Liga Super 2010 semakin membahang dengan setiap pasukan mula melajukan momentum untuk menduduki tempat terbaik sebelum berakhirnya pusingan pertama tidak lama lagi.
Ketika kerancakan liga dihentikan selama sebulan, Selangor masih utuh di singgahsana dengan mengutip 23 mata, satu kelebihan tipis mengatasi Terengganu yang mencabar hebat mereka dengan mengutip 20 mata, tetapi mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan. Selangor merupakan sebuah pasukan paling konsisten sejak diambil alih K. Devan pada tahun 2009. Mereka langsung sahaja memberikan persembahan terbaik bermula dari itu sehinggakan tidak mampu dicabar mana-mana pasukan. Sewaktu pasukan lain masih terkapai-kapai memburu kemenangan, mereka dengan bergaya berlari laju meninggalkan setiap pasukan bawahan lain. Kini, setelah 10 perlawanan, mereka berhasil mencatatkan tujuh kemenangan, dua seri dan satu tewas.
Permulaan hambar anak buah Irfan Bakti merungsingkan peminat mereka namun kini setelah sembilan perlawanan, Terengganu kembali dalam kelompok elit tidak seperti musim terahulu bila mana mereka berada di landasan terbaik untuk merampas kedudukan pertama dari Gergasi Merah. Selaku pasukan pantai timur terbaik ketika ini, Terengganu meninggalkan pencabar lain dengan mengutip enam kemenangan, dua seri dan satu tewas. Boleh dikatakan pencapaian terbaik mereka dalam kancah liga super yang diperkenalkan sejak 2005.
Pasukan kelab yang stabil dan sentiasa berada dalam kelompok 'big five', Johor Fc pula mula mengorak langkah kanan dalam setiap perlawanan apabila mencatatkan kemenangan demi kemenangan sejak akhir-akhir ini. Terbaru mereka membelasah Pulau Pinang di arena lawan, satu hasil yang lumayan berbanding pasukan lain yang hanya mampu mencatatkan seri ataupun bernasib baik pulang dengan tiga mata setelah menang pada saat akhir. Johor Fc kini berhasil menduduki carta ketiga liga dengan mengutip 19 mata setelah mencatatkan enam kemenangan, sekali seri dan dua tewas.
Perwira Merah jolokan diberi namun kadangkala menghampakan dikala diberi harapan yang menggunung. Target untuk menjuarai liga super 2010 mungkin gagal direalisasikan andai terus buntu didepan gawang. Secara jujur, mereka memberi amaran kepada pasukan lain dalam kancah liga Malaysia yang Kelantan akan menggegar dengan barisan mantap namun hanya impian kosong yang ditaburkan. Tetapi, walaupun hambar dan kebuntuan jaringan, Kelantan masih berada dalam kelompok empat terbaik setelah mengutip 16 mata hasil dari empat menang dan seri serta satu kali kalah kepada Kedah.
Permulaan perlahan pula ditunjukkan juara bertahan Piala Malaysia, Negeri Sembilan apabila gagal berada dalam kumpulan terbaik sejak dari perlawanan pertama. Setelah memasuki perlawanan kelapan mereka mula mempamerkan kekuatan sebenar selaku pasukan juara seterusnya merampas kedudukan kelima yang dipegang Kedah sebelum ini. Berhasil mengutip 14 mata dari empat kemenangan, dua seri dan tewas, Hoben Jang Hoben menolak Kedah ke kedudukan keenam setelah Hijau Kuning hanya mampu mengutip 13 mata dari empat menang, satu seri dan tewas empat perlawanan.
Kuala Lumpur dan Pahang berkongsi kedudukan ketujuh dan kelapan setelah dua pasukan ini masing-masing mengutip 13 mata dalam sembilan perlawanan yang dilalui setakat ini. Skuad warga kota pulang dari Kangar kelmarin dengan senyuman lebar menundukkan Perlis manakala Pahang dikecewakan Penyu di Kuala Terengganu menyebabkan mereka tercicir satu anak tangga.
Perlis, Perak dan T-Team pula sedang bersaing hebat sesama mereka untuk berada dalam kelompok pertengahan liga. Dengan Perlis mengutip 11 mata di kedudukan ke sembilan, Perak dan T-Team mengekori rapat setelah dua pasukan ini mengutip 9 mata setakat ini. Masing-masing cuba memberikan persembahan terbaik mengelakkan berada dalam kelompok terbawah, bimbang diturunkan divisen musim depan.
Seperti yang diperkatakan pengkritik bola sepak tanahair, Plus Fc, Pulau Pinang dan Johor merupakan pasukan yang akan melengkapkan jadual perlawanan Liga Super musim ini. Tiga pasukan ini seringkali mengalami kekalahan menyebabkan pemain mereka gagal mempamerkan persembahan berkualiti. Dengan Plus Fc dan Pulau Pinang mengutip 5 mata, Johor hanya mampu mencatatkan satu menang, enam kali tewas dan satu seri untuk mengutip 4 mata. Pencapaian yang tidak terlalu buruk berbanding pasukan Polis DRM yang dijatuhkan pangkat ke Liga Perdana musim lalu setelah hanya mengutip tidak lebih tujuh mata sepanjang liga berlangsung.
Namun berdasarkan pengalaman lalu, tidak mustahil pasukan bawahan mampu bangkit mengejar pendahulu yang gah diatas. Contohnya Perak dan Negeri Sembilan, mereka pernah bangkit kembali dari prestasi buruk untuk mengejar pasukan teratas seterusnya berjaya menamatkan kedudukan di tempat terbaik.
Dalam bola sepak semua boleh jadi dan perumpamaan ini ada benarnya. Satu pesanan kepada semua pasukan bertanding, sebarang kesilapan yang dilakukan walaupun sekecil mana ia akan memberi kesan kepada kedudukan mereka dalam carta Liga Super 2010. Teruskan memberi persembahan terbaik demi menaikkan mutu bola sepak Negara. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan