KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 31 Mac 2011

Kelantan mln Sime Darby


Peluang buat Kelantan menebus kehampaan terikat seri perlawanan pertama apabila menanti kunjungan Sime Darby di Padang Penjara, Pengkalan Chepa, petang ini.

Pada perlawanan lalu, President Warriors diambang kemenangan hasil jaringan gol Tuan Mohamad Norhafizie, 12 minit sebelum perlawanan tamat namun kesilapan Faiz Suhaimi tertampan masuk kedalam gol sendiri percubaan penyerang lawan pada masa kecederaan memberikan satu mata buat mereka.

Timbal balik di Kota Bharu menjanjikan aksi hangat kerana beberapa pemain tonggak berazam untuk mempamerkan persembahan terbaik untuk mengelakkan keciciran mata.

Mereka juga tidak mahu kedudukan kini di tangga kedua dipintas pasukan lain yang sedang mengejar rapat dibawah.

Menurut Akid Ramli, penyerang muda Sang Kijang, dia yakin Kelantan mampu mengutip tiga mata dalam pertemuan ini. Semua penyokong President Warriors dijemput hadir untuk sama-sama memberi sokongan kepada semua pemain yang turun melawan kelab yang berpengkalan di Lembah Kelang tersebut..

Berbalik pada kesebelasan utama, Zahasmi Ismail mempunyai banyak pilihan untuk menurunkan pemain utama di barisan permulaan.

Berita gembira juga buat kem Kelantan selepas dikhabarkan Izuan Rosli dan Mohd Syawal Rudin bakal kembali selepas tersisih satu perlawanan kerana masalah kecederaan.

Prestasi konsisten beberapa pemain utama seperti Zamri Ramli, Mohd Farhan Yaacob, Nick Chan serta Izuan Salahudin turut ditagih dalam perlawanan ini.

Kehadiran benteng kebal kendalian Nik Mohamad Shahrul Azim bersama dengan Faiz Suhaimi serta Tuan Mohamad Norhafizie diharap mampu menghadirkan tekanan kepada pemain penyerang lawan untuk membolosi gawang kawalan Judtanna.

Selain itu, pemain lain seperti Norsyahrul Hawari, Azyu Ikmal serta Muizzudin Marzuki turut tidak boleh dipertikaikan antara penyumbang kejayaan perlawanan sebelum ini kepada President Warriors.

Malahan, barisan simpanan seperti Faizol Nazlin, Akid Ramli, Syafiq Haikal, Mohd Norhamizi serta Shahiran Zin juga berkemampuan diserapkan dalam kesebelasan utama atau menjadi pemain gantian kepada pemain sedia ada.

Dijangka, formasi 4-4-2 bakal diterapkan pihak kejurulatihan Kelantan untuk memburu jaringan dalam perlawanan ini sambil mengharapkan faktor cuaca tidak menghalang anak didik mereka melakukan kesilapan mudah.

Banyak kelemahan yang ditunjukkan dalam perlawanan lalu mungkin sedikit sebanyak sudah dibaiki Zahasmi selepas tiga hari tempoh timbal balik.

Yang perlu dititik beratkan pihak pengurusan ialah bagaimana untuk menghalang pemain Piala Presiden Kelantan dari hilang fokus pada perlawanan seperti mana keciciran mata selepas diikat pasukan lawan pada saat akhir dalam pertemuan lalu.

Bagi pihak Sime Darby, hadir selaku pasukan bukan pilihan, satu mata sudah memadai dikutip di gelanggang lawan.

Namun, mungkin mereka dapat melakukan keajaiban seperti mana yang mereka lakukan ketika menundukkan Sabah, beberapa perlawanan lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular