KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 19 Mac 2011

Felda United mln Kelantan



Tiada jalan lain buat The Red Warriors selain mencatatkan kemenangan keatas Felda United pada suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu.

Walaupun bermain di gelanggang sendiri, di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, Kelantan bermain sebagai pelawat selepas Felda United bertindak sebagai tuan rumah, malam ini.

Tekanan kini berpihak kepada anak didik Datuk M. Karathu selepas perlawanan pertama yang berlangsung tiga hari lalu berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Satu kelebihan moral buat Felda United kerana membawa bekalan dua jaringan di tempat lawan manakala Kelantan pasti tidak mahu menjadi mangsa seterusnya selaku pasukan pilihan yang tersingkir awal dari kejohanan.

Bagi Kelantan, kemenangan wajib dicapai manakala Felda pula hanya memerlukan seri kurang dari tiga gol untuk melayakkan diri buat kali pertama ke separuh akhir. Dikala ramai peminat menaruh harapan untuk melihat Sang Kijang mengulangi pencapaian tahun 2009, tidak ramai mengambil tahu akan tekad pasukan kendalian E.Elevarasan untuk turut meletakkan mereka antara gergasi bola sepak negara.

Berdasarkan rekod diatas kertas, semua pihak yang memerhati dan menyokong perkembangan pasukan bola sepak The Red Warriors memilih Kelantan untuk layak ke separuh akhir bagi menempah pertemuan dengan musuh tradisi, Selangor tetapi sebelum itu, saingan Budak Felda jangan diambil remeh.

Juara Liga Perdana tersebut bukan calang-calang pasukan kerana skuad ketika ini jauh berbeza pada musim lepas setelah dipenuhi orang lama yang berpengalaman luas dalam pelbagai kejohanan di dalam dan luar negara. Mereka pasti akan bermain mati-matian untuk paling tidak mengekalkan kedudukan yang dimiliki ketika ini.

Formasi

Felda United

Tiada perubahan taktikal akan dilakukan Felda United selain cuba mengekalkan kelebihan yang diperoleh pada perlawanan pertama. Dikhabarkan lima pemain tonggak mereka tidak dapat diturunkan kerana masalah pengantungan dan kecederaan.

Kelantan

Karathu dijangka akan mengekalkan corak menyerang 4-4-2 yang digunakan pada perlawanan pertama tetapi formasi yang diterapkan mungkin berubah kepada 4-3-3 jika Kelantan ketinggalan jaringan atau Felda bermain secara bertahan.

Kesebelasan Jangkaan.

Felda United


Kelibat Hamsani sebagai penjaga gol utama sukar digugat oleh Faizal Rashid namun pengendali Felda pasti memikirkan pertukaran posisi ini selepas Hamsani dilihat belum pulih dari masalah kecederaan. Faizal Rashid mampu menggalas tugas utama tetapi perlu lebih bersedia dari segi mental kerana bakal menerima tekanan besar dari pemain dan juga penyokong Kelantan.


Jentera pertahanan Felda kebal pada perlawanan pertama dengan kehadiran Khaironisam Sahabudin. Ketua pasukan berpengalaman tersebut tenang menangkis beberapa cubaan pemain Kelantan membawa masuk bola kedalam kawasan penalti bersama dengan pertahanan lain namun kadangkala dilihat melambatkan masa permainan .Dengan bantuan Ramesh, Badrul Azam Zamri serta Mohd Nizam, tiada yang dipinta pihak pengurusan selain sekali lagi menggunakan kelebihan fizikal untuk menyekat gerakan pelawat.


Di posisi tengah, pemain terbaik Felda perlawanan pertama, Azrul Ahmad sekali lagi menerima tugas sukar untuk mengatur gerakan melalui sayap kanan setelah Lot Abu Hassan dikhabarkan akan digantung satu perlawanan ekoran layangan kad kuning. Kehilangan Khairul Annuar Jamil yang cedera turut menyukarkan Azrul mencari ruang menerobos kubu pasukan lawan namun bantuan Liew Kit Kong serta pemain penyerang yang sering turun ke bawah, Farderin Kadir akan memudahkan tugasnya. Kembalinya Azi Shahril dari pengantungan menambahkan lagi sengat jentera tengah Felda United.


Bahagian serangan pula dijangka Zamri Chin kekal berada dalam kesebelasan utama selaku penyerang yang akan bertugas mengucar kacirkan benteng pertahanan Kelantan. Walaupun dikeluarkan pada awal babak kedua pada suku akhir pertama selepas mengalami kecederaan belakang, Zamri pasti tidak mahu terlepas peluang untuk berada dalam pasukan merebut tempat ke saingan seterusnya. Berganding dengan Farderin di jentera serangan ternyata berhasil memberikan mereka dua gol tempoh hari.

Kelantan


Kedudukan Apek atau Khairul Fahmi Che Mat dalam kesebelasan utama tidak tergugat walaupun Mohd Shahrizan menjadi watak penting membantu Kelantan layak ke suku akhir. Namun bolos empat gol dari dua perlawanan bukan sesuatu yang boleh dipandang mudah oleh penjaga gol nombor satu negara tersebut. Kredibiliti serta disiplin Khairul Fahmi dipuji semua pihak tetapi harapan menggunung penyokong Kelantan terletak ditangannya dan prestasi seperti membantu Malaysia bermain di kelayakan Olimpik wajar ditunjukkan untuk melepaskan Sang Kijang ke separuh akhir.


Ketika ini, bahagian benteng Kelantan merupakan antara posisi yang banyak membantu Kijang mendapat banyak kejayaan di luar dugaan termasuklah muncul juara Piala Sumbangsih. Tetapi sejak kebelakangan ini, mereka seringkali melakukan kesilapan yang membawa kepada jaringan gol buat pasukan lawan. Diperkuatkan oleh Rizal Fahmi Rosid, Farisham Ismail, Daudsu dan Zairul Fitree, mereka tidak mampu menghalang jaringan lawan selepas melakukan tiga kesilapan mudah memberi dua jaringan kepada Pahang dan satu kepada Felda tempoh hari. Namun, mereka terus diberi harapan untuk menyekat jentera serangan Felda. Benar, Felda dijangka bermain secara bertahan tetapi andaikata ketika Kelantan rancak menyerang dan pasukan lawan melakukan serangan balas, pemain benteng merupakan harapan terakhir untuk membantu Khairul Fahmi.


Serangan melalui jentera tengah pula terus diberikan kepada pemain kesayangan ramai, Mohd Badri Radzi selaku jeneral dan juga ketua pasukan Kijang. Badri akan bergandingan dengan Shakir di posisi tengah manakala Azwan Roya kekal merencana gerakan di bahagian sayap kiri. Berdasarkan latihan terakhir yang lakukan, kelihatan Zulyusri Che Harun akan bermula dalam kesebelasan utama selaku pemain sayap kanan tetapi Solehin sedang mencabar hebat untuk dimasukkan selepas seorang lagi pemain sayap, S. Chanturu dinaikkan sebagai penyerang. Jika ada perubahan, kemungkinan besar Danial Fadly bakal dimasukkan selaku pemain gantian ataupun Khairan Eroza bertindak sebagai sub kepada Badri dan Shakir.


Pemain penyerang Kelantan diketuai penjaring terbanyak setakat ini, Norshahrul Idlan Talaha. Norshahrul diletakan harapan untuk terus meledak manakala Chanturu pula dilihat lebih kepada pembantu Norshahrul selepas taktikal Karathu mahukan pemain ini menggunakan kelajuan yang dimilikinya untuk mengucar kacirkan pertahanan lawan. Khalid yang bermula selaku pemain pertama pada suku akhir pertama akan diletakkan di bangku simpanan bersama Nidzad Ayub.

Ramalan Perlawanan

Felda United 0-3 Kelantan
Ramalan Anda? Tinggalkan Post dibawah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular