KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 1 April 2011

Kelantan mln Harimau Muda



Pertemuan maha penting bagi kedua-dua pasukan untuk meneruskan kelangsungan cengkaman mereka dalam saingan Liga Super 2011 apabila turun di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam ini.

Namun kelebihan nyata berpihak kepada pasukan Kelantan kerana turun bermain di gelanggang keramat dengan tambahan puluhan ribu penyokong setia yang dijangka membanjiri dalam dan luar stadium.

Tiada jalan mudah buat Harimau Muda, juga tiada jalan mudah bagi Sang Kijang tetapi tiga mata yang dipertaruhkan tetap jadi buruan utama.

Kelantan mahu terus berkuasa di singgahsana dan pasti tidak rela dipintas Felda, Perak dan Selangor manakala Sang Harimau turut mengimpikan kejayaan bersejarah buat kali pertama menewaskan gergasi Pantai Timur.

Tempoh rehat panjang merungsingkan minda peminat setia selepas pasukan lawan yang dihadapi pula memiliki beberapa pemain yang masih segar dengan perlawanan persahabatan antarabangsa.

Malah, dengan nada yakin, dua tiga orang pemain Harimau Muda A menyatakan secara terbuka keazaman mereka untuk menewaskan Kelantan dihadapan peminat setia selain cuba menakluki arena Red Warriors dengan jaringan seawal mungkin.

Secara realistiknya, laungan amaran tersebut berasas dengan prestasi skuad Harimau. Hampir menewaskan Perak selain aksi konsisten sepanjang tujuh perlawanan menjadi taruhan utama mereka untuk mengejutkan Kelantan.

Andai kata, Harimau Muda dapat mengaum panjang, sudah tentu Sang Kijang perlu berlari pantas untuk menyelamatkan diri tetapi kita tidak harapkan situasi ini akan berlaku namun dalam sebarang perlawanan, persembahan menyakinkan serta sentiasa fokus dalam 90 minit menjadi faktor penentu pada kejayaan.

Rekod pertemuan terakhir berpihak kepada Harimau Muda apabila membelasah Kelantan 4-1 di Padang Wisma FAM pada perlawanan persahabatan Lembah Kelang, awal Januari tempoh hari.

Berdasarkan rekod liga kompetetif pula, Harimau yang ditentang dalam Liga Perdana pada 2007 berjaya ditundukkan dalam dua perlawanan termasuklah membelasah skuad bimbingan K. Rajagobal ketika itu di Kota Bharu dengan jaringan 4-1.

Kini, situasi sudah berubah, pasukan lawan dibarisi rata-rata pemain baru yang sedang meningkat naik disamping berpengalaman luas dalam perlbagai kejohanan seperti Kelayakan Olimpik, Kelayakan Piala Dunia dan juga pernah beraksi dalam kancah Liga Slovakia.

Bagi Kelantan pula, taruhan hanya tertumpu kepada pemain sedia ada dalam kesebelasan utama setelah pemain simpanan yang tinggal belum diyakini mampu memberikan sesuatu pada setiap perlawanan.


Limpahan pemain berbakat dalam Harimau Muda A mungkin menyesakkan dada peminat setia yang bertandang tetapi kita harap barisan yang diturunkan M. Karathu adalah yang terbaik untuk menyekat pasukan pelawat yang rata-rata muda belia.

Jika gagal, bukan sahaja kedudukan pendahulu bakal terancam tetapi juga kejian penyokong turut bakal diterima pemain The Red Warriors.


Formasi.

Kelantan.

Pasukan Kelantan seperti biasa mengekalkan corak taktikal 4-4-2 jika bermain di gelanggang sendiri pada permulaan perlawanan dan dijangka menampilkan corak permainan pantas tetapi lebih berhati-hati dengan serangan balas pasukan lawan. Kemungkinan juga, Datuk M. Karathu akan mengukuhkan kawasan tengah sambil berharap jentera serangan tidak membazirkan peluang selain pemain pertahanan pula dapat meminimakan kesilapan yang boleh membawa padah.

Harimau Muda A.


Tiada tekanan kepada Ong Kim Swee dalam perlawanan ini kecuali mahukan anak didiknya berhati-hati dengan corak permainan Kelantan. Selain mahu mencari ruang memungut mata penuh, mereka juga tidak mahu kehilangan pemain ekoran kecederaan. Tugasan antarabangsa lebih penting namun saingan liga turut wajar ditempuh berani. Dijangka ketua pengendali yang mengambil alih tugas rajagobal tersebut akan menerapkan corak taktikal 4-4-2 selaras dengan impian pemain untuk menjerat Sang Kijang.

Barisan Jangkaan.

Kelantan.

Khairul Fahmi diberi tugasan penting esok untuk menghalang adik-adik dari membolosi gawang kawalannya. Dia sudah tentu tidak mahu pemain yang sering bersamanya di dalam skuad Olimpik menembusi pintu gol Kelantan dengan mudah. Yang paling utama, 'Apek' tentu sudah masak dengan gaya dan corak pemain Harimau Muda A ketika melakukan serangan.

Posisi pertahanan pula mengharapkan pertahanan kereta kebal dari Farisham Ismail dan Rizal Fami Rosid di kawasan benteng tengah. Daudsu dan Zairul Fitree dilihat kerap naik keatas melakukan 'overlapping' tetapi kadangkala gagal turun dengan cepat bila diserang balas pasukan lawan. Ketika ini, harapan disandarkan kepada mereka berempat setelah pemain lain di kawasan ini seperti Wan Rohaimi dan Aziz Ismail serta S. Subramaniam terus memanaskan bangku simpanan buat kesekian kalinya.

Jentera tengah pula dikhabarkan tiada perubahan drastik dimana Mohd Badri Radzi terus diberi ruang untuk mengetuai pasukan serta pemain tengah lain mengatur gerakan kearah pintu gol lawan. Shakir, Soley dan Nurul Azwan telah diberi amanat oleh Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa untuk mengawal kawasan mereka dengan baik bagi mengelakkan Harimau Muda pula mengambil alih bahagian tersebut dari pemain Kelantan. Mereka berempat harus cepat panas dan tidak sesekali membiarkan pemain lawan merampas bola seterusnya melakukan serangan mengejut kearah pintu gol tuan rumah. Barisan simpanan tidak dapat dipastikan siapa namun Danial Fadly, Khairan Eroza dan Khairan Ezuan berpontensi untuk masuk sebagai pemain gantian manakala Zulyusri serta Wan Zaman dijangka tiada dalam senarai pemain.

Corak serangan Kelantan sering berubah dalam perlawanan sebelum ini dimana hanya Norshahrul Idlan Talaha kekal selaku pemain 'regular' manakala pemain lain pula masih tersisih disamping pertukaran kerap ekoran masalah kecergasan, kecederaan serta ketidak sesuaian untuk diturunkan. Malam nanti dijangka Chanturu akan naik keatas menemani Norshahrul seperti mana perlawanan Piala FA. Khalid tidak pasti akan diturunkan namun pengalaman luas yang ada padanya wajar tidak disia-siakan manakala Nidzad serta Ramzul turut kemungkinan tersenarai selaku pemain simpanan.

Harimau Muda A.

Ong Kim Swee memiliki barisan pemain berkelas A dalam pasukan kerana mereka merekrut pemain dari serata negeri sebelum dihimpunkan dalam satu pasukan untuk kejohanan antarabangsa. Malah ada pemain mereka tersenarai dalam pasukan senior dan membantu pasukan tersebut membawa pulang Piala AFF ke bumi bertuah negara Malaysia tumpah darahku.

Posisi penjaga gol Harimau Muda menjadi rebutan tiga penjaga gol. Izham Tarmizi sudah membuktikan keterampilan dalam perlawanan awal, Kishok Sasi Kumar pernah dinobatkan penjaga gol terbaik kejohanan luar negara jemputan Lunar manakala Zamir Selamat pula berpengalaman bermain di skuad senior. Berdasarkan perlawanan lalu, kemungkinan besar Ong Kim Swee akan menurunkan Izham Tarmizi selaku pemain pertama.

Posisi pertahanan mereka tidak perlu dipertikaikan lagi kehebatan kerana mereka memiliki Muslim Ahmad, Mahali Jasuli dan Fadzli Shas, tiga pemain yang telah membantu mengawal benteng Malaysia dalam beberapa perlawanan persahabatan baru-baru ini serta Piala AFF 2010. Kehadiran mereka dalam Harimau Muda diakui telah membantu kawasan bawah mereka terus kukuh dari robekan penyerang yang lebih berpengalaman.

Jentera tengah juga memperlihatkan kekuatan terutamanya selepas kemunculan Wan Zaharul Nizam, K. Gurusamy, Syahrul Hazwari dan Wan Zack Haikal. Walaupun kehilangan salah seorang dari pemain ini, Ong Kim Swee masih memiliki beberapa nama untuk diletakkan dalam kesebelasan utama seperti Gary Steven Robat, Shukur Jusoh, Irfan Fazail serta ramai lagi pemain berbakat yang didaftarkan.

Jentera serangan pula walau kelihatan tumpul dalam perlawanan sebelum ini bukan disebabkan faktor kurang tajam dan nafsu di hadapan pintu gol tetapi polisi 'rotation' yang dilakukan Ong Kim Swee. Ferris Danial, Thamil Arasu serta Izzaq Faris berkemampuan menjaringkan gol selain pemain simpanan lain seperti Haziq serta K. Ravindran turut mengintai ruang mereka untuk masuk dalam pasukan utama.

Ramalan Perlawanan.

kelatebola:
Kelantan 2-1 Harimau Muda
Ketua Pengarah Trafik Negeri: Kelantan 2-0 Harimau Muda
Anda: ??? (Tinggalkan posting di ruangan post dibawah)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular