KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 5 April 2011

T-Team Kota Janji, Kelantan Tiada Potensi Juara – Indra Putra


Selepas menyaksikan pasukannya mengotakan janji membenam cabaran pendahulu liga Kelantan, bekas kapten skuad The Red Warriors, Indra Putra Mahyuddin menambah kecewa dan amarah peminat pasukan Kelantan apabila dengan angkuhnya mengatakan bahwa Juara Piala Malaysia itu tidak mempunyai ramuan bergelar juara, dan hanya boleh bermimpi mendakap kejuaraan liga buat pertama kali.

Kelantan tewas buat kali kedua musim ini, yang mana kali kedua dalam tiga perlawanan terakhir liga, di mana Indra menjaringkan gol ketiga pasukannya, sekaligus membuktikan sentuhannya masih berbisa di sebalik kritikan bahawa prestasinya tidak lagi memberi impak kepada pasukan lawan.

Menang 4-3 selepas mendahului 3-0 pada satu ketika dalam perlawanan yang cukup mendebarkan itu, T-Team hampir berputih mata berdepan kebangkitan lewat Kelantan, namun Indra berkata kemampuan pasukannya mencatat kemenangan ketiga musim ini, dan yang kedua berturut-turut membuktikan pelaburan pengurusan pasukan membawa masuk nama-nama besar sebelum musim bermula, mula membuahkan hasil.

Indra juga berkata ini membuktikan Kelantan bukanlah pasukan yang sukar ditewaskan atau layak digeruni, dan mereka ketika ini berdepan tekanan hebat ekoran terlepas status pendahulu, selain harapan besar peminat yang mahu Kelantan sentiasa mencatat keputusan cemerlang.

“Inilah antara sebab saya meninggalkan Kelantan, memang ini antara sebab utama. Tidak salah meletak harapan kepada pasukan, tetapi harapan itu haruslah berbentuk sokongan, dorongan. Ini tidak bila menang kami dipuji, bila kalah kami dikritik hebat, malah peminat sentiasa mahu kami menang, mereka harus tahu kalah menang adat pertandingan, bila nak selalu menang, ia akan memberi tekanan, player pun tak boleh perform..” jelas Indra.

Tambah bekas kapten skuad kebangsaan ini, Kelantan akan berdepan laluan lebih sukar selepas ini, apatah lagi mereka akan menentang pasukan yang berada di prestasi terbaik ketika ini, iaitu Perak, Selangor, Felda United termasuk ‘abang’ mereka, Terengganu.

Selain Indra, 3 lagi gol T-Team dijaringkan Zairo Anuar Zailani, Norfarhan Mohd, dan Harris Safwan, manakala Kelantan membalas menerusi Daniel Fadly, S.Chanturu dan Shakir Shaari.

Untuk rekod juga, ini merupakan pertama kali Kelantan bolos lebih daripada 3 gol, selepas keputusan seri 3-3 menentang Pahang di Stadium Darul Makmur musim lalu sekaligus menimbulkan persoalan hebat terhadap keampuhan barisan pertahanan Kelantan, yang muncul pertahanan terbaik Liga Malaysia musim lalu, hanya bolos 14 gol.

Kekalahan juga menyaksikan Kelantan jatuh ke tangga ketiga, di belakang Selangor dan Perak yang menewaskan lawan masing-masing Harimau Muda dan Perlis, 2-1.

Selepas ini, TRW akan menentang Felda Utd di gelanggang sendiri, manakala T-Team pula bertandang ke Stadium Shah Alam, menentang pendahulu baru, Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular