KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 7 Mac 2011

Kelantan mln Selangor



Skuad muda Kelantan, President Warriors menerima cabaran getir apabila menerima kunjungan Selangor di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam esok.

Cuti rehat hampir dua minggu saingan ini sudah pasti digunakan sebaik mungkin Zahasmi Ismail dan Hamid Ramli untuk memperbaiki tahap kelemahan pasukan Kelantan. Ketika ini, Sang Kijang merupakan antara pasukan yang mencabar kedudukan liga dan tiga mata penuh wajib diraih keatas Merah Kuning.

Saat ini, pasukan muda dari Cik Siti Wan Kembang tersebut bebas dari masalah kecederaan selain dapat menggunakan hampir kesemua pemain utama yang diturunkan dalam perlawanan sebelum ini.

Sandaran utama sudah tentu diletakkan kepada Aris Zaidi dan Mohd Izuan Salahudin untuk meneruskan aksi cemerlang mereka seterusnya membawa Kelantan ke puncak liga. Dengan bantuan dari pemain berpengalaman di Liga Super seperti Zamri Ramli, Khairul Izuan Rosli serta Tuan Mohd Norhafzie, dijangkakan Kelantan mampu mencatatkan kemenangan keatas Selangor.

Berbeza di kem Selangor apabila moral para pemain muda mereka sedikit merudum ekoran persembahan hambar dalam tiga perlawanan. Mencatatkan dua seri dan satu kalah, Merah Kuning hanya mampu berada di kedudukan tiga terakhir dan perlawanan menentang Kelantan semestinya mahu dihadiri dengan tekad memungut sekurang kurangnya satu mata.

Rekod pertemuan terakhir pada 2009, mereka menundukkan Kelantan di Kota Bharu dengan jaringan 2-1 dimana ketika itu mereka menerima bantuan dari beberapa pemain yang beraksi di Liga Super namun ketika ini, sukar buat Selangor untuk mengulangi pencapaian tersebut sementelah Kelantan pasti turun habis-habisan di hadapan penyokong sendiri.

Bagi Kelantan pula, tiada perbezaan diantara Selangor dan mana-mana pasukan yang bertandang ke gelanggang keramat mereka kecuali satu niat yakni kemenangan yang perlu diraih untuk mencerahkan tempat mereka ke saingan kalah mati penghujung musim nanti.

Berdasarkan penilaian pemain semasa, Zahasmi Ismail dijangka tidak melakukan perubahan drastik dalam pasukan dengan menggunakan pemain sama seperti perlawanan sebelum ini. Di posisi penjaga gol, Judtanna Eh Put kekal selaku penjaga gawang nombor satu.

Manakala barisan pertahanan pula terus diterajui kapten pasukan, Nik Shahrul Azim bersama dengan Tuan Mohd Norhafizie, Faizol Nazlin dan Faiz Suhaimi. Jikalau ada pertukaran sekali pun, kemungkinan hanya Shafiq Haikal akan dimasukkan di posisi permulaan mengantikan Faizol.

Jentera tengah dilihat kukuh apabila khidmat Zamri Ramli, Nick Chan, Izuan Rosli dan Izuan Salahudin dapat digunakan dalam pertemuan ini. Keempat-empat pemain ini mempunyai kredibiliti tersendiri terutamanya Nick Chan yang mempamerkan persembahan mantap dalam dua perlawanan sebelum ini untuk membantu Kelantan menewaskan Kedah serta seri dengan Perlis di Kangar. Malah, kelibat Zamri dan Izuan Rosli turut mendapat perhatian kem Selangor kerana dua pemain ini sudah terbukti bisa mereka di peringkat tertinggi.

Jentera serangan tiada dilema buat Zahasmi kerana bisa Aris Zaidi dan Norfarhan Yaacob sudah terbukti memberikan Kelantan kelajuan di bahagian serangan. Tambahan penyerang simpanan seperti Azyu Ikmal serta Mohd Norhafifi Othman bakal menjadikan jentera serangan Kelantan antara jentera paling mantap dalam Liga Piala Presiden setakat ini.

Bagi Zahasmi, formasi 4-4-2 bakal diteruskan dengan mengharapkan pemain tengah mampu merencana gerakan kearah kubu pasukan pelawat. Kemungkinan juga pengendali Kelantan ini mahu menggunakan taktikal melalui bola mati dengan menharapkan gol melalui sepakan percuma. Jangkaan President Warriors akan melakukan banyak serangan melalui posisi sayap dan mengharapkan pemain penyerang yang diturunkan dapat menggunakan kesilapan atau peluang yang diperoleh untuk menjaringkan gol.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular