KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 12 Mac 2010


KOMITMEN 90 MINIT JANJIKAN KEMENANGAN

KOTA BHARU – Tumpuan peminat bola sepak tempatan pastinya terarah kepada perlawanan Liga Super antara Kelantan menentang Selangor di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu esok.

Ibarat pertembungan dua musuh tradisi bola sepak tempatan, perlawanan ini dilihat cukup klasik oleh sebahagian besar peminat bola sepak Kelantan. Bagi peminat Kelantan, mencatat kemenangan ke atas Selangor seumpama Kelantan merangkul piala kejuaraan.

Dan tentunya Kelantan tidak terkecuali mahu menewaskan Selangor setelah pasukan jiran tetangga, Terengganu pernah memalukan Red Giants dengan kemenangan 4-0 pada 23 Januari lalu.

Di atas kertas, Selangor kini gah sebagai pendahulu liga mengumpul 22 mata sementara Red Warriors kian menghambat apabila menduduki tangga keempat liga memungut 15 mata.

Tampil selaku pendahulu takhta liga ketika ini, Selangor jelas merendah diri sambil Kelantan tetap memasang impian mahu mencipta kejutan menyingkirkan Red Giants di gelanggang keramat.

Mengimbau rekod pertemuan musim lalu, kelebihan berpihak kepada Selangor apabila menang 3-0 di Shah Alam dan seri 1-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil rentetan pergantungan gelanggang Kota Bharu.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathiananthan berkata, beliau tetap menghormati kekuatan pasukan Selangor yang terbukti sebuah pasukan yang mantap daripada segenap sudut.

“Mereka pasukan yang bagus kerana pemain telah bersama sejak 2-3 tahun yang lalu. Tetapi itu bukan alasan untuk Kelantan tidak boleh menewaskan mereka di sini,” katanya sewaktu dihubungi :Sinar Harian: semalam.

“Pertemuan dengan Selangor biasanya cukup menarik terutamanya apabila mereka bertandang ke Kota Bharu. Ianya diibaratkan perlawanan dua musuh tradisi. Semua pasukan yang beraksi dalam Liga Super mahu menewaskan Selangor. Dan Kelantan sememangnya bersedia ke arah itu.

“Saya percaya penyokong setia Kelantan turut menantikan aksi pertemuan ini. Saya mahu pemain saya memberikan 110 peratus komitmen selama 90 minit nanti. Saya percaya, kedua-dua pasukan bakal menampilkan aksi menarik pada perlawanan ini.

“Perjalanan liga masih lagi jauh. Apa yang penting, kami perlu menang pada perlawanan ini. Berapa gol itu tidak penting, asalkan kami mengutip tiga mata,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan pasukan, katanya, beberapa tonggak utama seperti Zairul Fitree Ishak, Halim Napi, Syed Adney Syed Hussein dan S Subramaniam masih lagi berada dalam senarai pemain yang mengalami kecederaan.

“Zairul (Fitree) dan Halim (Napi) masih lagi mengalami kecederaan, manakala khidmat S Subramaniam dan Syed Adney (Syed Hussein) hampir pasti terpaksa disisihkan kali ini,” katanya.

Sementara itu perancang tengah, Mohd Shakir Shaari turut mengalami kecederaan tetapi dijangka pulih sepenuhnya menjelang pertemuan dengan Selangor nanti.

Menurutnya, Kelantan akan kehilangan khidmat penyerang, Hairuddin Omar yang digantung dua perlawanan setelah menerima kad merah pada perlawanan dengan T-Team baru-baru ini.

Pada masa sama, Sathia berharap penyokong setia Kelantan terus memberi sokongan kepada barisan pemain Red Warriors.

Di kem Selangor, jurulatihnya, K Devan tetap merendah diri biarpun status sebagai pendahulu liga berpihak kepada pasukan mereka.

Kejayaan menewaskan Kedah 4-0 minggu lalu dan terbaru menumbangkan POS Malaysia 5-1 dalam saingan suku akhir Piala FA malam semalam memberi keyakinan kepada Red Giants untuk melakukan kejutan di Kota Bharu.

“Bertemu dengan Kelantan bukanlah satu perlawanan yang mudah bagi mana-mana pasukan apatah lagi bermain di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV.” katanya.

“Apa yang penting, pemain saya mengekalkan prestasi seperti mana terdahulu dan saya kira mengutip satu mata di Kota Bharu rasanya sudah memadai bagi saya,” semalam.

Menurutnya, kekuatan Kelantan bersandarkan kepada beberapa pemain bertaraf bintang seperti Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Norfarhan Muhammad dan pemain Selangor harus berwaspada dengan merantai pergerakan pemain tersebut.

Ditanya mengenai persiapan pasukan, Devan berkata, semua pemain Selangor bebas daripada kecederaan dan pergantungan perlawanan dan bersedia untuk diturunkan esok.

“Saya akan menurunkan barisan terkuat untuk menghadapi Kelantan pada esok,” katanya.-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular