KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 5 Mac 2010

:Preview:
Kelantan FA (Mas) vs (Sin) Balestier Khalsa Fc





Setelah berjaya menundukkan lawan dari Sumatera Barat, Padang Fc 2-0 malam kelmarin, Kelantan sekali lagi akan turun dalam aksi persahabatan, kali ini menentang Balestier Khalsa Fc di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Aksi melawan kelab Singapura ini menjadi medan persiapan terakhir buat Sang Kijang sebelum bertandang ke Kuala Terengganu menentang T-Team Fc dalam saingan TM Liga Super 2010, Sabtu depan.

Mempertaruhkan pemain bintang, Kelantan dijangka dapat memberikan saingan sengit kepada Balestier Khalsa yang dibarisi campuran pemain tempatan dan beberapa pemain import.

Satu fakta yang perlu diambil kira, Balestier Khalsa Fc merupakan sebuah pasukan yang sering berada di kelompok pertengahan liga dan tidak mempunyai sesuatu yang dapat dibanggakan kecuali berjaya menduduki tempat ketiga Piala Liga Singapura pada tahun 2008 selain beberapa kali melayakkan diri ke suku akhir kejohanan tempatan.

Skuad jolokan The Tigers yang dilatih Nasarudin Abdul Jalil diperkuatkan dengan kehadiran empat pemain import, merupakan sebuah kelab profesional dalam Liga Singapura dan berpengkalan di Toa Payoh Stadium yang mempunyai kapasiti 3900 penonton.

Pada asalnya, Balestier Khalsa Fc merupakan dua buah kelab berlainan yang bersaing dalam Liga Singapura iaitu Balestier Central Fc dan Clementi Khalsa Fc namun akhirnya mereka digabungkan dalam satu pasukan pada tahun 2002 sehingga kini.

Berbalik kepada pasukan Kijang, pertemuan menentang Balestier Khalsa Fc memberi ruang kepada mereka untuk memantapkan pasukan disamping mencari kesefahaman diantara pemain utama yang kelihatan buntu walaupun sudah melalui lebih dari 10 perlawanan.

B. Sathianathan seharusnya memikirkan untuk melakukan 'rotation' ataupun pertukaran pemain dengan merehatkan beberapa pemain utama yang hambar seterusnya memberi ruang kepada pemain simpanan untuk menonjolkan aksi mereka.

Perlawanan menentang Padang Fc menjadi bukti betapa pemain bintang Kijang kelihatan gagal mencari idea bagaimana untuk menembusi benteng lawan namun barisan pemain simpanan yang dimasukkan pada separuh masa kedua berjaya mencipta gerakan berbahaya seterusnya menjaringkan dua gol mengecewakan pasukan lawan.

Justeru itu, diharapkan mereka semua terutamanya pemain utama yang menggalas tugas diatas padang dalam perlawanan persahabatan ini memberikan persembahan menyakinkan untuk menunjukkan petanda bahawa perlawanan seterusnya liga super selepas ini mampu memberi sang Kijang ruang luas untuk bernafas mengejar pendahulu.

Dalam perlawanan ini, Khairul Fahmi mungkin diberikan tugas utama menggalas posisi no 1 pasukan yang ditinggalkan Syed Adney dan Halim Napi setelah mereka dilaporkan masih lagi mengalami kecederaan. Khairul Fahmi dilihat mempunyai peluang cerah menjadi penjaga gawang masa depan Kelantan jika terus mempamerkan persembahan memikat kerana bakat yang ada padanya mampu membantu skuad Kijang untu terus maju.

Barisan pertahanan tidak mudah buat Sathianathan untuk memilih pemain kerana posisi ini mempunyai barisan termantap Red Warriors dan semua pemain yang ada mempunyai kekuatan dan karekter mereka sendiri untuk mempertahankan bahagian benteng.

Azizi Mat Rose, Rizal Fahmi, Farisham, Daudsu, Zairul Fitree dan beberapa pemain lagi dilihat bergandingan hebat ketika ini kerana mampu menangani bahaya ancaman pasukan lawan dan kudrat mereka sekali lagi ditagih untuk menghalang pemain Balestier Khalsa membocori gawang Kelantan.

Berlainan pula dengan posisi pembantu serangan ataupun pemain tengah Kelantan. Musim terdahulu, kebanyakan kemenangan atau jaringan gol yang diraih adalah dengan kekuatan pemain midfield namun pada tahun ini, mereka buntu, mengecewakan selain kurangnya gerak kreatif untuk menembusi gawang lawan.

Kehadiran Indra, Farhan, Piya dan Shakir dibahagian tengah masih gagal memberikan impak berharga kepada Kelantan. Jika mereka terus dengan gaya kecundang, tidak perlu kompromi dari ketua jurulatih Kelantan untuk menggunakan kuasanya menggugurkan pemain tersebut mengantikan mereka dengan barisan simpanan seperti Wan Zaman, Khairan serta Zamri Ramli.

Dengan Sharul Idlan dan S Chanturu sedang mewakili skuad Negara, tidak mahu tidak tugas serangan akan diamanahkan kepada Akmal Rizal dan Hairudin Omar untuk membolosi gawang Balistier Khalsa Fc. Diharapkan mereka dapat memberikan sentuhan pemusnah untuk mengecewakan lawan seterusnya menamatkan badi kemarau gol yang berpanjangan.

Andai gagal, Ramzul Zahini, Nidzad Ayub, Che Hishamudin dan Ailim Fahmi masih ada untuk mengantikan tempat mereka seterusnya menjadi duri dalam daging kepada pasukan lawan yang bertandang.

Malam ini peminat dan penyokong bola sepak yang hadir akan disajikan dengan corak taktikal dan teknik yang akan digunakan B. Sathianathan untuk menewaskan lawan manakala rakan sejawatnya di Balestier Khalsa Fc, Nasarudin Abdul Jalil juga akan menerapkan sesuatu kepada pemainnya cara-cara untuk mengecewakan skuad tuan rumah.

Semua peminat dan penyokong Kelantan diminta hadir beramai-ramai untuk memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada semua pemain dan pengurusan skuad Red warriors.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular