Kemenangan buat peminat
PENYERANG Kelantan, Md Badhri Radzi atau Piya yang berjaya menghasilkan hatrik daripada lima gol ketika bertemu Perlis malam kelmarin menyifatkan kemenangan 5-1 yang diperoleh sebagai bukti Kelantan masih lagi berbisa.
“Semua pemain berada dalam keadaan terbaik dan tidak tertekan membuatkan kami mempamer aksi cemerlang bagi membuktikan kepada peminat, Kelantan masih lagi berbisa.
“Kemenangan itu juga hadiah untuk peminat yang tidak jemu memberi sokongan,” katanya.
Kelantan tewas 4-0 kepada Perak sebelum seri 0-0 dengan Sabah pada dua perlawanan terakhir sebelum pertemuan menentang Perlis. Md Badhri berkata, Kelantan perlu terus mencipta kemenangan selain menghasilkan seberapa banyak gol untuk mengekalkan semangat pemain.
“Jaringan memang menjadi kunci utama untuk memastikan pemain terus bersemangat dan berusaha memenangi perlawanan seterusnya.
“Setiap pemain juga akan terus memberikan aksi terbaik demi memastikan Kelantan terus menyerlah,” katanya.
Ketua jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, taktik menggabungkan tonggak, Norshahrul Idlan Talaha, Shakir Shaari serta Md Badhri pada perlawanan itu menyumbang kepada kemenangan mereka.
“Tiga tonggak itu memainkan peranan penting. Pada masa sama, kerjasama pemain lain turut membantu Kelantan menang,” katanya. Menurut Karathu, gol awal Norshahrul pada minit keenam dan 43 menaikkan semangat rakan sepasukan untuk terus mengasak kubu lawan.
“Kami memang memerlukan gol awal bagi menguasai perlawanan. Kami akan cuba meneruskan momentum ini untuk perlawanan seterusnya,” katanya yang berharap pemain memberikan aksi terbaik ketika bertemu Perlis di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Jumaat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan