KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 14 Mac 2010

Kijang Mengancam Namun Tumpul. PDF Cetak emel


Persembahan baik ditunjukkan pemain Kelantan tidak menjamin mereka mencapai kemenangan setelah gol yang dicari tidak dapat disempurnakan kedalam jaring.

Persoalan yang membenak penyokong setia Wira Merah ketika ini, mengapa pemain penyerang Kelantan gagal sama sekali menyumbat gol walaupun menggunakan pemain bintang yang diimport dari luar untuk digabungkan dengan pemain terbaik tempatan.

Kelibat Norsharul Idlan Talaha, Hairudin Omar, Akmal Rizal Rakhli, S. Chanturu disamping anak tempatan seperti Nidzad Ayub dan Che Hishamudin masih buntu bila berada di depan gol walaupun mempunyai peluang keemasan.
Diperhatikan musim lalu, pemain yang diimport hanya beberapa orang sahaja tetapi mereka dapat menunjukkan prestasi cemerlang sehingga dapat melayakkan diri ke dua perlawanan akhir dan menamatkan saingan liga ditangga keenam walhal pada awalnya menghadapi pelbagai hukuman dan rintangan dari persatuan induk bola sepak Malaysia.

Setengah musim sudah berlalu dengan Kelantan mencatatkan empat kemenangan, empat kali seri dan satu tewas dengan mata terkumpul 16, jaringan 11 dan bolos 3.

Pencapaian musim ini dalam sembilan perlawanan tidak jauh beza berbanding tahun lalu kerana mengikut statistik, Kelantan mengutip mata sewaktu melawan pasukan yang menewaskan mereka musim lalu. Antaranya Selangor, Perlis, Terengganu, Johor FC, Johor dan Pulau Pinang manakala kekalahan kepada Kedah menyamai pencapaian musim lepas.

Dari analisis setiap perlawanan, Kelantan bermain baik dan sentiasa mengancam namun tidak membunuh dihadapan gawang lawan tidak seperti musim lalu, mereka kadangkala bermain buruk tetapi mampu mendapat tiga mata tambahan pula jika beraksi di gelanggang keramat, Stadium Sultan Muhamad Ke-IV.

Memang tidak dinafikan, bermain cantik tidak memberi apa makna andai tewas namun pernahkah terfikir, semua pemain yang menyarung jersi Red Warriors 2010 sebenarnya sudah menampilkan corak permainan terbaik mereka untuk menjaringkan gol.

Cuma nasib serta sedikit masalah yang membelenggu sesetengah pemain telah merosakkan suasana harmoni dalam pasukan. Tidak melabelkan sesiapa namun desas desus ketika ini mengatakan terdapat tiga empat pemain mulai memikirkan tentang kewangan menyebabkan timbulnya perasaan tamak seterusnya menimbulkan perasaan dengki. Akhirnya mereka tidak profesional berada didalam padang seterusnya mempengaruhi keputusan perlawanan.

Yang merasa tempiasnya ialah penyokong bola sepak Kelantan. Berhabis duit mengikuti perkembangan Sang Kijang tetapi pemain pula tidak menunjukkan spiritual yang mampu menggetarkan jiwa penyokong yang bertandang ke semua venue perlawanan setakat ini.

Walaupun begitu, penyokong tetap penyokong. Jika buruk manapun permainan Kelantan, mereka tetap hadir ke stadium kerana mereka sayangkan pasukan dan ingin pasukan bermain baik dalam setiap perlawanan.

Tempoh rehat sebulan perlu digunakan sebaik mungkin pengurusan skuad Kelantan untuk membaiki kelemahan bahagian tengah dan serangan. Jadikan tempoh rehat ini sebagai tempoh kritikal kerana persiapan sambil lewa menyebabkan Kelantan terus kecewa bila turun kedalam padang.

Lakukan persiapan awal dan yang terutamanya, berikan motivasi kepada pemain-pemain agar mereka dapat menyerap tekanan yang semakin memberat ketika ini.

Seusai itu, hadir ke Paroi dengan semangat baru untuk memburu tiga mata seterusnya membuktikan kepada penyokong Kelantan dan peminat bola sepak tanahair yang pelaburan KAFA pada tahun 2010 adalah untuk mencapai kejayaan bukan sebagai pelengkap jadual perlawanan.

GoMore Kelate GoMore

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular