Selangor, Kelantan seri
NORSHAHRUL (kiri) cuba melepasi Khairul Anuar Baharom pada perlawanan Liga Super, malam tadi.
SELANGOR meraih satu mata berharga di Stadium Sultan Mohd IV apabila seri tanpa jaringan dengan Kelantan dalam perlawanan tunggal Liga Super, malam tadi.
Pendahulu liga itu seharusnya bersyukur dapat membawa pulang satu mata kerana Kelantan seharusnya meraih tiga mata di gelanggang keramat mereka selepas mendominasi perlawanan. Keputusan ini membuka ruang buat pesaing terdekat, Terengganu untuk merapatkan jurang kepada tiga mata sekiranya menang ke atas Pahang di tempat sendiri, malam ini.
The Red Warriors menguasai separuh masa pertama dan mereka seharusnya berada di depan menerusi percubaan ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin.
Indra yang lulus ujian kecergasan lewat, dihalang penjaga gol, Mohd Hamsani Ahmad pada minit ke-36 dengan percubaan satu lawan satu Mohd Badri Radzi selepas itu pula dinafikan tiang gol kiri.
Pelawat hampir mencuri tiga mata namun kuisan kapten, Mohd Amri Yahyah pada minit ke-62 sipi ke sebelah kanan pintu gol.
Nasib terus tidak menyebelahi Kelantan pada babak kedua apabila bola lencongan daripada luar kotak penalti Norshahrul Idlan Talaha, serong.
Dengan keputusan seri itu, Selangor kini mengumpul 23 mata untuk berada di persada liga manakala Kelantan menduduki tangga ketiga dengan 16 mata, di belakang Terengganu (17), tetapi memintas Johor FC berdasarkan perbezaan jaringan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan