Siasat Jika Ada
Unsur Jual Perlawanan.
Khabar tidak enak dari kem Kelantan selepas timbul cerita ada pemain utama menjual permainanan untuk memberikan kemenangan kepada pasukan lawan.
Isu ini timbul selepas The Red Warriors mengalami kekalahan teruk dalam beberapa perlawanan menyebabkan kedudukan di tangga teratas berjaya dipintas pasukan lain.
Menurut risikan RedsFC-News dengan beberapa sumber terdekat, terdapat empat atau lima pemain disebut-sebut telah melakukan pengkhianatan paling besar tersebut. Mereka pemain regular dalam pasukan dan pemain utama tersebut dilihat bermain sambil lewa dan tidak bermaya sehingga memberikan beberapa gol mudah kepada pasukan lawan.
Malah, beberapa pemain yang disebut telah mengambil wang pertaruhan juga melakukan beberapa kesilapan tidak sepatutnya didepan pintu gol. Ini dapat diperhatikan ketika Kelantan tewas tiga perlawanan terakhir kepada Pahang, T-Team dan Perak dengan jumlah jaringan besar.
RedsFC-News tidak membuat tuduhan tidak berasas tetapi khabar angin yang tersebar sejak akhir-akhir ini memberikan persepsi sedemikian.
Jika benar ada pemain Kelantan menjual perlawanan dengan tujuan memberi kemenangan kepada pihak lawan, pemain tersebut nyata telah mengkhianati para penyokong yang bertandang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dalam dan luar negeri untuk setiap perlawanan.
Selaku pemain profesional yang berjuang dengan amanah ribuan Tentera Merah, menerima wang pertaruhan merupakan dosa paling besar dan tidak boleh dimaafkan walaupun mereka berstatus bintang dalam skuad Kijang.
KAFA selaku badan bertanggungjawab perlu mengambil tindakan segera dengan menubuhkan jawatankuasa bebas menyiasat jika benar ada unsur tidak sihat dalam kem Kelantan ketika ini.
Jika ada, pemain yang menjual perlawanan perlu diberi amaran agar tidak mengulangi perkara tersebut atau menerima tindakan disiplin termasuk melaporkan kepada pihak berkuasa.
Masakan pokok bergoyang jika tiada angin yang bertiup.
Kita tidak mahu virus yang menyebabkan kejatuhan arena bola sepak negara pada awal tahun 90an kembali merebak seterusnya menjatuhkan sekali lagi imej bola sepak Kelantan ke tahap paling bawah.
sumber RedsFC News
sumber RedsFC News
Tiada ulasan:
Catat Ulasan