Rekod Pertemuan 2009
Liga Super (Shah Alam)
Selangor 3-0 Kelantan
Liga Super (Bukit Jalil)
Kelantan 1-1 Selangor
Final Piala FA
Kelantan 1-1 Selangor
(Selangor menang penentuan sepakan penalti)
Pemain dan pengurusan Skuad Kelantan diminta tidak terlalu selesa dengan kemenangan 1-0 keatas pasukan Kelab T-Team Fc di Stadium Sultan Ismail Nasharudin Shah, Kuala Terengganu, semalam. Jadikan kemenangan tersebut sebagai pembakar semangat untuk meneruskan pemburuan mendakap sekurang-kurangnya satu piala musim ini. Jika dinilai pada persembahan semalam, tidak dinafikan kemenangan yang dicatatkan hanyalah sebuah kemenangan nasib atas faktor pasukan lawan bukanlah lawan sebenar sang Kijang. Gol yang diperolehi bukan berdasarkan kehebatan dan rencana idea dari pemain Kelantan tetapi berpunca dari kesilapan penjaga gol lawan yang hanya menepis lemah sepakan percuma dari Indra Putra sebelum dimanfaatkan Azizi Mat Rose didepan gawang lawan. Justeru itu, B. Sathianathan perlu membaiki segala kelemahan serta kekurangan pemain Kelantan kini yang langsung tidak bernafsu didepan gawang walaupun berpeluang menjaringkan gol. Sathianathan dan barisan kejurulatihan perlu segera mencari punca jika mahu mendapatkan sebarang mata jumaat ini sewaktu melawan pasukan yang sedang gah berada di takhta liga, Selangor. Pasukan merah kuning sudah menunjukkan keupayaan sebenar mereka apabila membelasah Kedah 4-0 semalam. Kedah merupakan pasukan yang mengecewakan Red Warriors dalam pusingan kedua Piala Fa tempoh hari diberi pengajaran cukup berguna oleh anak didik K. Devan di Shah Alam. Jika Kelantan tidak mahu berputih mata atau dimalukan gergasi merah, berikan persembahan terbaik mereka didepan peminat setia yang menjangkakan yang perlawanan ini pasti berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan mampu menghangatkan suasana malam di Kota Bharu. Perlawanan ini menyaksikan kembalinya Syed Adney kedalam skuad Kijang namun tidak dapat dipastikan tahap kecederaan yang dialami perancang kreatif di bahagian tengah, Mohd Shakir Shaari yang dilihat terhincut-hincut sebelum dikeluarkan setelah 20 minit beraksi di Terengganu. Hairudin pula mungkin terpaksa berehat tiga perlawanan setelah dilayangkan kad merah terus apabila membantah keputusan pengadil. Manakala, pemain Kijang lain berada dalam keadaan cergas dan bersedia diturunkan tetapi situasi yang membimbangkan kini ialah kelihatan beberapa pemain utama menunjukkan aksi dibawah tahap sebenar seperti Badri Radzi, Indra Putra, Norfarhan serta Akmal Rizal Rakhli. Kelihatan jelas mereka tidak beraksi baik seperti musim lalu. dan ini yang merungsingkan kerana mungkin memberi kesan negatif kepada pasukan jika mereka tidak profesional ketika berada didalam padang. Walau apa pun, perlawanan menentang Selangor jumaat ini merupakan hala tuju Sang Kijang dalam saingan Liga musim 2010. Jika menang mereka mampu mengejar pasukan diatas dan andai tewas, tidak dapat dipastikan adakah Kelantan mampu mendakap Piala ataupun hanya mampu menyaksikan pasukan lain berada diatas menjulang kejayaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan