujuan merehatkan pemain tonggak bagi menghadapi lawan sekiranya mara ke perlawanan akhir nanti.

Dengan gawang mereka nampak selamat di tangan Mohd. Shahrizan Ismail, jurulatih Zahasmi Ismail berpuas hati dengan jentera pertahanannya yang dikemudi Sharudi Aziz selain Sani Nawi, Shafiq Haikal dan Nik Mohd. Shahrul Azim.

Jentera tengah Kelantan dilihat semakin ampuh dengan peningkatan prestasi Mohd. Ezrie Shafizie, Rosairul Asrul, Izuan Salahuddin serta Khairan Ezuan Razali.

Dua nama yang menjadi sebutan dalam skuad Kelantan kini, Ramzul Zahidi Adenan dan Aris Zaidi, penjaring dua gol ketika menentang Terengganu minggu lepas, bakal terus menjadi duri buat Terengganu.

Pada satu lagi separuh akhir, Kedah yang berazam mahu menebus kekecewaan kalah di final tahun lepas, dijangka tidak berdepan tugas sukar mempertahankan hasil tuaian di Stadium Larkin di Johor Bahru sebelum ini.

Jurulatih Kedah, Mohamad Ramlee mengharapkan pemainnya terus mempamerkan konsistensi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular