KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 28 Mac 2011

Sime Darby lwn Kelantan


Kelantan berpeluang cerah menamatkan pusingan pertama Piala Presiden 2011 Kumpulan A di tangga kedua jika berjaya menewaskan Sime Darby di Padang Latihan Petronas, Bangi, petang ini.

Mempertaruhkan bakat muda terbaik adunan Zahasmi Ismail, kemungkinan besar mereka akan berjaya melakukan pencapaian terbaik selepas dua tahun terpaksa melihat pasukan lain memintas mereka dalam perebutan menuju kemuncak.

Ketika ini, Kelantan berada di kedudukan kedua di belakang Sabah ketinggalan lima mata apabila mengutip 17 mata dari lapan perlawanan manakala lawan mereka, Sime Darby pula sedang mengekori rapat dengan 15 mata di tempat ketiga.

Namun skuad President Warriors masih mempunyai kelebihan satu perlawanan setelah perlawanan melibatkan mereka dengan T-Team minggu lalu terpaksa dibatalkan kerana kemangkatan bonda Yang Di Pertuan Agong.

Tiada rekod pertemuan melibatkan kedua-dua pasukan sebelum ini dan Kelantan diramal menghadapi laluan sukar kerana lawan yang akan dihadapi turut memberi persembahan konsisten sejak saingan dimulakan.

Melihat pada persembahan terakhir Kelantan melawan SSBP, Zahasmi kemungkinan sekali lagi akan melakukan perubahan taktikal dan pemain bagi mengelakkan berlakunya kejutan dari pihak lawan.

Dijangkakan beberapa pemain utama seperti Judtanna, Nik Shahrul Azim, Mohd Farhan Yaacob, Norsyahrul Hawari, Nick Chan, Faiz Suhaimi dan Zamri Ramli akan diturunkan dalam kesebelasan utama.

Kehadiran Akid Ramli dan Mohd Norhamizi dalam kesebelasan yang bakal diturunkan mampu menambah sengat barisan depan manakala kelibat pemain berpengalaman seperti Izuan Salahudin dan Tuan Mohd Norhafizie memudahkan jentera tengah mengatur gerakan kearah pintu gol tuan rumah.

Dengan tambahan dua lagi pemain dari skuad akademi juga memberikan banyak pilihan kepada kem Kijang untuk memastikan tiga mata penuh berjaya ditawan pulang ke Kota Bharu.


Namun sedikit ralat kerana dikhabarkan dua pemain tonggak, Izuan Salahudin dan Mohd Syawal Rudin tidak berada dalam senarai untuk turun dalam perlawanan ini.

Berbeza dengan Sime Darby, prestasi mereka begitu konsisten apabila beraksi di laman sendiri dan tidak banyak maklumat diperolehi tentang kesebelasan utama mereka.

Namun dikhabarkan, terdapat empat bekas pemain Sang Kijang 2010 berada dalam skuad utama pasukan tersebut. Mereka turut menerima tunjuk ajar dari bekas jurulatih Piala Presiden Kijang musim lepas, Anizan Daud.

Jika benar, sedikit kesukaran akan dihadapi kerana kesemua mereka ini pasti sudah masak dengan corak permainan Zahasmi kerana pernah beraksi dibawah tunjuk ajar jurulatih tersebut musim lalu.

Empat pemain ini pasti mahu menunjukkan kepada pasukan lama mereka bahawa kesilapan besar dilakukan kerana tidak memilih mereka dalam pasukan Kijang pada saingan kali ini.

Perlawanan ini dijangka sengit dengan aksi keras dan panas kerana kedua-dua pasukan bercita tinggi untuk berada di tangga kedua kedudukan carta.

Diharapkan kedua-dua pasukan memberikan aksi profesional ketika berada diatas padang dan tidak menunjukkan corak permainan yang boleh merugikan masa depan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular