KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 11 Mac 2011

Pahang mln Kelantan


RedsFC
RedsFCNews@gmail.com

Liga Super 2011 kembali disambung dimana Sang Kijang akan berkunjung ke gelanggang Tok Gajah di Kuantan.

Dikhabarkan dari kem Kijang, persediaan terbaik telah direncanakan M. Karathu bagi mengutip mata penuh seterusnya mengukuhkan cengkaman mereka di persada Liga.

Tidak mudah sebenarnya untuk menjinakkan para pahlawan serba baru Pahang namun keputusan positif wajar diraih Kelantan seandainya tidak mahu berputih mata dikejar rapat para pencabar lain.

Pahang pula dijangka ingin menjadi pasukan pertama mencalarkan rekod tanpa kalah Kelantan di tempat lawan sementelah pada musim lalu mereka hampir melakukan tetapi gagal kerana kebangkitan saat akhir pemain Red Warriors. Rekod sudah membuktikan pertembungan kedua-dua pasukan dari pantai timur pasti sengit dengan aksi berbalas serangan dalam padang.

Pada musim lalu, Kijang gagah bangkit mengikat lawan 3-3 di arena Darul Makmur hasil jaringan minit akhir Chanturu dan Nidzad Ayub. Pasti kali ini, Karathu tidak mahu anak didiknya mengulangi sikap yang mungkin memberi padah pada kedudukan mereka di carta.

Yang kita mahukan ialah corak permainan pantas dan harapan menang dengan jaringan besar seperti mana pada perlawanan pertengahan Februari 2009, Sang Kijang mudah membelasah Pahang dengan jaringan 5-1 di Stadium Darul Makmur.

Kali ini, mungkin corak permainan Pahang dan Kelantan sedikit berubah setelah dua pasukan kehilangan beberapa tenaga penting mereka kepada pasukan lain. Mereka merekrut beberapa pemain baru diserapkan kedalam pasukan dan mungkinkah keputusan perlawanan kali ini tidak sama seperti yang berlaku musim lalu.

Formasi

Pahang

Dollah Salleh kelihatan selesa dengan formasi 4-4-2 dimana permulaan baik harus ditunjukkan anak didiknya untuk menyekat kemaraan Kelantan. Ini kerana, kesilapan taktikal ketika melawan Sabah tempoh hari hampir menyebabkan mereka kalah sekali lagi di arena sendiri seperti ketika tunduk kepada Perak. Mujur dua jaringan penyelamat dari penyerang yang dimasukkan membantu Pahang mengikat skuad dibawah Bayu dengan 2-2.

Kelantan

Begitu juga dengan Karathu, tiada perubahan strategi mungkin akan diterapkan dalam perlawanan ini. Formasi 4-4-2 masih relevan dengan pemain sedia ada tetapi dengan kecederaan Ramzul Zahini dan tiada harapan untuk gandingan kesebelasan utama Shahrul dan Nidzad, kemungkinan Karathu akan memperkukuhkan kawasan tengah dengan taktikal 4-5-1 sebelum memasukkan Khalid pada babak kedua untuk kembali dengan corak 4-4-2.

Barisan Kesebelasan Utama

Pahang

Tok Gajah tidak ketandusan pemain muda berbakat ditambah dengan pengalaman beberapa pemain yang pernah beraksi dengan pasukan negara.

Bagi posisi penjaga gol, ada tekanan dari pihak penyokong untuk terus melihat Wan Azraie Wan Teh menjadi penjaga gawang utama pasukan manakala Suffian Abdul Rahman dan Rosfaizul Mohd Ali merebut satu tempat di posisi nombor dua.

Barisan pertahanan tidak asing dengan kelibat orang lama, Jalaludin Jaafar selaku jeneral dan juga ketua pasukan Tok Gajah. Pengalaman yang dimiliki pemain ini sangat ditagih Dollah untuk mempertahankan kawasan mereka. Dengan bantuan dari Nazrul Erwan dan Zaiza Zainal Abidin serta Mohd Fadzirul Zakaria, harapan menggunung kepada empat tonggak ini untuk bersama penjaga gol bertahan dari robekan serangan Red Warriors. Selain mereka, Munir Amran, Saifulnizam Miswan serta Syawal Norsam juga turut memiliki peluang berada dalam kesebelasan utama.

Jentera tengah dijangkakan Ravindran Surendran dimasukkan kedalam pasukan utama kerana kelibat pemain ini diakui mampu menjana gerakan menyerang pasukan lawan. Tidak dipastikan pemain mana bakal berada dalam posisi permulaan kerana limpahan pemain seperti Fazli Baharudin, Faizol Hussain, Shahrizan Mohd Salleh, Mohd Amirullah serta ramai lagi turut berkemampuan untuk bersiap pada jentera tengah. Mungkin Dollah ada percaturan lain dengan meletakkan pemain yang benar-benar mampu memberikan hasil lumayan.

Posisi serangan tidak asing dengan kelibat penyerang berbisa mereka, Mohd Azamudin Akil yang mungkin disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas sebelum ini kerapkali diturunkan di barisan kedua oleh Dollah Salleh. Dengan kehadiran Azamudin, penjaring terbanyak mereka setakat ini, Famirul Asyraf bakal diberi lebih ruang untuk merobek kubu Kelantan setelah gandingan dengan R. Surendran sebelum ini dikritik hebat para peminat kerana ketumpulan penyudah. Alafi Mahmud turut mengintai ruang namun sukar menembusi tiga nama ini untuk masuk selaku pemain utama. Mungkin juga tersenarai dalam barisan simpanan dengan Kartigesu.

Kelantan

Posisi pertama penjaga gol terus kemas dalam genggaman Khairul Fahmi Che Mat tetapi Shahrizan turut berkeupayaan jika Khairul Fahmi dipilih untuk direhatkan Karatuhu. Shahrizan masih mampu menggalas tugas selepas tangkas mempamerkan persembahan baik ketika membantu Kelantan menang keatas Johor FC dalam pusingan kedua Piala FA tempoh hari.

Barisan pertahanan kini kukuh selepas persembahan terbaik ditunjukkan semua pemain yang diturunkan. Pemain utama dan pemain simpanan yang diturunkan setakat ini jelas membantu Kelantan sehingga berjaya menjadi pendahulu disamping lepas saingan Piala FA. Kekebalan Rizal Fahmi, Farisham, Zairul Fitree dan Daudsu mungkin bakal teruji sepenuhnya dengan kelibat penyerang handalan Pahang. Namun, mereka pasti sudah bersiap sedia dengan perlawanan ini ditambah dengan keyakinan disuarakan Farisham bahawa tonggak benteng Kelantan sudah mampu untuk tampil kukuh walau kehilangan Azizi kepada T-Team. Walaupun empat pemain diatas sudah dapat membina persefahaman mantap untuk mengekalkan tempat di kesebelasan utama, S. Subramaniam, Aziz Ismail dan Wan Rohaimi juga bukan calang-calang pemain simpanan yang mampu membantu jika diperlukan.

Persembahan pemain tengah masih lagi konsisten dengan Nurul Azwan Roya dan S.Chanturu membentuk rencana serangan mantap melalui bahagian sayap. Cuma kerapkali asakan keras pertahanan keatas dua pemain ini menyebabkan sedikit tekanan kepada mereka untuk mengatur melalui hantaran lintang. Manakala Badri Radzi yang dikritik kerana corak permainan perlahan masih kekal dalam kesebelasan utama kerana tugas selaku ketua pasukan selain khidmat Shakir untuk merencana gerakan dan turun bertahan jika menghadapi serangan pantas tuan rumah. Danial Fadly mungkin dimasukkan jika Datuk Karathu mahu menggunakan corak 4-5-1.

Jika ada perubahan taktikal, kemungkinan besar hanya Norshahrul Idlan diletakkan dalam kesebelasan utama pasukan dan khidmat pemain yang sudah meraih enam jaringan gol setakat ini diperlukan. Ketiadaan Ramzul tidak memberi sebarang peluang kepada Nidzad dan Khalid untuk masuk selaku pemain pertama tetapi andainya Karathu mahu menggunakan dua penyerang, nama Khalid dilihat sesuai untuk meledak setelah persembahan hebat dalam perlawanan terakhir tempoh hari membantu Kijang membelasah Negeri Sembilan.

Ramalan Perlawanan
Pahang 0-2 Kelantan
Ramalan anda tentang perlawanan ini. Tinggalkan posting dibawah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular