KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 8 Mac 2010

Kijang Kutip Tiga Mata Pertama di Arena Lawan.


Misi mengutip mata penuh di Stadium Sultan Ismail Nasharudin Shah, Kuala Terengganu berjaya dilaksanakan anak buah B. Sathianathan apabila menumpaskan T-Team Fc 1-0.

Terima kasih kepada Azizi Mat Rose yang menghadiahkan jaringan serta tiga mata penuh pertama di arena lawan kepada Kelantan.

Kelantan bermula garang dengan melakukan gerak berbahaya melalui Idlan Talaha yang berjaya melepasi tiga pemain pertahanan T-Team namun sepakannya mudah dibaca Shamsuri Mustapha pada minit ke-4.

Selang tiga minit, Farhan pula mensia-siakan hantaran Nidzad Ayub setelah hanya menyepak lemah walau hanya berhadapan dengan penjaga gol pelawat.

Lima minit kemudian, T-Team pula mengancam melalui Haris Safwan yang berjaya melepasi perangkap offside namun Khairul Fahmi lebih bersedia untuk mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Ketika rancak menyerang, Kelantan tersentak seketika setelah pemain tengah lincah, Shakir Shaari terpaksa dikeluarkan setelah mengalami kecederaan buku lali menyebabkan Sathianathan terpaksa memasukkan Khairan Eroza untuk bergandingan dengan Badri Radzi.

Kehilangan Shakir di bahagian tengah menyebabkan Kelantan gagal menguasai bahagian tersebut setelah Badri Radzi dilihat kurang menyerlah dengan Indra dan Farhan pula lebih banyak menyerang dari sebelah tepi manakala Khairan bermain secara pertahanan membolehkan lawan mengatur gerak dari kawasan itu menyerang kubu Sang Kijang.

Mujurlah pemain lawan lebih banyak menyerang secara hantaran jauh membolehkan Azizi, Rizal, Daudsu dan Zairul Fitree melakukan pintasan selain memerangkap pemain lawan dengan kedudukan offside.

Pada minit ke-36, Farhan melakukan sepakan kencang dari jarak 25 meter namun Shamsuri lebih bersedia untuk menerbangkan diri menepis percubaan tersebut.

Idlan Talaha pula terlepas peluang menjaringkan gol apabila tandukannya pada masa tambahan separuh masa pertama terkena tiang sebelum dikeluarkan pertahanan T-Team, Subri Sulong.

Bersambung babak kedua, Kelantan memulakan bola dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu sang Penyu Muda namun gagal menembusi benteng pasukan tuan rumah.

Kelantan hampir dihukum T-Team pada minit ke-53 apabila kesilapan Azizi melakukan sepak keluar memberi ruang kepada pemain sayap lawan untuk merampas bola sebelum melakukan suntingan dari sebelah kanan tetapi Khairul Fahmi bijak membaca untuk menangkap kemas bola percubaan tersebut.

Idlan Talaha sekali lagi melepaskan peluang terbaik pada minit ke-62 apabila hanya mampu menyepak keluar walaupun sebelum itu cemerlang menggelecek lima pemain pertahanan T-Team yang hanya terpaku melihat aksi pemain muda ini melepasi mereka.

Selang enam minit kemudian, percubaan Farhan hasil hantaran jauh Rizal Fahmi pula ditumbuk keluar Shamsuri Mustapha.

Akhirnya, kekebalan Shamsuri mempertahankan pintu gol T-Team berkecai pada minit ke-73 setelah Indra Putra melakukan satu sepakan percuma mengelirukan menyebabkan bekas penjaga gol kebangsaan tersebut hanya dapat menepis lemah bola tersebut sebelum dikuis masuk Azizi Mat Rose yang keseorangan tidak dikawal.

Gol tersebut menyemarakkan sorakan hampir 1500 penyokong Sang Kijang yang bertandang ke arena lawan.

T-Team yang ketinggalan mula mengatur memburu gol penyamaan dan ianya semakin mudah setelah Hairudin Omar dilayangkan kad merah terus oleh pengadil pada minit ke-79 setelah membantah keputusan penjaga garisan tidak membenarkan sepakan sudut kepada Kelantan.

Layangan kad tersebut menyebabkan pemain dan pegawai di kem Kelantan bingkas bangun membantah keputusan pengadil tersebut.

Bermain 10 pemain memaksa Kelantan bertahan dari segenap sudut menahan serangan bertali arus dari pemain T-Team Fc tetapi pertahanan Kelantan, Rizal Fahmi Rosid dilihat bertindak cemerlang membantu Azizi dan Kharul Fahmi mempertahankan gawang dari dibocori.

Setelah tambahan masa tiga minit, pengadil membunyikan wisel penamat untuk memberikan tiga mata pertama kepada Kelantan di arena lawan.

Gol
T-Team Fc 0-1 Kelantan

Kad Kuning
T-Team Fc 1-1 Kelantan

Kad Merah
T-Team Fc 0-1 Kelantan

Offside
T-Team Fc 7-2 Kelantan

Sepakan Sudut
T-Team Fc 3-5 Kelantan

Posisi Bola (%)
T-Team Fc 55-45 Kelantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular