KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 15 Mac 2011

Kelantan lwn Felda United






Peluang kepada Kelantan untuk melayakkan diri ke saingan empat pasukan terbaik apabila melayan kunjungan Felda United dalam perlawanan suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu.

Selepas tewas buat kali pertama kepada Pahang dalam saingan Liga Super, mahu tidak mahu, Sang Kijang perlu menang perlawanan ini.

Walaupun beraksi di gelanggang sendiri, pemain Kelantan dijangka menerima tentangan sengit dari Felda United kerana pasukan bimbingan E.Elevarasan kini dianggap pasukan elit setaraf dengan pasukan lain selepas mencatatkan beberapa kejayaan membanggakan termasuk menyingkirkan finalis tahun lalu, Kedah di pusingan kedua.

Selaku penyandang juara Liga Perdana 2010, Felda juga mencatatkan keputusan tidak tewas dalam lima perlawanan Liga Super 2011 sama ada beraksi di gelanggang sendiri ataupun venue lawan.

Kesukaran bagi M. Karathu untuk membawa Kelantan kearah keputusan positif sementelah pula baru sahaja menerima kritikan dari penyokong yang kecewa dengan taktikal ketika tewas kepada Pahang.

Namun, kelebihan bermain di stadium keramat perlu digunakan sebaik mungkin para pemain dan pihak kejurulatihan bagi merealisasikan impian KAFA untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir.

Untuk rekod perlawanan terakhir, Kelantan tunduk 0-4 dalam perlawanan persahabatan di Lembah Kelang, Disember lalu manakala dalam saingan kompetetif pula, kedua-dua pasukan kali terakhir bertemu pada tahun 2008 dengan Kelantan menang 4-1 di Kota Bharu.

Formasi dan Taktikal.

Kelantan.

Ketika sesi latihan terakhir, M. Karathu dijangka mengubah formasi pasukan dari 4-5-1 kepada 4-4-2. Corak menyerang akan diamalkan selepas kegagalan menjaringkan gol di Kuantan.

Felda United.

Felda dijangka menggunakan formasi 4-4-2 untuk mencari seberapa banyak gol kerana mereka kini perlu beraksi perlawanan suku akhir secara timbal balik di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV. Tiada perubahan strategi dari Kem Budak Felda..

Barisan Kesebelasan Utama.

Kelantan

Berdasarkan sesi latihan, dijangka tiada perubahan dalam kesebelasan utama selain perubahan taktikal yang digunakan M. Karathu. Posisi penjaga gol kekal milik Khairul Fahmi Che Mat. Mohd Shahrizan menggalas tugas penjaga gol kedua.


Barisan pertahanan turut kekal dimana Daudsu, Farisham dan Zairul Fitree akan membentuk gandingan mantap sekali lagi dengan pemain yang kali pertama dipanggil menyertai latihan kebangsaan, Rizal Fahmi Rosid. Wan Rohaimi, Aziz Ismail berada di bangku simpanan manakala S. Subramaniam akan tersisih dari senarai pemain simpanan selepas dilaporkan tidak cergas untuk perlawanan ini.


Jentera tengah menyaksikan Badri Radzi selaku ketua pasukan akan bersama dengan Shakir, Azwan Roya dan Chanturu sekali lagi merencana gerakan. Diharapkan ada sedikit perubahan dari semua pemain tengah selepas kekecewaan di Kuantan. Kerap hilang bola, tidak menampilkan aksi sebenar serta kurang fokus pada perlawanan menjadi masalah utama. Jika tidak berubah, Danial Fadly, Khairan Eroza, Khairan Ezuan dan Solehin berkemampuan untuk masuk di kesebelasan utama.


Posisi penyerangan melihat kembalinya Khalid Jamlus dalam kesebelasan utama. Dia akan bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha dan kedua-dua pemain ini sudah menunjukkan bukti bahawa mereka serasi bersama di posisi serangan. Kita harapkan gandingan mereka seperti mana ditunjukkan ketika membelasah Negeri Sembilan tempoh hari sekali lagi menjadi untuk membantu Kelantan layak ke saingan seterusnya. Penyerang gantian ketika ini hanya Nidzad Ayub setelah Ramzul Zahini mengalami kecederaan berulang serta dijangka tidak sempat cergas untuk perlawanan menentang Felda.

Felda United.

E. Elevarasan mempunyai banyak pilihan untuk memasukkan pemain kedalam kesebelasan utama kerana mereka mempunyai limpahan pemain berpengalaman untuk memberi cabaran.


Posisi pertama selaku penjaga gawang pasti menjadi milik Hamsani Ahmad kerana setakat ini bekas pemain Selangor tersebut ternyata menampilkan beberapa aksi menyelamat hebat sehingga membantu pasukan Felda ke kedudukan kedua. Penjaga gol gantian mereka, Faizal Abdul Rashid turut tidak kurang hebat untuk masuk selaku pilihan pertama posisi nombor satu pasukan.

Barisan benteng mereka pula diperkuatkan dengan kehadiran bekas pertahanan Malaysia, Khaironisam Sahabudin dan Liew Kit Kong. Dua pemain ini dijangka masuk dalam kesebelasan pertama bersama dengan Hazmarul Fadzir dan Mohd Nidzam Jamil.


Jentera tengah turut tidak bimbang bagi pengendali Felda kerana pemain yang diturunkan di posisi tengah setakat ini ternyata dapat merencana banyak gerakan menghasilkan gol kepada mereka. Siapa tidak kenal dengan K. Rajan, Azi Shahril dan Mohd Lot Abu Hasan, Chow Che Weng serta Juzaili Samion. Mereka juga memiliki pemain muda yang sedang meningkat naik dan mampu memberi sesuatu kepada pasukan jika diturunkan seperti Nik Shahrul Hanizan, Syazwan Zainon dan lain-lain.


Posisi serangan memperlihat saingan sengit dari penyerang mereka kerana beberapa nama besar turut sama berebut untuk berada dalam kesebelasan utama. Nizarudin Yusof, Zamri Chin, Azrul Ahmad serta penyerang prolifik mereka, Farderin Kadir. Semua pemain ini berkeupayaan untuk jaringan gol dan E.Eleverasan pasti sudah memiliki nama impian untuk meletakkan dua pemain selaku penyerang untuk merobek gawang pasukan Kijang.

Penyokong.

Kelantan


Dijangkakan hampir 30k penyokong Kelantan akan membanjiri stadium Sultan Muhamad Ke-IV kerana kebanyakan peminat sedang berada di Kota Bharu ekoran cuti sekolah. Selain itu, pertemuan dua pasukan teratas Liga Super turut menarik minat ramai untuk datang menyaksikan sendiri perlawanan kedua-dua pasukan.


Felda United


Menurut maklumat yang diterima, seramai 200 penyokong Felda akan hadir memberi sokongan kepada pasukan mereka.


Ramalan Perlawanan


Kelatewaz News blog: Kelantan 3-0 Felda United
Ramalan Anda: ? (Tinggalkan posting di ruangan komen dibawah)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular