KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 12 April 2011

Prebiu Perlawanan Liga Super 2011
Perak mln Kelantan



Kelantan turun dengan azam tinggi untuk membenam cabaran Perak dalam perlawanan kesebelas Liga Super di Stadium Ipoh, malam ini.

Masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri terutamanya Perak yang diibaratkan Seladang terluka selepas tunduk kali pertama dalam saingan liga 1-2 kepada Sabah, beberapa hari lalu.

Anak didik Norizan Bakar pasti tidak mahu dikecewakan buat kali kedua dihadapan peminat setia mereka malahan rekod kebal di laman sendiri bakal menjadi pertaruhan untuk perlawanan ini.

Tidak seperti Kelantan, kemenangan besar yang diraih keatas Felda bukan jaminan mereka mampu hadir dengan reputasi sama sementelah pula rekod di tempat lawan tidak begitu berpihak kepada Sang Kijang.

Tewas dua perlawanan terakhir di tempat lawan memecahkan rekod sepanjang musim The Red Warriors namun misi untuk menjinakkan Perak perlu diselesaikan bagi mencipta satu sejarah baru memimpin kedudukan pertama liga Super sehingga tamat pusingan pertama.

Lebih istimewa tentang pertemuan ini tertumpu kepada bekas pemain tonggak Kijang, Akmal Rizal Rakhli serta bekas ketua jurulatih Kelantan 2008, Norizan Bakar dimana kedua-dua individu ini bakal merencana sesuatu untuk memusnahkan impian pasukan pelawat.

video
Promo: Perak mln Kelantan (Arena 801)

Manakala di pihak Kelantan, M. Karathu pasti mahu menunjukkan kepada pasukan lama bimbingannya bahawa kejatuhan Perak musim lalu adalah disebabkan masalah persatuan yang berlarutan bukan kerana dirinya selaku ketua jurulatih manakala Danial Fadzly, S. Subramaniam dan Khalid Jamlus pasti mahu turut sama didalam pasukan untuk sekurang-kurangnya mencatatkan kemenangan keatas pasukan lama mereka.

Untuk rekod pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium kebanggan rakyat Perak tersebut, pada tahun 2010, Seladang yang dilanda pelbagai masalah dalaman persatuan berjaya mengekang Sang Kijang 0-0 manakala setahun sebelum itu, Kelantan merakamkan kemenangan melalui jaringan saat akhir untuk menewaskan pasukan lawan 3-2.

Dijangkakan saingan sengit bakal ditunjukkan Perak dan Kelantan dengan tiga mata penuh tambahan bonus kedudukan teratas saingan Liga bakal menjadi rebutan utama.

Formasi:

Perak : 5-3-2

Norizan Bakar dijangka mempertaruhkan formasi 5-3-2 untuk perlawanan ini sambil mengharapkan jentera tengah dapat menggunakan segenap ruang untuk menekan pertahanan Kelantan. Barisan serangan mereka turut dipinta lebih tajam dan tidak mengsia-siakan peluang seperti mana ketika tewas kepada Sabah, Sabtu lalu. Lima pertahanan diletakkan bagi mengelakkan serangan pantas dari Red Warriors yang mungkin menyaksikan kejutan besar dari pasukan lawan malah taktikal ini juga digunakan untuk menaikkan kembali moral pemain selepas bolos beberapa gol sejak tiga perlawanan terakhir.

Kelantan: 4-4-2

Bagi ketua jurulatih Kelantan, pertemuan menentang Perak perlu dilalui dengan kejayaan. Kelantan tidak mampu lagi tewas jika mahu kekal di persada liga. Dijangka formasi 4-4-2 terus digunakan kerana tindakan taktikal 4-5-1 seperti yang dilakukan di tempat lawan sebelum ini kelihatan mudah dibaca pasukan lawan selain pergerakan pemain mudah tersekat ekoran tekanan yang dilakukan oleh pemain lawan. Keberkesanan taktikal 4-4-2 sudah terbukti dengan jaringan gol terbanyak setakat ini dalam liga.

Barisan Kemungkinan:

Perak.



Perak menanti kunjungan Kelantan dengan nafsu membuak-buak untuk mengecewakan juara Piala Malaysia tersebut. Kekalahan kepada Sabah menambah lagi keinginan 11 pemain utama Seladang malah penyerang utama mereka tidak teragak-agak melaungkan tekad dan keyakinan tinggi mampu menyumbang tiga mata penuh kepada pasukan.

Seperti laporan dari kem Perak, dijangkakan bekas penjaga gol Selangor dan Kebangsaan, Mohd Nasril Nourdin bakal diturunkan dalam kesebelasan utama setelah mempamerkan kembali sentuhan berbisa termasuklah hanya melepaskan lima gol sepanjang 10 perlawanan.

Barisan pertahanan pula bakal diketuai pemain berpengalaman, Chan Wing Hong. Ternyata gandingan yang dibentuk Norizan Bakar dari pemain lama dan baru membuahkan hasil lumayan kepada pasukan Perak ketika ini. Chan Wing Hong berjaya membimbing pemain muda di bahagian pertahanan selain membentuk jaringan pertahanan kukuh untuk menyukarkan pemain lawan menceroboh kawasan larangan mereka. Bersama dengan pemain yang direkrut masuk dari UiTM, Mohd Hisyamuddin, Mohd Khairi Zainuddin (PKNS) dan pemain yang dididik dari skuad bawah, Mohd Syazwan Roslan serta Mohd Norhazrul Mustapha, benteng Perak ini dijangka akan menggunakan seluruh kudrat untuk mengelakkan bolos jaringan kepada Kelantan.


Jentera tengah Perak tidak perlu dipertikaikan keberkesanan dimana ketua pasukan, Shahrulnizam Mustapha menggunakan hampir kesemua pengalaman yang dikutip ketika berkelana untuk mencipta barisan tengah mantap bersama dengan Fazrul Hazli Kadri serta Isma Alif Mohd Salim. Walaupun kekurangan jaringan gol, gerakan demi gerakan bahaya yang diatur tiga pemain ini mendatangkan ancaman demi ancaman kepada pasukan pelawat. Malah, jika tiga pemain ini mengalami keletihan, Perak masih mempunyai dua atau tiga pemain berkaliber yang mampu menggalas tugas di skuad utama seperti Wan Hossien, Mohd Shahrul Hafiz serta Mohd Nazri Kamal.

Pemain penyerang pula terus mengharapkan gandingan Akmal Rizal Rakhli dan Shafiq Jamal selepas Razali Umar Kandasamy masih tidak diketahui statusnya dalam pasukan Perak. Gandingan Akmal-Shafiq dilihat berkesan kerana berkeupayaan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan tetapi tahap permainan mereka dilihat tidak menonjol sejak akhir-akhir ini bilamana Shafiq dilihat gagal berada disamping Akmal membatu jaringan. Ramai peminat mahukan Razali bergandingan dengan Akmal namun dengan masalah yang melanda, sukar gandingan ini untuk dimasukkan dalam kesebelasan utama.


Bagi Perak, dengan kesebelasan pemain yang dijangka akan diturunkan, tiga mata wajar diraih kerana kemenangan keatas Kelantan bakal mencerahkan impian mereka untuk mencatatkan kejuaraan dalam Liga Super setelah lama berada di kedudukan bawah. Kebangkitan 2011 tidak harus tersekat dengan mudah tanpa semangat melawan tinggi dengan 90 minit akan menjadi medan penting buat Perak menunjukkan kepada semua pengkritik sukan Tanahair bahawa mereka kini sudah kembali seperti mana pernah menjadi gergasi bola sepak Malaysia, beberapa tahun dahulu.

Kelantan.




Kemenangan besar yang diraih keatas Felda menjadi aras kebangkitan segera Sang Kijang selepas tumpas melawan kepada T-Team minggu lalu. Enam jaringan keatas Felda dengan kawalan segenap penjuru padang memberi kepuasan kepada peminat yang sebelum sedikit kecewa setelah pasukan kesayangan mereka mengalami penurunan prestasi secara drastik.

Kembalinya prestasi terbaik Khairul Fahmi melegakan kem Kelantan setelah permintaan hangat dari para peminat untuk melihat penjaga gol kebangsaan tersebut direhatkan seketika selepas prestasi menurun. Dijangka Khairul Fahmi akan berada dalam kesebelasan utama manakala Mohd Shahrizan terus memanaskan bangku simpanan.



Benteng pertahanan, turut tiada perubahan besar kecuali kemungkinan Zairul Fitree akan direhatkan dengan S. Subramaniam akan mengambil alih posisi pertahanan kiri untuk perlawanan ini. Daudsu, Rizal dan Farisham kekal dalam pasukan manakala Wan Rohaimi serta Aziz Ismail masih menanti peluang untuk masuk dalam kesebelasan utama.

Tengah, posisi yang menerima kritikan hebat sebelum ini sudah kembali seperti asal selepas kemasukan Danial Fadzly membuahkan hasil lumayan. Badri 'Piya' Radzi sudah pasti sekali lagi berada di bangku simpanan, Nurul Azwan Roya pula seperti biasa akan membentuk serangan melalui bahagian sayap bersama Solehin Kanasian Abdullah. Shakir pula bakal menjadi perancang utama melakukan gerakan kearah pintu gol Perak. Izuan Salahudin dijangka masuk selaku pemain simpanan bersama dengan Khairan Eroza.




Jentera serangan masih kekal diterajui Norshahrul Idlan. Menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa jaringan pasti membuka mata Norshahrul untuk mengganas di Ipoh. Rakan gandingan, S. Chanturu diharap lebih tajam dan tidak mengsia-siakan peluang terhidang seperti mana tiga perlawanan sebelum ini. Ramzul sudah kembali dari kecederaan manakala Nidzad Ayub menjadi 'super sub'.


Senarai pemain yang dijangka diturunkan merupakan senarai pemain 'regular' yang sering Karathu turunkan dalam kesebelasan utama. Kesemua pemain ini sudah membuktikan mengapa mereka perlu dimasukkan dalam barisan pemain. Persaingan sihat merebut tempat selain keinginan untuk mnencatatkan kemenangan menjadi faktor kekuatan Kelantan disamping sikap berpasukan mampu menghadirkan keputusan positif.


Penyokong:

Stadium Ipoh kemungkinan bakal penuh buat kali pertama ekoran liputan perlawanan selaku perlawanan tumpuan, perlawanan terhangat selain perebutan takhta Liga Super yang menjadi taruhan. Kedua-dua pasukan mendapat sokongan padu dari penyokong fanatik masing-masing. Dijangka 3000 penyokong Kelantan dari seluruh negara akan bertumpu di Ipoh manakala 25 000 penyokong setia Perak bakal membanjiri venue perlawanan untuk memberi sorakan kepada pasukan Seladang. Diharapkan semua penyokong dapat menjaga tatasusila. tidak bertindak provokasi serta sentiasa mengamalkan profesional bila memberi sokongan kepada pasukan masing-masing. Kita datang beri sokongan, bukan datang bawa hukuman. Gomo Kelate Gomo.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular